Allahu..apalah salah anak itu sampai si ibu sanggup pukul, tampar serta jerut anaknya ketika dia menukar lampin. Video yang viral di media sosial yang berdurasi 1 minit 35 saat itu menunjukkan mangsa dipukul, ditampar, dijerut tanpa belas kasihan seolah-olah melepaskan geram. Tapi kenapa tergamak dia perlakukan begitu kepada si kecil yang tak bersalah?
Ditampar, ditekan dengan kuat
Dalam video itu menunjukkan muka mangsa yang dalam lingkungan 2 tahun itu ditampar, dada serta kakinya ditekan dengan kuat oleh wanita kejam ini. Mangsa yang masih kecil sudah tentu tak mampu nak melawan dan hanya mampu menangis menahan sakit. Tapi malangnya wanita ini tak mengendahkan langsung tangisan si anak yang kesakitan malah di pukul lagi dan lagi tanpa belas kasihan.
Dipukul di belakang badan
Saat wanita ini nak membuka baju anaknya tapi anaknya tak memberi kerjasama, dia terus memukul dengan kuat di belakang badan anaknya. Tak cukup dengan itu, wanita kejam ini juga cuba buka pakaian mangsa secara paksa siap mengoncang mangsa sekuat hati sehingga membuatkan anak kecil itu terjerut pada bajunya sendiri dan kemudian dihempasnya mangsa ke atas tilam. Allahu kejamnya!
Sehingga kini pihak polis masih mencari dan mengesan wanita terbabit dan sekiranya mama ada maklumat bolehlah menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Apa yang perlu dilaporkan?
Laporan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:
- Nama kanak-kanak
- Lokasi/alamat
- Sebab-sebab disyaki penderaan
- Nama anda dan cara menghubungi,jika boleh, supaya JKM boleh menghubungi semula sekiranya gagal menemui kanak-kanak terbabit
Bagaimana untuk membuat laporan mengenai penderaan?
#Melalui Talian Nur
Sila berikan maklumat terperinci berkenaan kes penderaan dan pengabaian yang disyaki supaya pegawai JKM dapat menilai keperluan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
#Melalui hospital
Individu yang membawa kanak-kanak ke Jabatan kecemasan/Pesakit luar kerana penderaan ,mereka akan terus dirujuk ke Pusat perhentian Setempat (One Stop Crisis Center) di hospital.
#Melalui polis
Ini amat digalakkan terutamanya bagi kes penderaan seksual supaya membolehkan pegawai perubatan untuk melakukan pemeriksaan fizikal dengan segera terutamanya bagi kes baru yang disyaki penderaan seksual
Siapa yang perlu melaporkan tentang penderaan kanak-kanak?
“Mandated reporters”
Di bawah undang-undang Malaysia, Akta Kanak-kanak 2001, doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak adalah tiga kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk melaporkan dengan segera jika mengesyaki kanak-kanak telah didera secara fizikal,atau emosi akibat dari penderaan yang teruk, pengabaian, terbiar atau terdedah, atau didera secara seksual kepada pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (Jabatan Kebajikan Masyarakat).
Sekiranya doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak tidak mematuhi dengan melaporkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali (Akta Kanak-kanak 2001, Section 27-29).
Kaunselor, guru dan orang awam juga perlu melaporkan kes penderaan sekiranya kanak-kanak tersebut memberitahu mereka walaupun mereka tidak diwajibkan untuk melaporkannya. Mereka boleh melapor kepada polis juga
Kenapa penting untuk melaporkan semua kes penderaan?
- Kanak-kanak terdedah dan tidak boleh mendapatkan pertolongan terutamanya jika mereka datang dari keluarga atau rumah yang terdapat penderaan.
- Sekiranya terdapat risiko untuk mendapat kecederaan atau sesuatu yang mengancam kehidupan, keselamatan kanak-kanak tersebut perlulah diutamakan.
- Walaupun mungkin tidak terdapat tanda fizikal, kanak-kanak boleh merasa rendah diri atau menjadi ganas atau kasar ataupun hyperaktif akibat dari pengabaian dan penderaan dan mereka perlu diberi pertolongan.
- Sekiranya pengabaian dan penderaan berterusan sekian lama, kesan buruk akibatnya akan lebih teruk. Kanak-kanak perlu dibesarkan dalam suasana penyayang untuk memastikan perkembangan mental, fizikal, emosi dan psikososial yang optima.
- Penderaan kanak-kanak dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada masalah sosial, masalah kesihatan mental dan fizikal di masa akan datang.
- Melaporkan kes tidak semestinya bermakna kanak-kanak akan dipisahkan dari keluarga mereka. Ia hanya untuk memastikan keluarga tersebut mendapat pertolongan sekiranya diperlukan dan kanak-kanak mendapat perlindungan. Sekiranya kanak-kanak telah didera dengan teruk dan keselamatannya diragukan sekiranya kembali kepada keluarga, oleh itu sekiranya boleh, ahli keluarga lain yang sesuai akan diberi hak penjagaan oleh mahkamah.
- Undang-undang menetapkan, orang melaporkan (“mandated reporter”) penderaan kanak-kanak dengan ikhlas tidak boleh didakwa kerana melaporkan kes sekiranya beliau melaporkan kes tanpa niat selain daripada menolong kanak-kanak.
Apa akan berlaku selepas laporan dibuat?
- Pegawai pelindung atau polis(kalau laporan polis dibuat) akan memulakan siasatan dengan melawat kanak-kanak dan keluarga. Mereka akan membawa kanak-kanak ke hospital untuk penilaian lanjut.
- Tujuan awal adalah untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan keselamatan mereka
- Di hospital, kanak-kanak dan keluarga akan di nilai dan kanak-kanak tersebut diperiksa sekiranya terdapat kecederaan atau sebarang masalah kesihatan mental.
- Sekiranya terdapat penderaan berlaku, perbincangan di antara doktor, pegawai kebajikan, polis dan ahli keluarga yang bukan pendera dilakukan untuk perancangan seterusnya bagi kanak-kanak tersebut.
- Sebarang tindakan dan keputusan mestilah yang terbaik untuk kanak-kanak dan bukan semestinya untuk keluarga atau ibu bapa.
- Tujuan umum adalah untuk mengembalikan kanak-kanak kepada keluarga dengan penyeliaan berterusan serta terapi keluarga.
- Tekanan sosial seperti ketiadaan rumah yang sempurna, tiada pekerjaan, tempat penjagaan kanak-kanak kurang sesuai akan ditangani oleh pegawai kebajikan.
- Untuk kes polis, pegawai polis akan membawa pendera ke muka pengadilan bagi mendakwa dan tindakan sewajarnya dilakukan.
Sumber : The Reporter, MyHealth
Pesanan Mama Siti
Tak sanggup rasanya nak tengok video ni lama-lama. Kenapalah masih ada wanita yang tak berhati perut dan tak ada belas kasihan langsung pada anak kecil yang tak berdosa ni. Mama Siti harap pesalah ni dapat ditangkap dan dihukum sewajarnya dengan apa yang dia dah lakukan pada anak kecil itu.