Chicken pox atau lebih di kenali sebagai cacar air sangat ditakuti oleh remaja perempuan ataupun gadis-gadis yang akan ke jinjang pelamin. Selain keadaan yang sungguh tidak selesa seperti gatal di seluruh badan, penyakit ini juga menyebabkan rasa sakit di bahagian dalam rongga mulut serta tekak. Malah, apabila seseorang dijangkiti penyakit ini, ia juga boleh meninggalkan kesan parut. Bagi yang tidak bernasib baik ia boleh meninggalkan parut yang sangat ketara di bahagian muka. Walaupun parut tersebut akan hilang, ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Walaupun cacar air sering menyerang kanak-kanak, ibu hamil juga tidak lari dari diserang penyakit ini, jika mereka tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Apabila seseorang dijangkiti penyakit ini, pelbagai soalan akan timbul. Antaranya, mereka tertanya-tanya, apakah yang akan terjadi pada kandungan atau kesannya pada kandungan.
APAKAH CACAR AIR?
- Ia adalah sejenis penyakit yang dibawa oleh virus DNA dan boleh merebak dengan cepat melalui titisan pernafasan.
- Sentuhan pada kulit sama ada secara langsung atau tidak langsung, boleh mengakibatkan gelembung air atau vesicles.
- Masa inkubasi biasanya adalah antara 10-12 hari.
- Selepas itu timbullah gejala seperti demam, ruam berupa cacar yang berair dan gatal pada seluruh badan.
- Kebanyakan ibu yang mempunyai anak kecil yang dijangkiti cacar air, biasanya bukan lagi jangkitan primer.
- Ini kerana mungkin ibu tersebut pernah dijangkiti cacar air satu masa dulu.
- Biasanya ibu terbabit mungkin akan mendapat serangan herpes zoster (shingles) atau kayap.
- Namun, jika ia menjangkiti ibu yang sedang hamil biasanya tidak menimbulkan apa-apa kesan pada janin.
APAKAH KESAN PENYAKIT INI JIKA DIJANGKITI OLEH IBU YANG HAMIL?
- Dianggarkan 10 peratus dari ibu hamil yang dijangkiti cacar air akan mendapat pneumonia (radang paru-paru).
- Radang ini akan menjadi lebih ketara jika dijangkiti pada peringkat lewat mengandung.
- Di Britain umpamanya, sejak tahun 1985 sehingga 1996 terdapat lebih kurang lapan kes atau kurang satu peratus kematian ibu disebabkan oleh jangkitan penyakit ini.
- Walaupun peratusannya rendah, risiko kematian ibu hamil masih ada.
BAGAIMANA PULA KESAN PENYAKIT INI PADA JANIN?
Jika ibu hamil dijangkiti cacar air ketika usia kandungan kurang 20 minggu, dianggarkan antara satu hingga dua peratus janin boleh mengalami Fetal Varicella Syndrome. Sindrom ini boleh dicirikan dengan satu atau lebih daripada kriteria berikut:
- Parut kulit
- Kecacatan mata (microphtalmia, chorioretinitis, cataract)
- Anggota tubuh yang tidak membesar dengan sempurna (limbs hypoplasia)
- Kecacatan neurological
- Usus dan pundi kencing yang tidak berfungsi.
Jika ibu hamil dijangkiti ketika usia kandungan antara 20 hingga 36 minggu, biasanya ia tidak akan menimbulkan apa-apa kesan terhadap janin. Walau bagaimanapun jika ibu terbabit dijangkiti penyakit ini ketika usia kandungannya menjangkau 36 minggu atau lebih atau sejurus semasa dan selepas bersalin, bayi tersebut boleh mendapat penyakit congenital varicella. Dengan erti kata lain ia adalah sejenis jangkitan secara konginetal. Hampir 50 peratus bayi yang baru dilahirkan boleh mendapat jangkitan ini. Selalunya, jangkitan tersebut adalah serius. Jika ini berlaku, biasanya bayi yang baru dilahirkan akan menerima suntikan antivirus.
RAWATAN
- Kebanyakan ibu yang prihatin, telah pun memastikan anak-anak mereka mengambil imunisasi tersebut. Masih belum terlambat buat para remaja, gadis, wanita yang sudah berkahwin mahupun ibu-ibu yang belum pernah dijangkiti penyakit ini untuk mendapatkan imunisasi tersebut.
- Jika dibandingkan dengan keadaan yang tidak selesa yang harus dilalui dan risiko yang harus ditanggung jika dijangkiti virus tersebut, sudah tentu anda akan memilih pencegahan. Ini kerana, ia adalah lebih baik dan menjimatkan.
- Walaupun begitu, ibu-ibu yang sedang hamil tidak boleh mendapatkan suntikan tersebut. Tetapi dinasihatkan untuk menjauhi sesiapa saja yang menghidap cacar air semasa hamil.
- Suntikan tersebut boleh ditangguhkan selepas bersalin.
- Bagi ibu-ibu hamil yang dijangkiti penyakit ini, ataupun mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan pesakit segeralah berjumpa doktor untuk mendapat nasihat dan rawatan jika perlu.
Sumber: Utusan & Dr. Suraya Arshad A.M.Z