Hanya Allah yang berkuasa melangkaui ilmu manusia. Bahkan doa ialah senjata umat Islam dimana berdoa tentang perkara remeh pun tidak terlepas dari perhatian Allah. Dan ia termasuklah doa keselamatan diri, keluarga, dan orang sekeliling.
Dunia ini banyak cubaan. Kalau terlalu mengharapkan diri sendiri untuk tidak terjerumus dalam hal-hal buruk, manusia akan penat.
Maka dari itu, ayuh kita banyakkan membaca doa keselamatan rezeki, keteguhan iman dan perlindungan dunia dan akhirat.
Koleksi Doa Keselamatan Yang Mama Boleh Amalkan
#1 Doa Mohon Keselamatan dan Rezeki yang Berkat
اَللهُمَّ اِنَّا نَسْئَلُكَ سَلاَمَةً فِى الدِّيْنِ وَعَافِيَةً فِى الْجَسَدِ وَزِيَادَةً فِى الْعِلْمِ وَبَرَكَةً فِى الرِّزْقِ وَتَوْبَةً قَبْلَ الْمَوْتِ وَرَحْمَةً عِنْدَ الْمَوْتِ وَمَغْفِرَةً بَعْدَ الْمَوْتِ. اَللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا فِىْ سَكَرَاتِ الْمَوْتِ وَالنَّجَاةَ مِنَ النَّارِ وَالْعَفْوَ عِنْدَ الْحِسَابِ
“Allahumma inna nas-aluka salamatan fiddin wa afiyatan fil-jasadi wa ziyadatan fil-ilmi wa barakatan firrizqi, wa taubatan qablal-maut, wa rahmatan indal-maut, wa maghfiratan ba’dal-maut. Hawwin alaina fi sakaratil-maut, wannajata minannaari, wal-afwa indal-hisab.”
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada Engkau akan keselamatan agama, kesihatan badan, ditambahkan ilmu pengetahuan, keberkatan rezeki, mendapatkan taubat sebelum mati, mendapat rahmat ketika mati, mendapat ampunan sesudah mati.
Dan ringankanlah sakaratul-maut dan selamatkanlah kiranya dari seksaan neraka, dan berikanlah kami ampunan pada hari hisab (perhitungan).”
#2 Doa Diberi Keselamatan dan Keteguhan Iman
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
“Rabbana-ghfir alaina shabran wa tsabbit aqdaamana wanshurna ala-qaumil-kaafirin.”
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kurniakanlah ketabahan kepada kami, tetapkanlah pendirian kami dan menangkanlah kami atas orang-orang yang kafir.”
#3 Doa Keselamatan Dunia dan Akhirat
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Rabbana aatina fiddunya hasanah wa fil-akhirati hasanah, wa qinaa adzabannaari.”
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan. Serta peliharalah kami dari seksa neraka.”
Cara Allah Melindungi Orang Beriman
Allah itu maha baik. Lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang beriman yang masih hidup di dunia seperti Mama dan Mama Siti yang sedang membaca ini.
Ada banyak cara Allah melindungi orang yang beriman. Salah satunya tersurat dalam surah al- Baqarah, ayat 257;
اَللّٰهُ وَلِيُّ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا يُخْرِجُهُمْ مِّنَ الظُّلُمٰتِ اِلَى النُّوْرِۗ وَالَّذِيْنَ كَفَرُوْٓا اَوْلِيَاۤؤُهُمُ الطَّاغُوْتُ يُخْرِجُوْنَهُمْ مِّنَ النُّوْرِ اِلَى الظُّلُمٰتِۗ اُولٰۤىِٕكَ اَصْحٰبُ النَّارِۚ هُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ ࣖ
“Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.”
Nikmat paling besar dan berharga kepada umat Islam ialah iman. Biar kita berpangkat tinggi, bergaji sederhana atau papa kedana, jika masih ada iman dalam hati itu tanda Allah SWT masih bersama-sama kita.
Allah juga maha kuasa. Tiada daya yang lebih besar melebihi kekuasaan Allah. Maka dari itulah Dia juga menyelamatkan orang beriman dari kekufuran, sifat munafik, ragu-ragu, dorongan mengikuti syaitan dan hawa nafsu yang buruk.
Oleh kerana itu, kita perlu banyak berdoa supaya dihidupkan dan dimatikan dalam cahaya iman. Bimbang jika kita jauh dan semakin jauh dari Allah, kita menjadi orang yang mengikut jejak langkah syaitan. Nauzubillah.
Mama, doa itu ibadah dan doa itu harapan. Tiada yang sia-sia jika kita meyakini doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT.
Doa yang paling utama ialah doa keselamatan iman agar hidup di dunia menjadi tenang dan kelak di akhirat menjadi senang.
Mudah-mudahan, koleksi doa keselamatan yang Mama Siti kongsikan ini menjadi pedoman dalam kita menjalani hidup seharian. Insya Allah.
Tingkatkan kerohanian dengan pelbagai ilmu keagamaan di SINI.