Bukan setakat morning sicknees, namun wanita yang berbadan dua pasti mengalami macam-macam ragam di sepanjang kehamilan termasuklah sakit tumit kaki ketika hamil. Ditambah dengan sakit pinggang, sakit sendi seluruh tubuh sampailah bab hilang selera makan, kandungan yang dibawa untuk sembilan bulan itu terasa begitu lama.
Maka, tak hairanlah sesetengah wanita yang usia kandungan baru cecah tujuh bulan dah berharap agar masa cepat berlalu sebab tak sabar nak lahirkan baby. Ini kerana cabaran ketika mengandung yang dialaminya sangat berat. Ia termasuklah perihal sakit tumit kaki ketika hamil.
Sakit tumit kaki atau dalam bahasa saintifik Plantar Fasciitis dialami kira-kira 10 peratus wanita hamil. Menurut laman web Foot HealthCare Associates, ia terjadi lantaran penghasilan hormon relaxin daripada plasenta, lapisan uterus dan membran.
Ketika berada di trimester ketiga, hormon relaxin ini tadi akan mengendur dan melembutkan ligamen bahagian punggung sebagai persediaan untuk bersalin. Ia secara tak langsung akan mempengaruh ligamen lain contohnya di lutut dan kaki sehingga boleh menjejaskan kestabilan Mama.
Selain itu, fungsi tumit yang menyokong segala beban tubuh menjadikan anggota ini lebih sensitif tatkala berat badan mula berlebihan.
Mungkin bagi kaum Adam yang tak berhadapan situasi itu menganggap sakit tumit bukanlah hal yang teruk. Namun tahukah Papa, kesakitan di bahagian tumit itu sama seperti kaki yang tercucuk jarum. Aduh, sakit bukan?
Ya, itulah antara dugaan ditanggung kaum Hawa tatkala usia kandungan mulai membesar. Malah, kesakitan itu boleh berlarutan sehingga mencapai tempoh bersalin. Selama berbulan-bulan Mama terpaksa menahan sakit tumit kaki yang pastinya membataskan pelbagai pergerakan.
Namun, perkara ini boleh diatasi Mama dengan beberapa kaedah tradisional termasuklah fisioterapi.
Fisioterapi Untuk Sakit Tumit Kaki Ketika Hamil
Berdasarkan perkongsian seorang pakar fisioterapi, Norhaslini Md. Nor, terdapat beberapa senaman yang boleh dipraktikkan dalam usaha mengurangkan sakit tumit.
Namun, Mama perlu berhati-hati dan pastikan setiap senaman dibuat dalam pemantauan. Ianya sangat ringkas dan mudah, malah tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu hamil.
Wanita yang sedang berpantang juga boleh mengamalkan senaman ini.
1. Toe curls with towel
Senaman ‘Toe Curls With Towel’ ini adalah untuk merangsang sendi sendi bergerak disamping merangsang perjalanan darah. Caranya adalah Mama mengenggam jari kaki dengan towel berkenaan.
Genggaman itu dilakukan secara berulang selama 10 kali untuk tempoh dua kali setiap hari. Sebaiknya dibuat pada waktu pagi dan malam. Mudah jerr, sambil tengok TV atau scrolling handphone pun boleh buat Mama.
2. Toe extension
Senaman kedua adalah ‘ Toe Extension’ senaman ini agak sedikit terasa nyeri kerana ia meregangkan band tissue di bawah telapak kaki. Kesan nyeri adalah hanya sekejap.
Senaman ini sangat bermanfaat ketika bangun daripada tidur. Setiap sesi dilakukan dalam kiraan 10 saat dan diulangi hingga dua ke tiga minit bagi kedua-dua belah kaki. Harus dilakukan dua hinggan empat kali sehari.
3. Calf stretch
Senaman ini sangat membantu Mama yang nyeri hingga ke betis. Regangan ini dilakukan di atas kerusi dan jengket menggunakan jari kaki. Tahan selama 10 saat dan ulanginya sebanyak tiga kali.
Namun pastikan ia dilakukan dengan pemantauan seseorang. Kaedah ini akan memberikan kesan regangan yang sangat tepat kepada bahagian otot betis dan achilles tendons.
4. Towel stretch
Senaman ini dibuat dalam keadaan duduk yang memberikan kesan regangan di otot. Bagi mereka kaki yang terlalu bengkak boleh lakukan secara duduk. Tahan selama 10 saat dan ulangi sesi ini sebanyak tiga kali.
5. Standing calf stretch
Senaman yang meregangkan dari otot betis sehingga peha. Mampu membuat kaki Mama berasa ringan. Lakukan selama 10 hingga 15 saat 1 sesi.Dan dilakukan 3 kali ulangan.
Kaedah Tradisional Untuk Mengurangkan Rasa Sakit Tumit Kaki Ketika Hamil
Selain daripada teknik fisio, sakit tumit juga boleh dikurangkan melalui petua tradisional seperti yang dikongsikan laman web HealthLine.
1. Berehat
Hadkan sebarang aktiviti berat dan dapatkan rehat tambahan untuk melegakan simptom.
2. Ais
Letakkan ais selama sekurang-kurangnya 20 minit sehari sehingga empat kali sehari untuk melegakan kesakitan.
3. Night splint
Alatan ini mampu meregangkan plantar fascia dan tendon Achilles semasa Mama tidur pada waktu malam.
Mereka yang menghidap fasciitis plantar sering mengalami kesakitan teruk di bahagian tumit terutama ketika bangun pagi. Ini disebabkan oleh tekanan mendadak pada fascia.
Justeru, alatan night splint membantu mengelakkan tekanan mendadak khususnya untuk beberapa langkah awal pada waktu pagi.
4. Comfy shoes
Gunakan kasut olahraga atau kasut penyokong lengkung. Kasut dengan sisipan pad gel atau cawan tumit boleh mengurangkan kesakitan buat sementara waktu.
Perkara Yang Perlu Mama Elakkan
Pelbagai aktiviti boleh memburukkan lagi kesakitan fasciitis plantar, jadi adalah disyorkan untuk mengambil langkah pencegahan. Elakkan melakukan perkara berikut:
- Berdiri untuk tempoh yang lama.
- Memakai kasut yang tidak selesa.
- Mengambil bahagian dalam aktiviti sengit seperti mendaki gunung, trekking dan berlari.
- Berjalan tanpa alas kaki di atas permukaan keras.
- Menanggung kesakitan tanpa mendapatkan bantuan perubatan/profesional.
Untuk pelbagai info kesihatan dan kehamilan, Mama boleh lihat di SINI!