Anak kecil meraung tidak mahu ditinggalkan. Ibu atau bapa yang menghantar nampak serba salah. Para guru cuba menenangkan anak-anak kecil yang baru hendak belajar erti pergi ke sekolah. Namun, ada juga yang tidak berjaya ditenangkan, maka ibu atau bapa terpaksa menunggu di luar bilik sekolah supaya mata anak akan sentiasa nampak bahawa dia tidak ditinggalkan. Mengapakah ini masih berlaku dalam pendidikan negara yang semakin moden dan bakal mencapai status negara maju?
Ya, kerana inilah apa yang ramai anak-anak kita lalui pada minggu pertama persekolahan. Mereka merasakan pelbagai perasaan. Banyak ruang selesa (comfort zone ) yang perlu dipecahkan dan bila ini berlaku, maka keselesaan emosi dan mental tercabar. Walaupun dunia telah maju, fenomena ini masih wujud kerana keperluan asas utama manusia itu masih sama. Manusia perlukan rasa selamat. Apatah lagi manusia yang kecil itu.
Apabila rasa selamat mereka terganggu, mereka akan melakukan tindakan larI atau lawan. Lari di sini itulah yang kita lihat mereka tidak mahu ke sekolah dan meraung-raung agar tidak ditinggalkan. Lawan pula, mereka akan mengamuk dan membuat hal seperti memukul adik, memukul kawan atau mengadu domba akan perkara buruk di sekolah. Ini semua adalah kerana mereka belum cukup persediaan mental dan emosi untuk berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga atau adik-adik mereka. Jalan penyelesainya ialah menyediakan anak-anak ini dari segi fizikal, mental, emosi dan jiwa mengenai bersekolah.
PERSEDIAAN YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH IBU BAPA ATAU PENJAGA, IAITU:
- Daripada segi fizikal: Keperluan fizikal ialah untuk dapat hidup dengan baik dan selesa. Oleh itu pastikan mereka sihat, bersih, ada makanan dan minuman.
- Baju dan kasut yang bersih. Kerana ini memberi mereka rasa selesa dari segi fizikal. Alat tulis yang mencukupi dan peralatan sekolah yang mencukupi. Tidak perlu berlebih-lebih membeli yang mahal-mahal terutamanya zaman ekonomi yang mencabar sekarang ini.
- Daripada segi minda: Keperluan minda ialah untuk berfikir positif, belajar dan berfikir dengan cara menanamkan rasa positif mengenai sekolah dan apa yang akan dipelajari di sekolah. Bina dan terus bina akan pemikiran yang bagus, positif mengenai guru-guru mereka, kawan-kawan mereka dan apa yang diajar di sekolah.
- Mungkin ada anak-anak yang sudah biasa ke tadika, minggu pertama ini mungkin mereka merasa bosan sedikit mengenai pelajaran mereka kerana mereka sudah belajar di tadika. Di sinilah peranan ibu bapa untuk memberitahu anak-anak bahawa bila kita sudah tahu semuanya menjadi senang. Apa yang sangat penting ditanamkan pada anak-anak ini ialah semangat suka belajar dan mendalami ilmu.
- Daripada segi emosi: Memerlukan rasa dikasihi dan selamat. Anak-anak perlu disediakan dengan perasaan berasa selamat untuk berpisah dan berasa selamat untuk berada di sekolah. Oleh itu semasa hari suai kenal, kenalkanlah anak-anak dengan rakan-rakan baru, guru-guru, tempat-tempat penting seperti tandas, bilik guru dan sebagainya. Kenalkan dengan pak cik driver van atau bas sebelum hari dia perlu ambil pengangkutan itu.
- Malah ibu bapa juga perlu membuat kaji selidik mengenai sekolah, guru-guru dan pemandu kenderaan yang bakal anak-anak gunakan.
- Daripada segi perasaan seorang anak: Apabila masuk ke sekolah atau tadika, itu adalah dunia baru baginya. Ada anak-anak yang suka untuk meneroka. Ada juga yang takut. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi mereka berasa selamat. Contoh, jika berjanji akan datang mengambilnya pada pukul 12.30 petang, pastikan anda ada di situ sebelum itu. Ini akan memberi rasa selamat pada anak itu.
- Selain itu, anak juga perlu diberitahu, tempat untuk dia pergi sekiranya dia mendapati orang yang mengambilnya lambat. Ibu bapa mungkin boleh menyarankan anak itu pergi menunggu di kantin atau di bilik guru. Berilah jangka masa untuk anak itu tahu, bila maksud lambat. Supaya, sekira ada perkara berbangkit yang menyebabkan ibu atau bapa atau yang ditugaskan mengambil dia lambat, dia tidak berasa takut yang berlebihan.
- Selain itu, anak juga sedang melalui banyak tekanan emosi. Kerana banyak perkara yang perlu dia menyesuaikan diri. Oleh itu berilah ruang untuk anak merasai dirinya dijaga dan dilindung. Paling penting, ibu bapa sendiri perlu tahu bahawa anda sendiri sedang melalui perubahan yang penting dan boleh memberi tekanan emosi. Contohnya, berpisah dengan anak dan meninggalnya di dalam jagaan orang lain.
ANAK MELANGKAH KE ALAM BARU. IBU BAPA KENA REDHA
Maksud tersirat yang telah difahamkan bila anak masuk sekolah. Contohnya, ada ibu atau bapa yang merasai kehilangan anak kerana anak kini sudah memasuki suatu alam baru iaitu alam persekolahan yang membawa maksud anak sudah besar dan tidak lagi memerlukan ibu bapa. Emosi yang melekat kepada fahaman tersirat ini boleh memberikan tekanan emosi pada ibu atau bapa. Oleh itu, anda perlu memahami perasaan anda dan mengiktiraf perasaan itu. Bila perasaan itu diiktiraf, anda akan dapat menggunakannya dengan baik. Daripada segi jiwa: Jiwa perlu untuk berbakti dan berbuat baik. Di sinilah ramai ibu bapa terlepas pandang. Anak-anak perlu disedia dan faham tujuan utama mereka ke sekolah. Bila mereka sudah mempunyai tujuan yang logik, jelas, mengikuti zaman dan sealiran dengan keperluan jiwa, maka anak-anak akan menggunakan persekolahan dengan paling positif untuk mereka dan dunia.
Jika ibu bapa mengenal sekolah itu sebagai tempat untuk mereka belajar, mendapat A supaya mereka mendapat kerja yang baik, gaji yang lumayan, hidup yang mewah, ini tidak lagi bersesuaian dengan zaman sekarang kerana anak-anak sudah terdedah kepada fenomena mereka yang tidak bersekolah tinggi tapi berjaya dalam hidup, hidup mewah dan sebagainya. Maka Ibu bapa perlu lebih bijak memberikan pengisian jiwa mengapa anak itu perlu ke sekolah. Sekadar meraih A, tidak akan menyebab anak itu terdorong untuk mahu melakukannya. Melainkan disebalik erti meraih itu, disematkan kefahaman bahawa, bila dia berusaha menimba ilmu dia akan dapat membantu ramai orang. Dia akan menjadikan hidupnya bermakna. Jangan ingat anak kecil tidak akan faham.
PERSEDIAAN ASAS IBU BAPA PERLU TAHU SEBELUM HANTAR ANAK KE TADIKA & SEKOLAH
- BIASAKAN BERJUMPA ORANG
Untuk membiasakan anak dengan persekitaran dan orang baru, cuba biasakan mereka untuk berjumpa orang baru atau bermain dengan anak-anak lain seusia mereka. Bagi anak yang sudah mula memahami perbualan, anda boleh mula memberitahunya tentang taska. Mungkin anda boleh memberitahu bila mereka akan pergi, apakah yang akan dibuat di sana, pukul berapa anda akan datang menjemputnya, dan macam-macam lagi. Dedahkan mereka dengan cerita yang seronok hingga menjadikan mereka bersemangat. Yang penting, jangan lupa beritahu mereka bahawa anda tetap sayangkannya walaupun terpaksa berjauhan seketika.
- CUBA TINGGALKAN SECARA BERKALA
Jika sebelum ini anak anda tak pernah berpisah atau berenggang dengan anda, inilah masanya untuk anda mencuba. Lakukannya secara berkala dengan meminta pertolongan suami, keluarga, atau sesiapa yang anda percayai. Mulakan dalam tempoh 10 minit, 30 minit, 1 jam, dan seterusnya. Dengan latihan ini, anak anda akan belajar bahawa ibu akan sentiasa datang kembali walaupun mereka ditinggalkan.
- MEMBACA BUKU CERITA
Membaca buku cerita adalah salah satu cara untuk anda menyampaikan mesej kepada anak dengan berkesan. Tema ‘separation anxiety’ boleh didapati secara meluas melalui buku bergambar kanak-kanak. Rata-rata, ia mengisahkan bagaimana si ibu akan meninggalkan si anak buat sementara waktu dan akan kembali semula. Apabila anak memahami tentangnya, anda boleh selalu mengingatkan kisah ini semasa hantar anak ke taska kelak.
- BERMAIN LAKONAN
Selain membaca, anda juga boleh melakonkan babak pergi sekolah seperti bermain ‘cikgu-cikgu’ dengan anak. Dengan cara ini, mungkin anak akan lebih memahami situasi tersebut apabila tiba masanya. Mudah saja, sediakan prop seperti meja dan kerusi untuknya duduk atau ruangan khas yang dianggap seperti sekolah. Kemudian, lakonlah watak masing-masing. Boleh juga ajak suami sekali!
- BAWA ANAK MELIHAT TASKA/SEKOLAH
Bawa anak melihat taska dan kenalkan kepada persekitarannya. Selalunya, setiap taska akan mengendalikan ‘open day’ di mana ibu bapa berpeluang melihat kesesuaian dan mengetahui lebih lanjut tentang taska tersebut secara mendalam. Setelah ‘open day’ tersebut, anda juga boleh lalu-lalang atau membawa anak bersiar-siar dari jauh untuk memberi ‘feel’ kepadanya jika mereka nampak teruja. Tapi ingat, jangan terlalu memaksa atau ‘over-excited’ hingga menakutkan mereka pula.
- MULAKAN RUTIN TIDUR YANG KONSISTEN
Dalam tempoh 1-2 bulan sebelum hantar anak ke taska, anda sudah boleh mulakan rutin tidur dan bangun pagi secara konsisten. Ini penting, kerana anak akan kurang meragam apabila mereka cukup tidur dan cukup makan. Bayangkan, apabila anak lewat bangun anda tidak akan sempat memberinya sarapan dan si anak menjadi keliru apabila keadaan menjadi kelam-kabut. Apabila hantar anak ke taska dalam keadaan ini, kemungkinan besar mereka akan terus mengamuk dan menangis.
- BEKALKAN BARANG KESAYANGAN ANAK
Barang kesayangan anak seperti mainan yang biasa dipegang, selimut kesukaannya, dan mungkin bekas makanannya perlu dibekalkan kepada pihak taska. Sekurang-kurangnya perlu ada salah satu agar dapat membantu anak lebih cepat berasa ‘familiar’ dengan persekitaran tersebut.
- KETAHUI TEKNIK UCAPAN ‘SELAMAT TINGGAL’
Cara ucapkan selamat tinggal yang paling berkesan ada 2 ciri iaitu ‘short & sweet’. Ini bermaksud, anda perlu memberi perhatian semasa mengucapkannya, tetapi jangan terlampau panjang hingga menjadikan anak berasa gelisah. Cukuplah sekadar memberitahunya ‘Mama akan kembali’ dan ‘Mama sayang kamu’. Yang lain-lain bolehlah anda beritahunya sejak di dalam kereta lagi ya!
- JANGAN ‘BERPATAH BALIK’
Salah satu kesilapan besar ibu bapa adalah dengan ‘berpatah balik’ kerana tak sampai hati melihat si kecil meraung. Anda perlu berpendirian tetap dan konsisten kerana anda telah memberitahu anak bahawa anda hanya akan datang mengambilnya pada waktu tertentu. Apabila anda ‘berpatah balik’, ketahuilah bahawa anda menjadikan keadaan lebih rumit buat si anak. Mereka akan keliru dan menganggap bahawa setiap kali menangis atau menjerit, ibu bapa akan cepat datang. Maka, kuatkan hati anda dan lambaikan tangan sambil tersenyum. Walaupun sedih, jangan sesekali menangis di hadapan si kecil. Ini akan menjadikan mereka lebih emosional dan sukar diurus pada hari yang mendatang.
- BERIKAN MASA
Setiap ibu bapa perlu membuat persediaan mental dan fizikal dalam proses hantar anak ke taska. Jangan letak ‘expectation’ yang terlalu tinggi dan jangan pula marahkannya sekiranya anak belum dapat menyesuaikan diri.
Sumber : Utusan / Siraplimau.com