Ramai wanita bersikap remeh terhadap pakaian dalam yang dipakai, terutamanya coli atau bra. Kebanyakan wanita membelinya hanya berdasarkan pada faktor cantik, harga berpatutan dan ada juga pakaian dalam mereka yang sudah lusuh. Payudara merupakan aset seseorang wanita yang begitu istimewa dan tersendiri. Bagaimanapun ramai wanita yang tidak tahu cara memilih dan memakai saiz coli yang betul dan bersesuaian dengan bentuk badan mereka.
Masalah seperti coli ketat menekan bahu dan tisu payudara, sayap belakang yang terangkat dan coli terangkat apabila mengangkat tangan sering diabaikan. Jika anda ingin tahu coli yang anda pakai itu selesa atau tidak, ia mestilah kemas dan sepadan, sayap belakang yang selaras dan tidak terangkat apabila mengangkat tangan.
ADAKAH ANDA MEMAKAI PAKAIAN DALAM ATAU COLI YANG SELESA?
Terdapat lima bentuk payu dara, iaitu kecil, biasa, besar dan padat, besar dan berbentuk kantung serta besar dan menjarak:
- Bagi payudara kecil, dicadangkan pemakaian coli cup setengah, tiga suku dan beralas seperti t-shirt bra dan push-up bra. Ia akan memberi kepadatan tambahan yang diperlukan.
- Jika anda mempunyai bentuk payudara biasa, anda bernasib baik kerana boleh memakai apa sahaja jenis coli.
- Payudara yang besar dan padat memerlukan coli yang bercup penuh kerana dapat menampung payudara serta mengurangkan tekanan pada bahu. Coli berstruktur sokongan dengan kancing 3×3 akan membantu anda menyokong dan mengimbangkan bentuk anda. Pilih yang bertali bahu selebar 15 hingga 19 milimeter. Sesetengah coli untuk payudara besar mempunyai span di tali bahu bagi mengurangkan sakit bahu.
- Wanita yang mempunyai payudara besar dan berbentuk kantung sesuai memakai yang berdawai kerana memberi sokongan tambahan bagi mengampu dan membentuk payudara dengan baik. Pun demikian, coli tidak berdawai yang berstruktur khas juga sesuai dipakai.
- Terdapat juga wanita yang mempunyai payudara yang besar dan menjarak. Jika anda tergolong dalam golongan ini, gunakan coli berstruktur khas di mana anda boleh menolak payudara ke dalam coli.
TIP MEMBELI BAJU DALAM YANG BETUL
- Wanita harus mengambil tahu bentuk payudara mereka kerana bentuk payudara yang berbeza memerlukan coli yang berbeza.
- Apabila seseorang wanita membeli coli, dia harus tahu bagaimana hendak mengukur payudara.
- Mereka juga perlu tahu bahawa payudara harus selalu diukur kerana bentuk dan saiz akan berubah-ubah disebabkan perubahan hormon, kehamilan dan menyusu bayi.
- Memakai coli yang tidak sesuai akan menyebabkan payudara jatuh, sakit belakang dan isi di kiri kanan menggeleber.
- Apabila telah pasti dengan saiz yang betul, baru beli. Jangan pakai coli dalam tempoh yang lama sehingga tiga atau empat tahun. Paling bagus tukar baru setiap tiga hingga enam bulan.
- Wanita yang mempunyai lemak yang menggeleber perlu memilih coli yang mempunyai sisi sayap yang lebih tinggi supaya isi lebihan boleh disembunyikan di dalam sayap.