Orang sering berfikir bahawa kencing manis (Diabetes Mellitus) akan hanya menyerang orang gemuk dan tidak aktif, atau tidak sihat. Tetapi sesiapa sahaja boleh mendapat kencing manis, walaupun atlet bertaraf dunia, doktor, kanak-kanak dan bayi. Penyakit Kencing Manis (Diabetes Mellitus) adalah satu keadaan di mana paras glukos (gula) adalah tinggi di dalam darah disebabkan oleh kekurangan atau kurang keberkesanan insulin.Keadaan ini disebabkan oleh kurang hormon insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas. Insulin mengawal keseimbangan glukos dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari darah ke dalam sel. Sekiranya anda mengalami diabetes mellitus, glukos tidak boleh masuk ke dalam sel, ia kekal di dalam darah dan menyebabkan paras glukos yang tinggi.
TANDA KENCING MANIS
- Kerap Dahaga Dan Kerap Kencing Pada Waktu Malam
Tanda kencing manis yang paling biasa ialah selalu rasa haus. Apabila waktu malam pula, selalu ke tanda untuk kencing. Lebihan glukosa dalam saluran darah membuatkan buah pinggang bekerja lebih keras untuk memprosesnya. Ini menyebabkan seseorang menjadi kerap membuang air kecil pada waktu malam. Apabila air banyak hilang anda akan menjadi lebih dahaga. Itulah antara petanda badan anda sedang cuba menggantikan air yang telah hilang.
- Berat Badan Menyusut Dengan Drastik
Pelik atau tidak? Makan macam biasa, tetapi berat badan menurun? Inilah antara tanda kencing manis. Bagi sesetengah orang, kehilangan berat badan secara drastik dalam masa yang singkat mungkin menggembirakan mereka. Tetapi awas kerana ia mungkin salah satu tanda anda menghidap kencing manis kerana disebabkan oleh kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga yang menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.
- Jarak Penglihatan Menurun
Jangan ingat tidak nampak itu disebabkan rabun. Antara tanda kencing manis yang orang selalu abaikan ialah tidak dapat melihat dengan jelas. Kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata yang seterusnya mengakibatkan seseorang mengalami kabur penglihatan. Seseorang itu mungkin juga akan buta sekiranya ianya dibiarkan untuk tempoh yang panjang.
- Sering Kebas Pada Tangan Dan Kaki
Antara tanda kencing manis yang lain ialah selalu rasa kebas. Ia disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah yang menyebabkan seseorang mengalami kesemutan, kebas atau bengkak pada tangan dan kaki. Ini kerana darah tidak lagi sampai pada hujung saraf anggota badan.
- Luka Yang Lambat Sembuh.
Ini tanda kencing manis yang paling menakutkan. Selalu orang kata, sampai boleh kena “Potong kaki!”. Sistem saluran darah yang rosak kerana gula berlebihan juga turut memberikan kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota-anggota badan. Pesakit juga mungkin tidak akan merasai sakit akan luka yang di alami. Paling menakutkan apabila luka-luka ini menjadi semakin teruk dan membusuk dimana hanya dengan memotong anggota badan tersebut merupakan jalan untuk menyembuhkannya.
Terdapat dua jenis Kencing Manis (Diabetes Mellitus)
- DIABETES MELLITUS JENIS 1 – selalu terjadi dikalangan kanak-kanak dan remaja, ia meliputi > 90 % kes kencing manis. Kejadian diabetes mellitus berbeza antara negara dan komuniti.
- DIABETES MELLITUS JENIS 2 – Orang dewasa selalunya mendapat diabetes mellitus jenis 2 tetapi dengan masalah kegemukan di seluruh dunia, kanak-kanak juga boleh mendapat diabetes mellitus jenis ini.
Apakah yang menyebabkan Kencing Manis (Diabetes Mellitus)?
- Sebab diabetes mellitus terjadi dikalangan kanak-kanak tidak diketahui.
- Kemungkinan ia melibatkan gabungan antara keturunan dan faktor persekitaran.
- Diabetes mellitus jenis 1: Kanak-kanak dan remaja selalunya mendapat jenis 1. Ia adalah satu keadaan “antoimmune” di mana sistem imun badan pesakit menyerang tisu-tisu dan organ badannya sendiri.
- Diabetes mellitus jenis 2: Dilaporkan kerap terjadi dikalangan kanak-kanak di negara-negara yang mengalami peningkatan kadar kegemukan/obesiti.
- Sebab-sebab lain termasuk kecacatan genetik fungsi pankreas di mana diabetes mellitus berlaku ketika seseorang itu masih muda (maturity onset of diabetes in the young: MODY).
Bolehkah diabetes mellitus dicegah?
- Tiada cara yang jelas untuk mengelakkan diri daripada mendapat diabetes mellitus jenis 1.
- Untuk diabetes mellitus jenis 2, adalah disarankan anda mengamalkan gaya hidup sihat.
KANAK-KANAK JUGA BERISIKO UNTUK MENGHIDAP KENCING MANIS
Gejala yang ditunjukkan oleh pesakit diabetes mellitus jenis 1 bermula 1 minggu atau lebih sebelum kanak-kanak tersebut betul-betul sakit. Anak anda mungkin mengadu:
- Kerap kali kencing dan air kencing banyak (siang dan malam).
- Rasa haus yang amat sangat.
- Berat badan menurun.
- Rasa letih lesu dan kurang tenaga.
- Perhatian: (Kencing malam) pada kanak-kanak yang telah terlatih mengawal pundi kencingnya dikenali sebagai “secondary enuresis”. Sekiranya anak anda mengalami masalah ini, diabetes mellitus haruslah disyaki.
Gejala tambahan yang sering berlaku pada kanak-kanak:
- Sakit perut dengan atau tiada muntah.
- Sakit kepala.
- Masalah tingkah laku.
- Mudah mendapat jangkitan terutama di kulit.
- Sekiranya gejala ini tidak dikenal pasti awal, kemungkinan besar anak anda akan mengalami “diabetic ketoacidosis” (DKA).
Tips Untuk Kanak-Kanak
- Bagi kanak-kanak yang mengidap kencing manis, terutama pada yang bergantung kepada insulin, makanan yang mereka makan boleh mempunyai implikasi kesihatan yang serius di kemudian hari. Dapatkan nasihat doktor dan pakar pemakanan yang boleh membantu dalam perancangan makan sihat.
- Snek: Kebanyakan kanak-kanak memerlukan makanan ringan di antara waktu makan untuk membantu mengekalkan tahap tenaga mereka. Pilih makanan yang boleh dinikmati sehingga 3 kali sehari yang mengandungi kurang daripada 20 kalori & 5g karbohidrat, seperti satu cawan bertih jagung kosong, agar-agar bebas gula, 1 keping keju atau 1 cawan jambu/anggur hijau/epal hijau/pear.
- Kanak-kanak gemar menikmati makanan yang sama berulang-ulang kali, dan anda perlu juga mengetahui kandungan lemak dan bukan sahaja kandungan karbohidrat. Guna spageti gandum, dan keju rendah lemak & buat bebola rendah lemak dari ayam belanda atau ayam dan bukannya daging lembu. Secara umumnya cuba untuk menggabungkan lebih bijirin penuh dan kurang lemak ke dalam makanan kanak-kanak kegemaran.
- Protein tanpa lemak adalah penting termasuk daging lembu tanpa lemak, ayam tanpa kulit, keju rendah lemak. Pilih juga pelbagai jenis buah citrus oren, sayur-sayuran hijau dan roti gandum, beras perang atau beras Basmati.
- Apabila makan di luar, pastikan makanan yang dipilih serupa dengan makanan yang dihidang di rumah. Belajar untuk membuat pilihan yang tepat dari menu seperti barangan bersup dan bukan digoreng, lebihkan sayur-sayuran dan kurangkan karbohidrat, air kosong lebih baik daripada minuman bergas.
Sumber: myhealth.gov.my / Berita Harian / Internet