Ulat habuk, ulat dinding, casebearer, dust worm atau serangga kamitetep. Tak kisah apa pun panggilannya, jangan anggap serangga kecil yang satu ini tidak merbahaya.
Jika Mama pernah menemui kelongsongnya di kediaman anda, sebaiknya berhati-hati kerana boleh jadi, ia telah mulai membiak dan memenuhi sudut ruangan kegemarannya.
Kelihatan seperti kepompong kerana ketika ini ia masih dalam fasa sebagai larva sebelum bertukar menjadi kupu-kupu.
Untuk pengetahuan Mama, seekor kupu-kupu ini pun dah mampu membiak sebanyak 40 hingga 50 biji telur, malah ada juga mengatakan maksimum sehingga 200 biji telur bergantung kepada spesisnya.
Jika anda jumpa satu kepompong, berkemungkinan ada puluhan lagi kepompong lain yang telah dihasilkan di sekitar ruangan tersebut.
“Ish, banyaknya! Susahlah nak cari.” Ya, kerana itulah Mama Siti katakan penemuan seekor larva sudah cukup membuktikan serangga ini telah mulai bersarang dalam kediaman anda.
Adakah ia merbahaya? Secara asasnya, ia tidaklah sampai menyebabkan kematian, namun yang pasti serangga ini boleh membawa ketidakselesaan.
Masakan tidak? Kalau terkena pada kulit, ia boleh menyebabkan kegatalan berpanjangan. Yang pasti jika dah bertelur atas tilam atau pakaian, sepanjang hari tu lah anda dok menggaru. Jika ada bayi, pastilah bertambah runsing kan Mama?
Semasa menyengat atau menggigit, biasanya kamitetep akan meninggalkan bulu di tempat yang disengat. Bulu itu yang akan menyebabkan lebam dan bengkak dengan rasa sakit dan gatal yang teruk.
Bengkak dan lebam yang disebabkan oleh sengatan serangga biasanya akan berlangsung selama beberapa hari bahkan lebih dari satu minggu kemudian akan menjadi hitam jika dibiarkan.
Namun, sebelum mengetahui cara menghapuskan serangga ini, adalah penting untuk Mama tahu apakah yang dimakan oleh ulat habuk ini kan? Dengan cara demikian, barulah Mama boleh kenalpasti teknik menyingkirkan ulat ini dengan lebih berkesan.
Makanan serangga ini pula memang sentiasa terdapat di sekitar kediaman kita iaitu sawang labah-labah, rambut gugur, bangkai serangga kecil seperti lipas, cicak dan seumpamanya.
Cara Hapuskan Ulat Habuk
Cara singkirkan ulat habuk di dalam wardrobe
Bagi kes kupu-kupu yang sudah bertelur dalam almari, ianya memang sukar untuk dibersihkan kerana kita tak tahu pakaian mana satu yang telah tercemar dengan ulat serangga ini. Bagaimanapun, Mama dan Papa boleh rujuk di bawah ini tentang cara melakukan pembersihan wardrobe pakaian.
- Keluarkan semua pakaian daripada almari.
- Cari pakaian/fabrik yang berlubang. Jika ada, asingkan kerana kemungkinan ia telah pun mempunyai telur kupu-kupu. (Kupu-kupu biasanya bertelur berdekatan dengan sumber makanannya supaya baby ulat dapat makan dengan cukup).
- Basuh pakaian yang berlubang dengan suhu 40°c sementara pakaian lain tadi boleh terus jemur dibawah panas matahari terik tanpa perlu dibasuh. Atau terus ke step di bawah iaitu:
- Basuh semua pakaian dengan suhu 40°c (disarankan). Cara ni leceh sikit, tapi sekurang-kurangnya anda dapat pastikan semua pakaian sudah tiada lagi telur kupu-kupu.
- Kemudian spray wardrobe pakaian dengan air sabun & campuran cuka. Lap seluruh bahagian dalam & luar jika perlu. Sifat cuka yang berasid mampu membunuh telur-telur serangga dan hama.
- Untuk elak ulat habuk bersarang dalam almari lagi, boleh gunakan ubat gegat ataupun bahan penyahlembapan untuk serap kelembapan dalam almari.
Cara singkirkan ulat habuk di tempat tidur
Bagi kes ulat habuk yang telah menyerang tempat tidur pula, cara membersihkannya adalah:
- Cabut semua cadar dan sarung bantal.
- Jika bantal dari jenis yang boleh dicuci, sebaik-baiknya cuci & jemur bantal. Jika bantal tak boleh dicuci, spray dengan larutan cuka sebelum jemur bawah matahari.
- Vacuum tilam dan bersihkan bawah katil.
- Spray dengan larutan cuka pada keseluruhan tilam dan juga bawah katil. Biarkan kering sendiri.
- Untuk elak ulat habuk bersarang lagi, boleh letakkan ubat gegat bawah katil. Tapi jika anda ada masalah pernafasan atau nak elak bayi daripada menyentuh ubat gegat, boleh gantikan dengan cara semulajadi iaitu gunakan daun-daun berbau kuat yang boleh berfungsi halau serangga contohnya daun salam, daun durian belanda, daun pandan dan seumpamanya. Tukar daun baru bila dah kering.
Tips Cara Kawal Ulat Habuk
Jujurnya kita hanya mampu kurangkan kawal jer populasi ulat habuk ni dalam rumah. Tiada jaminan kupu-kupu tak akan masuk dalam rumah dan bertelur lagi. Cumanya kena kerap:
- Bersihkan habuk dan sawang
- Buka tingkap untuk galakkan pengudaraan bagi bilik yang sentiasa lembap.
- Bersihkan almari dan katil secara berkala
- Vacuum kawasan yang susah nampak/nak bersihkan contohnya bawah katil, celah-celah trek pintu/tingkap sliding.
- Bagi kawasan perumahan yang banyak kupu-kupu ni (biasanya perumahan berdekatan kawasan semak/kawasan yang belum diteroka), salah satu cara nak kurangkan kupu-kupu masuk adalah dengan elak membuka lampu luar rumah kerana serangga akan mudah tertarik pada cahaya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk ketahui pelbagai lagi tips dan info tentang kesihatan serta pencegahan, Mama dan Papa bolehlah klik di SINI!