Mama pernah tak rasa ada benjolan pada Miss V Mama? Ada rasa sakit, rasa pedih, atau kadang-kadang rasa gatal? Kalau dulu benjolan tu hilang sendiri tapi sekarang benjolannya semakin membesar. Ini lah yang dipanggil bartholin cyst!
Mama Siti sendiri pun baru tahu penyakit ni tau. Kalau cyst ovari tu biasalah dengar kan? Kebetulan Mama Siti ada tonton satu perkongsian doktor di TikTok tentang penyakit ini.
Yang lebih merisaukan adalah ibu yang mengandung pun tak terkecuali juga untuk dijangkiti bartholin cyst ini. Jom baca apa sebenarnya penyakit cyst yang ni.
Bagaimana Bartholin Cyst Berlaku?
Setiap kita mempunyai sepasang kelenjar di bahagian kiri dan kanan labia majora berhampiran dengan Miss V. Kalenjar ini berfungsi untuk menghasilkan cecair sebagai pelincir apabila nafsu Mama teransang.
Setiap kelenjar bartholin berfungsi menghasilkan cairan yang disalurkan keluar melalui saluran yang kita sebutkan sebagai saluran kelenjar bartholin.
Fungsi caiaran ni untuk menjaga kelembapan Miss V agar dalam keadaan sihat. Kalau kelenjar bartholin terganggu, produksi miss V pun akan terganggu juga dan menyebabkan kesihatan Miss V terganggu juga.
Kelenjar bartholin yang tersumbat laluannya ni boleh menyebabkan cecair tersebut berkumpul dalam kelenjar sehingga boleh membentuk cyst yang semakin lama semakin membesar.
Mama jangan risau, apa yang Mama Siti tahu bartholin cyst tidak merbahaya ia juga tiada kaitan dengan kanser kerana peratus untuk menjadi kanser sangat lah rendah.
TETAPI ia boleh menjadi penyakit serius jika bertholin cyst membentuk menjadi abscess (nanah) bersaiz sebesar bola ping pong yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan mula mengganggu aktiviti bersama Mama Papa dan pergerakan harian Mama.
Punca-punca Bartholin Cyst
Ada beberapa punca yang boleh menyebabkan sista bartholin ini terjadi pada Miss V Mama, kadang-kala saiznya boleh menjadi sehingga bola golf.
- Keputihan: keputihan Mama yang kronik menjadi salah satu punca sista bartholin, ramai yang memandang remeh keputihan ini dan anggapnya normal, sedangkan ia boleh menjadi tempat bakteria membiak.
- Jangkitan bakteria: jangkitan ini boleh disebabkan faktor kebersihan juga, antara bakteria yang boleh menyebab cyst berlaku ialah bakteria Escherichia coli (E. coli) dan bakteria jangkitan seksual seperti gonorea dan chlamydia.
- Faktor umur: Mama berumur 20-29 tahun mempunyai risiko tinggi untuk dijangkitinya.
- Penyakit kelamin: Boleh juga dijangkiti sekiranya selalu bertukar pasangan, perlu berwaspada dengan penyakit kelamin seperti gonorhea dan sifilis.
Rawatan untuk Bartholin Cyst
1. Sitz Bath
Mama boleh cuba lakukan sitz bath beberapa kali sehari untuk mengecutkan kembali cyst pada kawasan miss V. Mama boleh gunakan mana-mana besen yang selesa untuk Mama gunakan. Pastikan Miss V Mama terendam ye, ini dapat membantu untuk mengecutkan.
2. Pengambilan Antibiotik
Doktor akan berikan Mama ubat antibiotik untuk mengurangkan jangkitan bakteria pada cyst sekiranya dijangkiti.
3. Marsupialization
Untuk marsupialization pula ialah prosedur pembedahan yang perlu Mama lakukan dengan membuat potongan pada cyst dan dijahit sisi bersama untuk mengeluarkan nanah. Prosedur pembedahan ini dapat mengecutkan cyst .
Prosedur ini tidak mengambil masa yang agak lama, untuk lebih detail bagaimana nanah ini dikeluarkan Mama boleh tengok video pembedahan ini supaya Mama faham prosedur marsupialization dilakukan.
Bartholin cyst ini boleh berlaku berulang kali, jadi untuk mencegahnya Mama perlu menjaga kebersihan Miss V untuk mengelakkan jangkitan bakteria. Jadi, Mama tidak perlu hairan sekiranya cyst ini sekejap ada sekejap hilang.
Mama jangan memicit atau gunakan jarum untuk pecahkan sendiri benjolan nanah cyst ni tau, boleh kena jangkitan kuman. Ada cyst yang akan pecah sendiri, kalau ia makin membesar dan mula sakit, dapatkan rawatan segera.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak informasi tentang kesihatan Mama di SINI.