Stres atau tekanan merupakan gangguan emosi, proses pemikiran dan keadaan fizikal seseorang. Ia adalah tindak balas terhadap sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang berasa takut, gelisah dan terancam. Apabila stress, badan akan menghasilkan adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih kencang, pernafasan bertambah laju dan peningkatan tekanan darah tinggi.
Rasa tertekan, cemas, dan letih. Begitulah antara beberapa rentetan rasa yang dialami kebanyakan ibu sewaktu melalui alam keibuan. Pengalaman itu lebih-lebih lagi dirasai oleh ibu muda yang bukan sahaja terpaksa mengimbangkan antara perubahan emosi dengan perubahan hormon. Bahkan, mereka juga perlu mengetahui gerak hati dan mempunyai pengetahuan tentang hal penjagaan yang terbaik bagi bayi, suami dan urusan rumahtangga. Tidak diragukan lagi bahawa wanita memikul tanggungjawab yang besar di rumah suaminya. Tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada sekadar memberikan layanan kepada suami, memberi anak-anak makan minum dan mengurus rumah. Wanita yang bergelar isteri merupakan sumber inspirasi atau faktor kemajuan suaminya.
PENGURUSAN MASA BAGI WANITA BEKERJAYA
Lebih memenatkan, jika seorang ibu itu turut bekerja demi membantu ekonomi keluarga. Ini beberapa saranan yang boleh anda ikut agar stres anda bergelar ibu yang bekerjaya dapat dikurangkan.
- Jika anda wanita yang bekerjaya, kerja pejabat seharusnya diselesaikan di pejabat. Jika kerja-kerja yang tidak dapat diselesaikan dibawa pulang, pasti akan mengurangkan masa bersama keluarga kerana terlalu sibuk mahu menghabiskan kerja pejabat. Secara tidak langsung akan mengehadkan komunikasi antara ahli keluarga. Apabila berada di pejabat pula, mereka seharusnya melupakan hal rumah untuk seketika. Justeru itu, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menghabiskan kerja di pejabat dan dapat mengelak daripada membawa balik kerja pejabat ke rumah.
- Luangkan masa yang berfaedah bersama keluarga. Lakukan aktiviti berfaedah bersama-sama dengan anak-anak. Contohnya, bacakan buku pada anak-anak sebelum tidur, bermain bersama anak-anak atau makan bersama dengan anak dan suami. Pada masa inilah yang boleh digunakan untuk mendalami, mendekati serta memahami anak-anak.
- Masa yang terhad sering membuatkan seseorang kelam-kabut. Sebagai ibu bekerjaya, lebih dari separuh hari dihabiskan di pejabat dan selepas itu menguruskan rumah tangga. Keadaan ini sudah tentu akan membuatkan wanita tesebut penat sehingga kadangkala mengabaikan urusan rumah tangga. Dalam keadaan ini, adalah tidak salah jika suami turut membantu. Selain itu, anak-anak juga boleh diberi kepercayaan untuk meringankan beban si ibu.
- Sistem kehidupan juga turut dapat membantu dalam menguruskan masa dengan baik malah mereka juga akan berasa lebih tenang apabila berhadapan dengan masalah. Wujudkan sistem peraturan bagi setiap aktiviti dalam rumah dengan melibatkan seisi keluarga. Sebagai contoh, sediakan bakul khas untuk meletakkan pakaian kotor. Asingkan pakaian kotor yang dipakai ke pejabat dan di rumah. Selain itu, sediakan bakul khas untuk pakaian berwarna dan putih juga. Dengan cara ini, anda tidak perlu bersusah-payah mengumpul dan mengasingkan pakaian kotor apabila tiba waktu mencuci serta ia juga dapat menjimatkan masa.
SUAMI TOLONG MEMAHAMI ISTERI ANDA
Pasangan hidup atau suami juga merupakan salah satu faktor luaran untuk seseorang wanita mendapat stres. Suami yang tidak memahami kesibukan dan kepenatan isteri dengan tidak membantu mereka dalam meringankan tugas – tugas harian di rumah. Isteri keluar bekerja bersama dengan suami agar ia dapat memperkukuh dan menstabilkan lagi kedudukan kewangan keluarga mereka. Namun, ada suami yang masih lagi memegang pada norma-norma yang lama iaitu tugas isteri adalah di dapur. Oleh itu kerja-kerja di rumah sepatutunya diuruskan oleh isteri walaupun selepas penat bertugas di pejabat. Keadaan ini sudah pasti akan memberi kesan yang negatif pada isteri dan juga keluarga mereka. Secara tidak langsung, ia juga boleh menjurus ke arah penceraian serta menimbulkan stres yang lebih besar.
Ahli keluarga yang terdekat seperti emak, ayah dan suami turut menjadi sumber sokongan bagi wanita yang bergelar ibu. Mereka boleh mendengar luahan hati wanita tersebut dan memberi pertolongan sekiranya perlu. Di rumah mereka juga turut boleh membantu dengan meringankan beban tugas wanita dengan membantu dalam membuat kerja-kerja rumah.
CARA MENGENDALIKAN STRES UNTUK WANITA
Stres boleh membunuh secara perlahan, oleh sebab itu adalah lebih baik untuk seseorang terutamanya wanita bergelar ibu dan isteri agar boleh mengatasi stres agar dapat menyediakan suasana yang positif dalam rumahtangga.
- Antara cara–cara mengatasi stres adalah dengan merancang dengan bijak tugas-tugas yang perlu diselesaikan bukan sahaja untuk jangka panjang tetapi juga untuk jangka pendek. Dengan adanya perancangan ia akan membolehkan individu berkenaan untuk melaksanakan tugasannya dengan lebih teratur mengikut kepentingan.
- Gaya hidup sihat adalah sangat penting bagi menghadapi stres seharian. Luangkan beberapa minit dalam sehari untuk menegangkan otot dan mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Amalan pemakanan yang sihat juga penting agar ia membolehkan kita menjadi segar, ceria dan bertenaga pada setiap masa.
- Membeli-belah adalah terapi terbaik kaum Hawa. Luangkan sedikit masa untuk ke pusat membeli-belah kegemaran anda walaupun hanya untuk ‘window shopping’.
- Teknik urut turut memainkan peranan yang penting dalam meringankan stres seseorang. Teknik ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ia boleh dilakukan sesama jantina dan begitu juga dengan pasangan suami isteri. Dengan menggunakan teknik ini, ia dapat menenangkan dan meringankan anggota badan seseorang. Secara tidak langsung ia juga akan mengeratkan hubungan pasangan sekiranya suami yang mengurut isterinya.
- Wujudkan ‘me time’ untuk diri sendiri. Seperti mana suami kadang kala dapat melakukan hobi kegemaran mereka setiap hujung minggu. Anda juga sebagai wanita perlu ada masa untuk diri sendiri. Bincang dengan suami anda agar memberi anda merehatkan diri sebentar bersama kawan-kawan atau melakukan spa sekurang-kurangnya sebulan sekali.
- Senyuman mempunyai impak yang begitu besar dalam meringankan stres seseorang individu. Orang yang sentiasa senyum juga turut menghadapi stres tetapi dia dapat mengawalnya dengan lebih baik dan mudah berbanding orang yang tertekan dan lupa untuk senyum. Terdapat juga banyak kebaikan daripada senyuman tersebut. Antaranya adalah mengurangkan kadar sakit jantung, ubat penahan sakit yang semula jadi, pernafasan menjadi lebih baik, dapat tidur yang berkualiti, memperbaiki hubungan sesama kawan atau pasangan, membolehkan kita mengurangkan berat badan dan membantu kita untuk sentiasa tampak muda dan cantik.
Sumber: Internet