Siapa jer yang tak kenal dengan buah pear kan? Makanan manis semulajadi yang turut dipanggil sebagai buah lai ini bukanlah asing dikalangan rakyat Malaysia.
Malah, Mama Siti percaya, sebahagian besar daripada kita pernah makan buah yang mengandungi banyak air dan bersifat sejuk ini. Cuma, bukan semua orang boleh menggemari buah yang satu ni.
Namun, tahukah Mama dan Papa, bukan setakat memiliki rasa yang sedap, tetapi buah pear juga mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan kita?
Jadi, rugi kan kalau buah ini tidak diamalkan dalam pemakanan seharian.
Tak suka makan buah? Tak apa Mama Papa, buah pear juga turut sesuai dinikmati dalam bentuk jus. Tak payah tambah gula pun sebab rasanya dah sedia manis.
Malah, sifat buah pear yang berair ini turut menjadikan ianya minuman segar untuk diteguk lebih-lebih lagi selepas disejukkan. Argh, nikmatnya dapat minum jus buah pear kan!
Jenis Buah Pear
Sebelum merungkai lebih banyak kebaikan dan khasiat makanan semulajadi ni, jom ketahui jenis-jenis buah pear yang wujud di dunia.
Memetik laporan portal Jiwa Sihat, buah pear merupakan antara buah telah lama digunakan dalam perubatan tradisional sejak sekian lama lagi.
Sejarah mencatatkan bahawa perubatan tradisional China telah menggunakan buah pear ini sejak lebih 2,000 tahun lalu.
Ia digunakan bagi tujuan merawat atau melegakan keradangan, paras gula darah yang tinggi, diuretik, batuk, sembelit dan mengurangkan ketagihan alkohol.
Asalnya, buah pear atau nama saintifinya Pyrus berasal dari negara Eropah dan Asia Barat sebelum dibawa ke Amerika Utara pada abad ke-17.
Untuk pengetahuan Mama dan Papa, terdapat lebih 1,000 jenis pear di dunia. Wah, banyaknya!
Namun, hanya kira-kira 100 jenis jerr yang ditanam untuk perdagangan. Setiap negara yang mempunyai pokok buah pear juga menghasilkan bentuk pear yang berbeza-beza berikutan spesis berlainan tadi.
Di Eropah dan Perancis, ia dikenali sebagai Bartlett, Bosc, dan D’Anjou, manakala pir Asia dikenali sebagai pear epal kerana teksturnya seperti buah epal.
Khasiat Buah Pear
Buah pear sememangnya kaya dengan mineral, vitamin dan zat nutrien. Maka tidak hairanlah jika ia mampu tawarkan banyak manfaat untuk kesihatan tubuh kita.
Jom tengok kebaikan buah pear yang dikongsikan portal Get Sihat:
1. Bagus untuk sistem penghadaman
Kajian mendapati, pear adalah unik berbanding buah lain yang biasa dimakan kerana tinggi dengan serat, sorbitol dan fruktosa. Kesemua nutrien ini berfungsi untuk mengawal pencernaan secara semulajadi.
Selain itu, kandungan serat di dalam buah pear juga bertindak sebagai ‘makanan’ kepada probiotik (bakteria baik) dalam usus kita.
Oleh itu, pengambilan serat yang mencukupi bukan sahaja dapat melancarkan sistem penghadaman. Malah ia turut meningkatkan daya tahan usus daripada serangan patogen (kuman jahat).
2. Meningkatkan imuniti tubuh
Tubuh mudah terdedah kepada pelbagai penyakit jika sistem imuniti lemah. Antara cara untuk meningkatkan tahap imuniti adalah melalui pengambilan vitamin C.
Selain antioksidan, buah pear juga tinggi dengan kandungan Vitamin C yang bagus untuk imunisasi badan. Ia menyokong sel darah putih untuk melawan sebarang ancaman kuman.
3. Boleh melawan keradangan
Khasiat buah pear turut disumbang oleh sifatnya yang boleh melawan keradangan. Keradangan merupakan tindak balas semulajadi tubuh manusia jika berlaku kecederaan atau jangkitan.
Tapi jika keradangan ini berlarutan panjang, ia boleh membawa kepada penyakit kronik lain seperti diabetes dan penyakit jantung.
Kajian melaporkan, jumlah kandungan fenolik dan flavonoid yang tinggi dalam buah pear sangat efektif untuk merawat masalah radang.
4. Membantu turunkan berat badan
Buah pear dapat memberikan rasa kenyang lebih lama kerana memiliki kandungan serat yang tinggi. Menariknya lagi, pengambilan buah pear juga terbukti boleh membantu untuk turunkan berat badan.
Khasiatnya dapat dilihat dalam satu kajian melibatkan 49 orang wanita yang mempunyai berat badan berlebihan. Hasilnya mendapati, kumpulan yang diberi makan buah pear alami penurunan ketara dari segi berat badan dan pengambilan kalori harian.
5. Meningkatkan penyerapan zat besi
Anemia adalah satu keadaan di mana kurangnya sel darah merah yang membawa oksigen (hemoglobin) ke seluruh badan. Ini menjadikan penghidapnya berasa cepat penat, lesu, dan pucat.
Paling dirisaukan, komplikasi anemia yang teruk boleh menyebabkan jantung jadi sangat lemah dan gagal berfungsi dengan baik.
Bagaimanapun, Vitamin C yang terdapat dalam buah pear dapat membantu penyerapan zat besi. Ini menggalakkan lagi penghasilan sel darah merah.
6. Mengekalkan kesihatan tulang
Selain itu, buah ini mengandungi pelbagai vitamin dan mineral penting untuk tulang. Antaranya adalah boron dan vitamin K.
Elemen boron berperanan untuk memudahkan tubuh menyerap kalsium. Ia turut mampu redakan masalah keradangan pada tulang.
Sementara itu, Vitamin K bersama mineral lain seperti kalsium, magnesium, dan fosfor penting dalam menjaga kepadatan tulang dan mencegah osteoporosis.
7. Mengurangkan risiko diabetes
Walaupun rasanya agak manis, tetapi buah pear memiliki tahap indeks gliserin yang rendah. Ini dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah dan mencegah diabetes.
Dalam satu kajian melibatkan kira-kira 200,000 peserta di Amerika Syarikat, buah-buahan yang kaya dengan antosianin seperti pear merah didapati efektif untuk mengurangkan risiko kencing manis.
8. Mencegah sembelit
Hampir setiap daripada kita pernah mengalami gejala sembelit atau masalah sukar untuk membuang najis. Selalunya, ia disebabkan oleh kekurangan air atau serat dalam diet harian.
Kekurangan dua komponen inilah yang mengeraskan najis. Sebagai sumber serat yang bagus, buah pear boleh menggalakkan peristalsis iaitu proses pergerakkan usus dan sekaligus mencegah masalah sembelit.
9. Mengurangkan risiko penyakit jantung
Ramai tidak tahu, makan buah pear rupanya dapat mengurangkan risiko hidap penyakit jantung. Khasiat ini disumbang oleh kandungan antioksidan dan serat yang tinggi di dalamnya.
Ini terbukti apabila sejenis antioksidan seperti kuersetin mampu menurunkan tekanan darah dan kadar kolesterol dalam badan. Ini seterusnya memberi perlindungan daripada penyakit jantung.
10. Bagus untuk ibu mengandung
Bukan itu sahaja, ibu-ibu mengandung juga digalakkan makan buah ini sepanjang proses kehamilan. Ini kerana pear kaya dengan vitamin B atau asid folik.
Pengambilan asid folik begitu penting, supaya kandungan sihat dan terhindar daripada sebarang masalah kesihatan serius. Oleh itu, buah pear boleh dimakan secara teratur untuk dapatkan khasiatnya.
11. Berpotensi cegah kanser
Seperti buah-buahan yang tinggi antioksida lain, pear juga berpotensi untuk mencegah kerosakan pada sel-sel tubuh termasuklah kanser.
Dalam satu kajian menggunakan tabung uji, kandungan antosianin pada buah pear dilaporkan mampu mengurangkan pembentukan tumor dan sel kanser yang ketara.
Bagaimanapun, masih banyak penyelidikan lagi yang diperlukan untuk melihat potensi buah ini melawan kanser sepenuhnya.
12. Mampu meningkatkan tenaga
Kadar glukosa yang tinggi dalam buah pear juga mampu meningkatkan tenaga. Ia perlu diambil ketika kita merasakan tubuh yang lemah.
Ini kerana gula akan cepat diserap oleh tubuh dan khasiat glukosanya akan terus ditukar menjadi tenaga. Ia bagus untuk diamalkan sebagai diet ‘pre-workout’ anda.
13. Boleh mengurangkan risiko strok
Strok atau angin ahmar adalah keadaan di mana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Ia adalah penyakit yang merbahaya kerana mengakibatkan kecacatan kekal.
Kajian mendapati, buah-buahan yang kaya serat dan memiliki isi berwarna putih seperti pear boleh mengurangkan risiko serangan strok sehingga 52%.
Oleh itu, warga emas atau mereka yang ada sejarah keluarga pernah menghidap strok digalakkan untuk ambil buah ini secara berkala.
14. Mencegah skurvi
Skurvi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin C di dalam badan. Antara tanda-tanda seseorang itu menghidap penyakit skurvi adalah melibatkan pendarahan, penanahan gusi serta kehilangan gigi.
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah pear dapat mencegah skurvi. Vitamin C berperanan dalam pembentukan kolagen yang penting dalam sokongan gigi dan gusi.
15. Melindungi kulit dari kerosakan dan penuaan
Selain itu, buah pear juga dapat menjaga kulit kita agar tetap halus dan lembut. Kandungan serat dapat menjauhkan kulit kita daripada tanda-tanda penuaan.
Menurut kajian, kandungan flavonoid dalam buah ini mengandungi antioksidan yang cukup tinggi dalam penghasilan kolagen. Ia juga mampu melindungi kulit daripada radikal bebas berbahaya yang menyebabkan kerosakan.
Ini menjadikan khasiat buah pear bagus untuk memperbaiki kualiti kulit wajah dan tubuh kita secara keseluruhan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk ketahui pelbagai lagi info dan tips kesihatan, Mama dan Papa boleh klik di SINI!