Mama Papa pernah dengar pasal penyakit ain? Walaupun amat merbahaya, ianya jarang disebut dalam masyarakat di Malaysia.
Penyakit Ain disebutkan dalam dalil-dalil al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman:
وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ
“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu hampir-hampir membuatmu tergelincir dengan pandangan mereka”.
Surah al-Qalam (51)
Dalam ayat tersebut, jelas dinyatakan bahawa pengaruh mata jahat (ain) adalah benar dan perintah Allah SWT untuk memohon perlindungan daripadanya. Hal ini dinyatakan dalam beberapa hadis daripada pelbagai riwayat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
“Ain adalah benar; jika (ada) sesuatu mendahului takdir, itu adalah ain, dan apabila kamu diminta untuk mandi (sebagai ubat) daripada penyakit ain, maka hendaklah kamu mandi.”
Sahih Muslim (5831)
Sumber rujukan: Mufti Of Federal’s Territory Ofice
Penyakit Ain: Pencegahan & Rawatan
Apa Itu Penyakit Ain
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Seseorang itu boleh diberi musibah kerana pandangan orang lain dengan kehendak Allah SWT.”
Penyakit ain berpunca dari pandangan orang lain yang cemburu atau kagum terhadap seseorang. Ia boleh berlaku dari orang yang mencemburui, atau orang yang disayangi, orang jahat atau orang soleh.
Ain adalah penyakit yang disebabkan oleh pandangan orang lain yang dengki atau sangat terasa dengan seseorang dan boleh membahayakan orang yang dicemburui.
Beliau menyatakan lagi, Ain juga boleh berlaku apabila seseorang itu sangat kagum dengan orang lain tanpa perasaan cemburu atau benci.
Seperti yang dinyatakan, ia juga boleh berlaku disebabkan kerana orang yang dikasihi malah daripada orang yang soleh secara tidak sengaja.
Tapi apa tu penyakit Ain? apa yang boleh terjadi gara-gara Ain?
Ianya bukan sejenis penyakit macam demam atau selesema. Tetapi pelbagai perkara boleh berlaku. Sebagai contoh, kalau seseorang itu berwajah cantik, dan terkena ain kerana wajahnya, boleh jadi orang itu akan terkena penyakit kulit yang tidak boleh disembuhkan dan sebagainya.
Jadi bagaimana ingin mencegah penyakit ini dan apakah rawatan yang boleh dibuat?
Pencegahan Penyakit Ain
Berusaha dalam memohon perlindungan daripada penyakit ‘ain adalah dibenarkan selagi tidak bercanggah dengan konsep tawakkal (bergantung kepada Allah SWT).
Tawakkal ialah pergantungan kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab (usaha) yang dibolehkan atau diperintahkan kepadanya.
Memohon perlindungan daripada Allah SWT adalah sebaik-baik perlindungan daripada penyakit ‘ain dan sebarang jenis bahaya.
Nabi SAW pernah meminta perlindungan kepada al-Hasan dan al-Husin sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, di mana Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku berlindung untuk kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari setiap syaitan dan segala racun dan dari ain yang mempengaruhi.”
Sunan al-Nasa’ie (7679), Sunan Abu Daud (4737), Sunan Ibn Majah (3525) dan Sunan al-Tirmizi (2060)
Rawatan Yang Boleh Dibuat
Untuk merawat penyakit ‘ain hendaklah mendapatkan rawatan mengikut syara’ iaitu seperti berikut:
Membaca ruqyah atau doa
Daripada Buraidah bin al-Husyaib RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada ruqyah kecuali mata yang jahat atau sengatan kala jengking.”
Sahih al-Bukhari (5705) dan Sahih Muslim (220)
Dimandikan dengan air
Diriwayatkan dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif berkata: “Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia mandi, lalu dia (Amir) berkata: ‘Saya belum pernah melihat kulit yang begitu indah.’ Segera dia (Sahl) jatuh ke tanah. Dia dibawa kepada Nabi (ﷺ) dan (mereka) berkata: ‘Sahl telah dijangkiti (Ain).’ Baginda berkata: ‘Siapa yang kamu tuduh mengenainya?’ Mereka berkata: ‘Amir bin Rabi’ah.’ Nabi saw. SAW bersabda yang bermaksud:
‘Mengapa seseorang di antara kamu membunuh saudaranya? Jika dia melihat sesuatu yang disukainya, maka hendaklah dia mendoakan keberkahan untuknya.’
Kemudian baginda meminta air, dan menyuruh ‘Amir untuk berwuduk, kemudian membasuh muka dan lengannya hingga ke siku, lutut dan bahagian dalam pakaiannya, kemudian “Nabi SAW menyuruhnya mencurahkan air itu ke atasnya. ”
Sunan Ibn Majah (2828), Sunan al-Nasaie (10036)
Penyakit Ain ni bukan satu perkara yang main-main tau. Kalau terkena, memang sangat susah untuk berubat, malah boleh jadi lebih susah daripada terkena sihir.
Tambahan pula di zaman moden sekarang, hampir semua perkara ingin ditunjuk di media sosial. Dan mungkin sebab itu juga kita zaman sekarang, ramai yang terkena pelbagai jenis penyakit tekanan perasaan seperti depresi dan sebagainya.
Kalau Mama Papa nak tahu lebih lagi doa-doa yang Mama Siti kongsikan jangan lupa untuk ikuti Facebook, Instagram, dan TikTok Kelab Mama dan hidupkan notifikasi supaya tidak terlepas pelbagai info terkini!
Mama Siti kongsikan pelbagai doa & amalan di SINI.