Mama biasa tak masak sayur pucuk manis untuk hidangan keluarga? Tak pernah? Ish, rugi tau! Tahukah Mama sayur ini antara yang ulaman yang banyak khasiatnya kepada manusia?
Umumnya kebanyakkan sayur berdaun hijau memberikan rasa pahit kan? Tapi berbeza dengan pucuk manis yang mana ia lebih lembut selepas dicelur dan rasa pahit pun tak ada.
Selain dimasak sebagai hidangan berlauk, ia juga sebenarnya banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Orang-orang dahulu menggunakan pucuk manis ini untuk merawat penyakit kencing manis, penyakit mata, mengurangkan berat badan, batuk, cirit-birit dan ulser.
Asalnya, pucuk manis adalah sebuah tumbuhan herba liar yang boleh didapati secara meluas di Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Dikenali dengan pelbagai versi nama seperti cekur manis, asin-asin, sayur manis dan juga mani chai, ulaman ini dikategorikan tumbuhan yang agak lasak.
Pucuk manis boleh tumbuh tinggi sehingga lapan meter dan mengeluarkan buah kecil seakan buah manggis.
Pokok herba ini selalunya ditanam secara keratan batang terus di atas tanah.
Diklasifikasikan sebagai tumbuhan perennial, pokok ini bukan herba bermusim dan boleh tumbuh dan mengeluarkan hasil sehingga bertahun lamanya.
Penjagaannya pula sangat mudah dan tidak rumit. Ia hanya perlukan tanah dengan pengaliran air yang baik dan dibaja sebulan sekali. Pucuk manis boleh dituai untuk dimakan sebulan selepas ditanam.
Khasiat Pucuk Manis
Berikut adalah kebaikan sayur pucuk manis untuk tubuh badan kita:
1. Kaya dengan antioksidan
Cekur manis kaya dengan antioksidan iaitu sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
2. Membantu mengurangkan berat badan
Ia mempunyai sebatian yang boleh bertindak sebagai agen antiobesiti.
3. Membantu meningkatkan pengeluaran susu badan
Daun cekur manis sangat bagus diamalkan oleh ibu yang menyusukan bayi. Hal Ini demikian kerana tumbuhan ini boleh membantu meningkatkan pengeluaran susu badan. Penggunaan daun ini dalam meningkatkan susu badan banyak diamalkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Satu kajian yang dijalankan terhadap ibu menyusu mendapati ekstrak daun cekur manis boleh meningkatkan penghasilan susu ibu sebanyak 50% berbanding plasebo.
4. Melawan jangkitan bakteria dan kulat
Ekstrak cekur manis juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah dan melawan jangkitan bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan keracunan makanan, radang paru-paru, jangkitan darah, jangkitan salur kencing dan jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merendahkan paras gula dalam darah
Masyarakat di India menggunakan daun herba* ini untuk mencegah dan merawat penyakit kencing manis atau diabetes. Yang penting, Mama Papa jangan ambil secara berlebihan tau.
Menurut Dietitian, Puan Mardhiah, pengambilan pada tahap selamat adalah kurang daripada 400mg/kg berat badan.
6. Merawat keguguran rambut dan botak
Pucuk manis turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat keguguran rambut atau botak. Daun yang dicampur dengan susu, kemudiannya ditumbuk untuk dijadikan poultis yang seterusnya disapu pada kulit kepala.
Kaedah Memasak Yang Selamat
Walaupun mengandungi banyak khasiat, namun awas dengan cara memasak sayuran ini. Sama seperti pucuk ubi, cekur manis juga perlu direbus sebelum dimakan kerana mempunyai alkaloid.
Alkaloid boleh menyebabkan masalah pernafasan jika diambil secara mentah dan dalam kuantiti yang banyak dan kerap namun, kajian menunjukkan kandungan alkoid lebih tinggi didalam daun yang matang dan bukannya daun muda atau pucuk.
Lazimnya, pucuk sayur manis menjadi pilihan orang Melayu dalam membuat makanan berasaskan kuah seperti sayur lemak, ditumis pedas atau ditambah dalam telur dadar, orang Cina pula gemar menjadikan herba ini sebagai hidangan sampingan untuk pan mee dan bubur.
Dah tau khasiat dan cadangan menu untuk lauk pucuk manis kan? Ha, bolehlah Mama selitkan menu ni sebagai juadah bersama keluarga lepas ni!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk pelbagai info dan tips tentang Kesihatan, bolehlah klik di SINI!