Bagi Mama Papa yang mengidap tekanan darah rendah, ini mungkin boleh membantu untuk Mama Papa mengatasi masalah ini dengan mengambilan makanan yang selamat dan berkhasiat. Pemilihan makanan tertentu dapat membantu meningkatkan tekanan darah Mama Papa.
Hipotensi atau tekanan darah rendah berlaku apabila bacaan tekanan darah lebih rendah daripada paras normal, iaitu sekitar 90/60 mmHg.
Walaupun tekanan darah rendah tidak selalu berbahaya, ia boleh menyebabkan simptom seperti pening, letih, dan pengsan jika tidak diurus dengan baik. Salah satu cara untuk menangani tekanan darah rendah adalah melalui diet yang sesuai.
Jom tengok apakah jenis pilihan makanan yang sesuai untuk dimasukkan dalam senarai pemakanan Mama Papa bagi mengatasi masalah tekanan darah rendah ini.
Jenis-jenis Makanan untuk Darah Rendah
1. Makanan Tinggi Garam
Sodium dalam garam dapat membantu meningkatkan tekanan darah. Namun, pengambilan garam perlu dilakukan secara sederhana bagi mengelakkan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi atau masalah jantung.
Penghidap tekanan darah rendah ini boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengambilan garam.
Ada beberapa cara yang Mama Papa boleh lakukan untuk tingkatkan pengambilan garam:
- Memakan makanan masin seperti ikan bilis, ikan kering atau jeruk.
- Memilih snek kacang yang mengandungi garam berbanding tanpa garam.
- Menambahkan garam dalam masakan.
2. Air yang Mencukupi
Walaupun tidak termasuk dalam kategori makanan, mengekalkan penghidratan yang mencukupi adalah sangat penting bagi mereka yang mempunyai tekanan darah rendah.
Dehidrasi boleh memburukkan lagi gejala tekanan darah rendah dan juga menyebabkan penurunan tekanan darah. Pastikan Mama Papa mengambil air yang mencukupi sepanjang hari.
Selain air, sup dan jus buah-buahan tanpa gula tambahan juga boleh membantu badan Mama Papa untuk mengekalkan penghidratan dan memberikan nutrisi berfaedah tambahan.
3. Makanan Tinggi Vitamin B12
Vitamin B12 mempunyai peranan penting dalam penghasilan sel darah merah dan fungsi saraf yang sihat. Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan anemia dan menyumbang kepada tekanan darah rendah.
Sumber vitamin B12 yang baik termasuk daging, ikan, telur dan produk tenusu. Bagi mereka yang mengikuti diet vegetarian atau vegan, suplemen vitamin B12 mungkin diperlukan untuk memenuhi keperluan harian.
4. Makanan Tinggi dengan Asid Folik
Folat, atau asid folik, juga memainkan peranan penting dalam penghasilan sel darah merah. Kekurangan folat boleh menyebabkan anemia dan menyumbang kepada tekanan darah rendah.
Asid folik, juga dikenali sebagai vitamin B9, sangat penting dalam pembentukan sel darah merah. Kekurangannya boleh menyebabkan Mama Papa anemia megaloblastik, yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah.
Antara makanan yang mengandungi asid folik seperti:
- Sayur-sayuran berdaun hijau seperti brokoli dan bayam
- Kacang dan bijirin
- Buah sitrus seperti oren
Pengambilan makanan kaya folat dengan kerap boleh membantu mengekalkan kesihatan darah dan menyokong fungsi badan yang optimum.
5. Makanan Tinggi Zat Besi
Tekanan darah rendah juga dikaitkan dengan anemia, yang disebabkan oleh kekurangan zat besi dalam darah. Makanan yang kaya dengan zat besi membantu meningkatkan penghasilan sel darah merah dan mencegah tekanan darah rendah.
Makanan kaya zat besi yang Mama Papa boleh amalkan dalam pengambilan makanan:
- Daging merah (seperti daging lembu atau kambing)
- Bayam
- Kekacang
- Hati ayam
6. Makanan dengan Karbohidrat Kompleks
Karbohidrat kompleks membantu menstabilkan paras gula darah, yang turut berkaitan dengan tekanan darah. Makanan berkarbohidrat kompleks juga dicerna lebih perlahan, membantu mengelakkan penurunan tekanan darah mendadak selepas makan. Sumber makanan ini seperti:
- Oat
- Roti bijirin penuh
- Beras perang
7. Makanan Kaya Kafein
Minuman berkafein seperti teh atau kopi boleh memberi kesan sementara dalam meningkatkan tekanan darah.
Kafein bertindak dengan merangsang sistem kardiovaskular dan menyebabkan peningkatan tekanan darah buat sementara waktu.
Tapi, Mama Siti tak sarankan untuk Mama Papa mengambilnya secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan lain kepada Mama Papa.
Elakkan Ini untuk Pengidap Tekanan Darah Rendah
Ada beberapa perubahan dalam pengambilan makanan Mama Papa yang boleh membantu untuk tingkatkan tekanan darah dan mencegahnya daripada terus kekal darah rendah.
- Makanan tinggi karbohidrat ringkas – Gula, roti putih, dan makanan manis yang boleh menyebabkan penurunan mendadak gula darah.
- Alkohol – Boleh menyebabkan dehidrasi dan menurunkan tekanan darah.
- Berdiri lama – Boleh menurunkan aliran darah, menyebabkan pening.
- Makanan terlalu panas – Pembuluh darah mengembang, menurunkan tekanan darah.
- Makanan tinggi kalium – Kurangkan pengambilan pisang, tomato, kentang.
- Melangkau waktu makan – Makan secara tetap untuk elakkan penurunan gula darah.
- Perubahan posisi mendadak – Bangun secara perlahan-lahan.
Menjaga pemakanan yang sihat dan seimbang boleh membantu mengawal tekanan darah rendah dan mengelakkan simptom yang tidak selesa.
Selain itu, penting Mama Papa mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara berkala dan cukup tidur untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan.
Dengan pengambilan makanan yang tepat, anda boleh membantu menstabilkan tekanan darah Mama Papa dan menikmati kehidupan yang lebih sihat.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa perbezaan tekanan darah rendah dengan darah tinggi? Klik di SINI.