Selain daripada hari kelahiran, sambutan Hari Ibu juga pastinya antara hari yang bermakna untuk meraikan seorang wanita.
Meskipun ada yang menganggap setiap hari sebenarnya adalah Hari Ibu, namun dalam meraikan dan meluahkan penghargaan bukanlah suatu perkara yang sesuai dilakukan saban hari.
Jika setiap hari sang ibu dibelikan hadiah, diberikan kejutan yang menarik, tentunya lama-kelamaan momen itu dianggap senario biasa.
Justeru, pada hari lahir dan Hari Ibulah, ia boleh dijadikan hari istimewa untuk ratu hati kita, bukan? Tak tahu nak beli dan sambut macam mana? Cuba Papa dan anak-anak tanya apa sebenarnya hadiah yang ratu hati anda ini dambakan?
“Kalau ditanya nanti tak surprise lah. Lagipun, kalau anak-anak tanya, pastinya jawapan ibu adalah dia tak berharap apa-apa.”
Ha, kala macam tu, apa kata Papa rujuk entry kali ini bagi memberikan buah fikiran untuk anda memahami dan mengetahui apa yang diharapkan oleh sang wanita bergelar ibu!
Kali ini, Kelab Mama berpeluang menemubual lima ibu hebat yang sudi berkongsi tentang harapan besar mereka bersempena Mother’s Day.
1. Ingin Dihargai
Menurut Puan Nur Liyana Hassan, bersempena Hari Ibu, beliau mengharapkan agar suami dan anak-anaknya menonjolkan penghargaan yang lebih lagi untuk beliau sebagai seorang ibu.
Katanya, walaupun setiap hari adalah masa berharga antara dirinya dan keluarga, namun pada Hari Ibu, dia mahu diraikan walaupun dalam sambutan berskala kecil.
“Sepanjang lapan tahun bergelar ibu, tiada lagi istilah rehat macam dulu. Jadi ibu sememangnya letih lebih-lebih lagi di zaman orang menitikberatkan ilmu parenting dan perkembangan kognitif anak-anak.
“Kita perlu belajar banyak benda dan gali ilmu untuk jadi parents yang terbaik. Justeru, saya rasa cabaran sebagai ibu pada hari ini sangatlah penat bermula daripada kelahiran anak lagi. Tambahan saya pula ibu yang bekerja.
“Jadi, pada Hari Ibu ini, saya idamkan untuk suami dan anak-anak berusia lapan dan tiga tahun membuatkan saya berasa dihargai sebagai ibu. Mungkin pada hari istimewa, sambutan kreatif yang mereka cipta berjaya mebuatkan segala penat-lelah saya sebagai ibu hilang, itu tentu menjadi hadiah paling menarik.”
2. Healing
Bagi ibu kepada seorang cahaya mata, Puan Nuraliah Hassan berkongsi tentang harapannya bersempena Hari Ibu untuk diberikan peluang menikmati fasa rehat pada hari berkenaan.
Menurut beliau, keadaannya yang terpaksa berjauhan dengan suami menyebabkan dirinya sangat letih kerana perlu menguruskan anak seorang diri.
“Suami bekerja di lapangan jumpa client dan sebagainya, maka pulang ke rumah pun tak menentu. Ini membuatkan saya tak boleh nak merancang kepulangan suami bagi membantu menguruskan rumahtangga.
“Saban hari, saya menjaga si kecil dan dalam masa sama menjadi ibu bekerja juga. Jadi, saya akui selalu keletihan dan tak ada peluang nak me-time.
“Maka, bersempena Hari Ibu ni, saya cuma mengharapkan kehadiran suami untuk bantu menjaga anak dan menguruskan rumahtangga. Saya mahu peluang untuk rehat daripada tugas menguruskan anak dan suami serta self-pampering. Kiranya, saya harapkan me-time semata-mata pada hari istimewa tu.”
3. Menjadi Ibu Yang Terbaik
Sementara itu Puan Azlina Othman, 37, pula memasang impian untuk meningkatkan kualiti sebagai seorang ibu kepada anak lelakinya.
Menurut beliau, bukan semata-mata mahu dirinya dihargai pada Hari Ibu, namun dia juga mahu menghargai anaknya kerana kehadiran si kecil inilah yang membuatkan beliau berjaya bergelar ibu.
Justeru, sempena Hari Ibu, Puan Azlina berharap agar mampu menjadi ibu yang terbaik di mata keluarganya.
“Pada saya, sambutan Hari Ibu yang disambut setiap tahun pada Ahad minggu kedua bulan Mei ini merupakan suatu penghargaan buat ibu-ibu yang tentunya telah banyak berjasa serta berkorban untuk anak-anak dan keluarga masing-masing.
“Harapan saya sebagai seorang ibu adalah saya dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab untuk mendidik anak yang telah dianugerahkan, apatah lagi pernah menunggu hampir enam tahun lalu untuk bergelar ibu.
“Tetapi, saya suka juga kalau ada ‘suprise’ dari suami sebab barulah seronok bila dapat sesuatu yang tidak dijangka.”
4. Shopping Sale For Mother’s Day
Menurut Puan Mastura Mansor, bersempena Hari Ibu, beliau mahu merebut ganjaran menarik ditawarkan oleh penjual barangan berjenama.
Katanya, Hari Ibu itu pastinya menjadi lebih bermakna apabila ia diceriakan dengan diskaun lumayan khusus buat wanita bergelar ibu.
“Kalau ditanya apa saya mahukan, rasanya macam saya nak shopping barangan aksesori wanita seperti handbag, tudung atau skincare tapi yang dijual ditawarkan dengan potongan harga sebagai memberikan penghargaan kepada customer bergelar ibu.
“Rasa macam suasana tu lebih seronok sebab penjual pun meraikan wanita bergelar ibu ni. Biasanya nak dapatkan diskaun tu, ada sesetengah kedai akan sediakan tagline tertentu untuk kita ucapkan di kaunter dan baru discount tu valid.
“Dan saya sukakan suasana tu. Rasa macam vibe pada Hari Ibu tu lebih dirasai.”
5. Masa Untuk Boost Energy
Memberi peluang ibu untuk recharge energy dan menaikkan aura sebagai seorang ibu antara impian Puan Siti Sara Sazali bersempena Mother’s Day ini.
Mama kepada dua cahaya mata ini berkata, kehidupannya sebagai housewife menyebabkan dia jarang berkesempatan untuk keluar tanpa anak-anak di sisi.
“Sesekali nak juga keluar bersendirian memanjakan diri di spa, buat rawatan kecantikan dan pergi ke saloon. Mungkin jika saya dapat peluang ini pada Hari Ibu, pasti ia jadi hadiah dan moment yang paling berharga sepanjang hampir lima tahun bergelar ibu ini.
“Ditambah pula dengan anak-anak yang akan dilayani bapa mereka sepanjang hari itu, bagi saya itulah yang akan memberikan makna besar sambutan Hari Ibu untuk diri saya.
“Bila mood gembira dan bertenaga, semestinya kita seperti dapat semangat baru untuk bekerja lebih keras kepada ahli keluarga”
Untuk pelbagai info dan tips tentang ruangan Khas Untuk Mama, jom klik di SINI!