Menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga ibu nyata bukanlah hal kecil. Bermula daripada pengurusan rumahtangga hingga ke anak-anak, semua tugas terletak di atas dua bahunya.
Malah, dalam masa sama, insan hebat ini turut mendukung amanah sebagai seorang pekerja juga.
Bayangkan jika boleh dibuka kotak fikirannya itu dan dibentangkan atas sebuah hamparan, mungkin penuh tersenarai segala perkara yang harus dilakukan.
‘Dinner hari ini masak ayam kari; nanti balik kerja singgah kedai beli roti dan tuna untuk bekal anak dan suami esok; perlu siapkan tugasan diminta En Zain hari ini; slide laporan kewangan syarikat pun kena buat sebab nak present dalam meeting esok petang.
‘Dan oh ya, Daniel juga minta Mama belikan seluar sukan baru sebab yang lama dah hilang kat tandas sekolah. Dia nak pattern sama macam seluar yang dibeli bulan lepas tu.’
Ini mungkin antara list to do yang ada di kepala Mama. Semuanya perlu difikir dan diaturkan oleh Mama.
Pastinya Papa yang hebat akan membantu, cuma kalau menyentuh tentang perancangan dalam sebuah keluarga tu, semestinya wanita yang akan membuat keputusan dalam segala hal.
Bukan sebab nak jadi lady boss, tapi itulah fitrah wanita yang panjang akal dan memikirkan lebih dalam untuk setiap perkara. Selain itu, dia juga lebih mengetahui dan memahami kehendak keluarganya.
Kalau ada 10 orang anak, seorang ibu ini akan lebih faham dan masak benar dengan perangai serta tingkah laku setiap anaknya. Mama Siti percaya, ibu kita tak akan lupa apa kegemaran kita, pantang larang kita dan segala-galanya. Yang menakjubkan, setiap satu daripada perangai anaknya si ibu tetap ingat.
Maka, kerana itulah terdapat banyaklah hal yang perlu diuruskan oleh satu wanita ini tadi. Bermula di rumah hingga ke pejabat, segala-galanya terletak di dua bahu beliau.
Justeru, Papa sedar tak bahawa pasangan anda ini sebenarnya berdepan banyak risiko.
Risiko Yang Bakal Dihadapi
1. Tekanan
Semestinya wanita berkerja menghadapi tekanan yang lebih tinggi. Mana taknya, semua benda nak kena settle, nak kena fikir.
Ini sekaligus membuatkan seorang wanita tadi mudah letih, stress dan gelisah. Di pejabat tekanan kerja, di rumah menghadapi ragam suami dan anak-anak pula.
Walaupun Papa banyak membantu dalam menguruskan hal di rumah, namun bagi individu yang otaknya perlu ligat berfikir menyediakan segala-galanya, beliau akan lebih cepat tertekan.
Bagaimanapun, tindakan Papa yang membantu melakukan kerja rumah bersama-sama adalah sikap yang sangat baik dan wajar dipuji. Tahniah Papa!
2. Masalah kesihatan
Bukan setakat penat berfikir, malah tubuh juga rasa tak sempat berehat.
Seawal pagi bangun sediakan sarapan. Kemudian pergi kerja. Balik kerja terus capai periuk kuali untuk masak makanan seisi keluarga. Dah siap masak, uruskan pakaian kotor dan kemas rumah. Mama Siti yakin pasti Papa membantu membersihkan dapur pula kan?
Dan selesai semua kerja, barulah Mama sempat letak kepala di bantal dan berehat sebelum sambung rutin yang sama keesokan harinya. Tu tak cerita lagi masa sediakan keperluan keluarga, anak buat perangai, anak tak nak dengar cakap Mama dan macam-macam lagi drama.
Keadaan ini tentu membuatkan Mama sangat keletihan dan serabut sehingga mungkin boleh menjejaskan kesihatan.
Macam-macam penyakit yang boleh dikaitkan akibat tak cukup rehat atau disebabkan terlalu bekerja keras. Antaranya darah tinggi, kelesuan, darah rendah dan pelbagai lagi.
3. Emosi tak stabil
Ketika masak, anak pula main di dapur sampai terlanggar cawan dan pecah.
Mesti Mama jadi naik angin. Masa tu emosi Mama yang dah sedia letih akan lebih serabut. Ketika ni, janganlah Papa tegur kesalahan Mama atau marahkan hal yang lain.
Sebab masa ni, semuanya dirasakan terlalu teruk oleh seorang wanita tadi. Dengan keadaan emosi yang tak stabil, silap-silap sambil bersihkan kaca yang pecah pun boleh berjurai air mata kerana rasa down yang melampau.
Sebaiknya, jika ada perkara yang perlu dibincangkan, beri ruang Mama selesaikan tugasannya. Dalam masa sama, Papa pun bantulah Mama di dapur atau jaga anak-anak.
4. Perlu berjauhan dengan anak
Ini part paling ramai Mama yang sedih. Percayalah, walaupun anak tu ditinggalkan dekat pengasuh untuk beberapa jam pun, seorang ibu mesti akan rasa rindu dan berat hati.
Lagi-lagi bila pengasuh hantar video keletah si anak pada Mama, lagilah buat Mama rasa rindunya dekat si manja seorang ni.
Setiap Mama yang bekerja tak akan terlepas dengan risiko yang satu ini. Kalau ditanya, pasti setiap ibu mahu anaknya di depan mata 24 jam. Dengan pelbagai perkara yang mungkin terjadi ketika di bawah jagaan pengasuh.
Namun, seorang ibu bekerja sedar dia tak mampu untuk memikul dua tugas itu sekaligus. Maka, terpaksa mencari pengasuh walaupun berat hati. Dengan harapan moga Allah sentiasa lindungi si anak tadi.
5. Kurang masa bersama keluarga
Bila dah sibuk bekerja adakalanya masa dengan keluarga juga terabai. Mana tidaknya, bila banyak tugasan kena selesaikan, ia sekaligus drag masa Mama untuk pulang awal dari pejabat.
Malah, bila dah kelam-kabut urus semua benda, mesti ada perkara yang dipesan anak-anak atau tarikh penting dalam keluarga terlupa.
Ya, inilah salah satu cabaran bila si ibu turut bekerja. Kita akan rasa kurangnya masa dengan keluarga.
Mana tidaknya, pergi kerja seawal pagi sampai ke petang. Petang baru berpeluang jumpa anak dan suami, itu pun dalam keadaan kelam kabut nak siapkan macam-macam.
Adakala, ketika dinner baru sempat anak ceritakan apa yang berlaku di sekolah dan request keperluan mereka. Sebaik selesai dinner, Mama dan Papa busy habiskan kerja tertangguh manakala anak siapkan baki homework sebelum masuk tidur.
Bayangkan berapa jam je masa antara Mama dan keluarga nak berbual apatah lagi bergurau senda dengan mereka.
Justeru Papa, fahamilah segala penat lelah sang isteri yang sama-sama membantu mencari rezeki. Bantu mana yang boleh dan sebaiknya cipta satu hari dalam seminggu untuk waktu keluarga.
Tak kiralah bersantai di luar atau di rumah, namun seharian hanya berehat, Mama pun tak payah masak, jangan fikir hal kerja. Hanya duduk bersama keluarga, habiskan masa dengan mereka dan berbual macam-macam perkara.
Satu hari tu pasti akan jadi sangat bermakna untuk isteri serta anak-anak, dan pastinya itulah hari yang akan ditunggu-tunggu seisi keluarga. Selamat mencipta family time, Papa!
Untuk mengetahui pelbagai info tentang keibubapaan, Mama dan Papa boleh klik di SINI!