Menurut kajian. kira-kira 50 peratus wanita menggunakan sabun biasa atau sabun mandi untuk mencuci bahagian sulit mereka, sedangkan kandungan pH di dalam sabun mandi berbeza dengan nilai pH yang diperlukan pada bahagian itu. Walaupun sebab di sebalik tabiat ini tidak dinyatakan, namun boleh berlaku disebabkan kebanyakan wanita hanya menggunakan satu pencuci sahaja bagi keseluruhan tubuh. Mereka tidak berfikir dua kali tentang kawasan intim yang memerlukan penjagaan khas. Ramai yang tidak tahu, penggunaan produk yang bukan direka untuk bahagian tersebut mungkin boleh memudaratkan.Ini seperti kejadian jangkitan kuman atau rengsa, pH vagina berubah, berbau, gatal, dan keputihan.
- Vagina yang sihat bergantung kepada tiga faktor iaitu keseimbangan pH, bakteria yang sihat dan kandungan glikogen epitelium, yang mana jika salah satunya tidak berfungsi dengan baik, boleh menyebabkan pelbagai gejala dan masalah.
- Kawasan vagina adalah satu ekosistem dinamik yang mengandungi kira-kira 109 koloni bakteria yang menyebabkan keputihan normal berwarna putih, tidak berbau dan kelikatan yang tinggi.
- Organisma bakteria normal dikuasai lactobacilli bersama patogen-patogen lain, dengan keadaan vagina yang berasid iaitu nilai pH 3.8 sehingga 4.2 akan menghalang pertumbuhan bakteria-bakteria memudaratkan.
- Jika tidak diberi perhatian, masalah-masalah yang lebih serius boleh berlaku seperti STD (jangkitan penularan seksual), HIV, perkembangan PID (penyakit keradangan pelvik), kemandulan, kanser servik, kelahiran pramatang dan kematian bayi dalam kandungan.
Jadi amat penting bagi setiap wanita mengetahui tentang kesihatan vagina mereka di mana keseimbangan pH vagina boleh berubah disebabkan oleh keadaan tertentu yang jarang dipedulikan. Mereka tidak tahu bahawa faktor perubahan hormon dan peningkatan usia boleh menyebabkan pH vagina berubah. Faktor-faktor lain seperti menopaus, melahirkan anak, diabetes, stres, merokok, dan mengamalkan pemakanan tidak sihat seperti makanan ringan boleh mengundang kepada masalah ini.
UBAH RUTIN PENJAGAAN HARIAN ANDA!
Penjagaan bahagian intim seringkali dipandang remeh dan kebanyakan isu yang berkait rapat dengannya dipandang ringan sehingga membawa kepada masalah yang begitu besar kepada kesihatan wanita. Wanita di negara ini masih menganggap kesihatan bahagian intim tidak boleh dibincang secara terbuka kerana sesuatu yang tabu untuk diperkata. Ini menyebabkan mereka lebih banyak berdiam diri dan tidak mahu mengambil tahu tentang penjagaan sepatutnya perlu dilakukan pada anggota sulit mereka. Kerana sikap malu begini, kebanyakan wanita mengambil jalan pintas dengan mencari informasi sendiri di sumber-sumber yang tidak sahih di Internet. Akibatnya, maklumat yang diperoleh mungkin tidak membantu dan akhirnya menggunakan produk yang tidak dicipta khas untuk bahagian intim seperti sabun mandi di dalam bilik mandi.
- Disarankan wanita supaya bijak memilih produk pencuci yang kaya dengan kandungan semula jadi dan prebiotik dalam usaha untuk melindungi bahagian intim daripada pelbagai gejala yang berkait rapat dengan ketidakseimbangan pH.
- Selain itu, wanita harus memilih seluar dalam jenis kain kapas supaya bahagian intim kering sentiasa dan menukar segera seluar dalam yang bersih selepas berenang atau melakukan aktiviti air.
- Bagi yang tidak tahu, antibiotik yang tidak penting untuk diamalkan perlu dielakkan.
- Bersihkan kawasan intim anda setiap kali selepas melakukan aktiviti seksual.
- Ketika datang bulan pula, amat penting untuk kerap menukar tuala wanita anda dan menguruskan tekanan anda dengan lebih baik.
Sumber: Utusan