Apabila sampai satu masa, setiap ibu bapa pasti akan mengalami masalah ‘lambakan’ mainan. Sini mainan, sana mainan. Dah berapa kali kemas pun, nampaknya mainan anak asyik keluar balik. Ini tandanya mainan anak dah cukup banyak untuk anda melakukan teknik toy rotation. Ada 6 langkah yang perlu dibuat untuk mengemas rumah dan membuat toy rotation ini.
- KUMPUL
Cari kawasan yang luas untuk anda mengumpulkan kesemua mainan anak. Tak kisahlah mainan daripada zaman bayi, yang dah rosak, sampailah mainan yang paling baru. Memang nampak bersepah dan sangat crowded, tapi inilah langkah pertama yang akan membantu anda untuk mengorganisasikan permainan ini buat jangka masa panjang. Masa ini juga, barulah anak anda (dan anda) sedar, betapa banyaknya mainan yang telah anda beli untuk mereka selama ini! Kalau nak cepat, cubalah lakukan proses ini semasa anak sedang tidur atau apabila anak-anak ke sekolah / kelas tambahan. Kalau tak ada pilihan, ajaklah mereka mengemas sekali.
- KURANGKAN
Sekarang, misinya adalah untuk mengurangkan kuantiti permainan. Bayangkan tempat simpanan yang anda ada dan target anda adalah untuk memuatkan kesemua mainan di dalamnya. Tak ada lagi yang duduk di luar – sebab inilah antara punca rumah akan bersepah dengan cepat. Ketepikan dulu mainan yang dah rosak, pecah, atau ada bahagian yang hilang dan tak dapat berfungsi lagi. Kemudian, pilih mainan yang anak tak main lagi, yang dah tak sesuai usia. Sayang memang sayang, tapi kalau tak buat begini, kita takkan ada ruang yang cukup untuk menyimpannya. Dan sebenarnya, ia adalah peluang untuk mengajar anak menjadi minimalis. Jadi, kena ‘pejam mata’ saja! Asingkan yang elok dan tak elok dan labelkan pada beg plastik / kotak. Yang masih elok, bungkus dengan baik untuk diberi pada orang yang memerlukan atau pada badan-badan kebajikan. Yang dah tak elok, bolehlah dibuang atau dikitar semula.
- ASINGKAN
Sebaik saja bilangan permainan dan dikurangkan, anda boleh asingkan mainan kepada 3 kategori:
- Permainan mengasah minda – contohnya puzzle, shape sorter, board games, atau blok binaan
- Permainan pretend play – contohnya anak patung, tea party, play dough, mainan doktor, patung dinosaur, askar, dan sebagainya
- Permainan motor play – contohnya bola, mainan beroda, atau raket badminton, kereta mainan yang boleh dinaiki
- BAHAGIKAN
Seterusnya, bahagikan setiap kategori mainan di atas kepada 3-4 kumpulan. Simpankan setiap satu kumpulan mainan ini ke dalam setiap buah kotak. Setiap kumpulan mesti mempunyai bilangan mainan yang sama daripada ketiga-tiga kategori di atas. Seeloknya, gunakan bekas plastik yang transparent agar mudah untuk melihat isi di dalamnya.
- SIMPAN
Apabila semua mainan dah disimpan ke dalam 3-4 kumpulan, sekarang anda akan mempunyai 3-4 kotak mainan yang terdiri daripada kesemua kategori. Tuliskan nota pada bahagian luar kotak jika perlu. Ambil kotak #1 dan simpan yang lain. Boleh disimpan di bilik stor atau bilik mainan. Tak perlu ruang yang fancy dan boleh disimpan di satu sudut di dalam stor.
- SUSUN SEMULA & GILIRKAN
Seterusnya, keluarkan mainan dalam kotak #1 dan diletakkan dalam bakul-bakul / almari yang mudah dicapai di bilik anak. (Biasalah, budak-budak ni selagi kita tak keluarkan mainan-mainan itu ke dalam tempat yang mudah dilihat, selagi itulah mereka kata tak jumpa.)
- Tentukan berapa lama 1 kotak sesuai dimainkan oleh anak-anak. Ada yang akan menukar giliran kotak-kotak ini setiap hari, setiap minggu, setiap 2 minggu atau lebih lama. Bergantung kepada kerajinan anda dan kekerapan anak bermain dengannya.
- Setiap kali 1 kotak dikeluarkan, perhatikan permainan apa yang paling popular dan permainan apa yang paling jarang dimainkan. Asingkan mainan yang mereka tak main dan masukkan dalam sebuah kotak lain. Bila dah penuh, mainan yang tidak dimain lagi ini juga boleh didermakan atau dijual.
- Dengan cara menggilirkan mainan ini, anda boleh mengawal ‘keserabutan’ rumah daripada pelbagai jenis mainan anak di dalam rumah. Bila jumlah mainan dah diterhadkan setiap minggu, lebih mudah untuk anak mengemas dan anda pun tak pening kepala lagi. Salah satu keistimewaan teknik ini adalah, anak akan berasa seronok seperti mendapat mainan baru apabila membuka kotak yang dah lama tersimpan. Selain itu, mereka dapat belajar untuk lebih menghargai kesemua mainan yang mereka miliki. Jadi, hujung minggu ini bolehlah anda melakukan ‘projek’ mengemas mainan secara besar-besaran ini.
Sumber: Internet