Nak anak behave kat tempat awam? Hulur jek handphone pada mereka!
Nak anak makan tanpa drama? Alah, sambil makan tu bagi tengok handphone!
Ini antara situasi yang kita biasa dengar dan lihat pada masa kini. Mama Siti percaya kebanyakkan daripada ibu bapa zaman sekarang mulai mendapatkan ‘bantuan’ daripada gajet bagi memastikan anak-anak menjadi ‘tertib’ dan ‘baik’.
Mungkin pada dasarnya, jika si kecil aktif tak reti duduk diam, nak cuba main itu, nak pegang ini merunsingkan ibu bapa, maka gajet dianggap sebagai penyelamat untuk pastikan anak-anak kekal tenang.
Awas Mama dan Papa, konsep itu adalah silap! Mungkin secara fizikal, itu yang kelihatan pada pandangan anda dan semua orang. Namun, di sudut mental kanak-kanak, screen time yang berlebihan tanpa mengira masa boleh membunuh jiwa mereka suatu hari nanti.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan melalui laman web PenawaRacun oleh USM, beliau mengatakan ketagihan gajet dikalangan kanak-kanak adalah tak ubah seperti ketagihan seorang individu terhadap dadah. Serious bukan bunyinya? Tapi itulah hakikatnya, Mama.
Ini kerana kanak-kanak yang bermain permainan melalui gajet cenderung menjadi lebih agresif, pernafasan laju, kelenjar adrenalin dan dopamin meningkat, yang mana kesannya sama seperti ketagihan kokain.
Ia terbukti bagi situasi yang kita sendiri lihat jika ibu bapa halang anak daripada bermain handphone, mereka boleh bertindak agresif sampaikan mengamuk dan tantrum berlebihan.
Ketagihan gajet turut menyebabkan kerosakan otak kanak-kanak. Ini kerana pada usia dua hingga lima tahun adalah masa untuk pertumbuhan mereka, termasuk perkembangan psikososial. Kerosakan otak pada kanak-kanak boleh mengakibatkan gejala emosi seperti kebimbangan, ketidakjujuran, perasaan bersalah dan kesunyian.
Malah penyelidikan yang dilakukan oleh ‘Smart Parenting’ menunjukkan juga bahawa ketagihan gajet boleh mengakibatkan pelbagai gejala fizikal, seperti insomnia, sakit belakang, peningkatan atau kehilangan berat badan, masalah penglihatan, sakit kepala, dan kekurangan nutrisi.
Senario Yang Semakin Biasa Hari Ini
Mengupas isu ini, Mama Siti berasa terpanggil untuk kongsi satu senario yang Mama Siti lihat berlaku di sebuah kedai makan baru-baru ini. Seisi keluarga termasuk ibu dan bapa saudaranya makan beramai-ramai.
Mama Siti terpandang kepada dua kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat hingga tujuh tahun. Si abang makan seperti biasa, manakala adiknya ralit tengok skrin telefon tanpa lari daripada melihat benda lain. Pendek kata daripada awal mereka sampai, si kecil asyik hadap handphone tanpa mempedulikan apa yang jadi disekelilingnya.
Fries yang ibunya order pun disuap oleh si ibu begitu juga dengan minuman. Matanya terus fokus pada skrin sementara aktiviti lain termasuk makan dan minum untuknya semua dilakukan oleh ibu bapanya.
Sehingga dalam tempoh lebih kurang setengah jam, keluarga tadi selesai makan dan beredar. Mereka semua bangun kecuali yang kecil tadi terus-menerus hadap skrin handphone.
Seluruh ahli keluarga termasuk abangnya semua pergi ke parking kereta dan habiskan perbualan sementara tunggu suami masing-masing merokok. Setelah selesai semua tu, Mama Siti terdengar mereka berseloroh “kita diam-diam tengok dia perasan tak kita nak balik.”
Semua masuk ke kereta tapi malangnya, si anak tadi memang tak perasan yang dia dah berseorangan kat meja makan lebih kurang untuk tempoh 10 minit. Sehinggalah pembantu kedai datang kemas meja dan tegur si anak tadi. Bila angkat kepala, dia terkejut lihat seluruh keluarganya dah berada dalam kereta.
Cepat-cepat dia bangun bawa handphone menuju ke kereta. Tapi lebih menyedihkan apabila si anak tadi yang sedang berjalan ke kereta tetap tunduk kepalanya untuk sambung tengok handphone. Aduhai, Mama dan Papa.
Kasihan si kecil dibiarkan obses dengan gajet sebegitu sekali. Situasi ini adalah contoh keburukan gajet hingga menyebabkan anak hilang fokus dan boleh menjadi anti-sosial. Jangan anggap kita tak perlu busy body sebab tak tahu situasi mereka dan sebagainya.
Bukan itu tujuan Mama Siti kongsikan cerita ini, namun ia perlu dilihat daripada aspek berbeza dimana keadaan yang berlaku sekeliling kita ini adakalanya wajar dijadikan pengajaran agar kita sebagai parents tahu kepentingan mengawal screen-time dikalangan anak-anak.
Mama dan Papa harus sedar ketika usia muda mereka ini, minda anak kita perlu dibiarkan untuk terus explore dengan alam atau mencuba perkara baharu yang sesuai dengan jiwa kanak-kanaknya.
Antara bahaya lain apabila ketagihan gajet yang Mama Siti peroleh daripada laman web Releven adalah:
Kesan Akibat Ketagihan Gajet Pada Kanak-kanak
1. Rabun Jauh
Penggunaan gajet secara berlebihan boleh menjejaskan tahap penglihatan dan berisiko menyebabkan rabun jauh. Menurut Perunding Oftalmologi UiTM Private Specialist Centre, Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah, kanak-kanak yang ketagih gajet berisiko menghadapi gangguan saraf optik dan berpotensi untuk hilang penglihatan.
Organ kanak-kanak termasuk mata akan mengalami tumbesaran sebelum berhenti sehingga umur mereka berusia 22 tahun. Penggunaan gajet secara berlebihan akan memberi tekanan kepada mata dan membawa implikasi penyakit lebih serius seperti saraf retina boleh tertanggal disebabkan bola mata memanjang.
2. Reaksi Melampau (Agresif)
Pensyarah dan Ahli Psikologi Klinikal Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan UiTM, Siti Aminah Omar berkata, kanak-kanak yang diarahkan berhenti menggunakan gajet menunjukkan kecenderungan mempamerkan reaksi marah melampau. Mereka juga akan membantah, merengek dan bersikap agresif atau tantrum berlebihan.
3. Anti-Social
Kegagalan ibu bapa mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak turut menyumbang kepada perkembangan sosial yang tidak sihat. Kanak-kanak berada dalam zon selesa apabila mereka lebih gemar bersosial secara maya.
Ini sekali gus mengurangkan daya kreativiti dan minat untuk berkawan. Dalam kata lain, anak-anak tidak menjadi kreatif terutama bagi senario yang memerlukan penyelesaian daya masalah.
4. Sukar Tidur
Mereka yang gemar melayari internet secara berlebihan pada waktu malam juga berisiko mengalami kesukaran untuk tidur. Ia berlaku apabila mereka terlalu asyik melayari internet sehingga melepasi waktu tidur, menyebabkan kitaran tidur mereka terganggu.
5. Dementia Digital
Kanak-kanak yang didedahkan kepada internet dan gajet pada usia yang terlalu muda dan berlebihan berisiko mempunyai masalah ingatan yang lemah dan sukar memberikan tumpuan. Situasi ini dikenali sebagai dementia digital.
#Pencegahan
Beberapa solusi mungkin membantu Mama dan Papa bagi membendung anak daripada menggunakan gajet secara berlebihan antaranya:
1. Mengawal kekerapan anak menggunakan skrin gajet
Jangan pernah beri gajet setiap kali mereka minta. Namun Papa dan Mama boleh menetapkan jadual seperti dibenarkan memegang handphone pada setiap weekend jerr.
2. Membataskan masa kanak-kanak menggunakan gajet terutamanya dua jam sebelum tidur
Sentiasa tetapkan had masa bahawa anak-anak boleh bermain gajet hanya 30 minit setiap malam sebagai contoh. Itupun bila dah selesai homework dan bukan menghampiri waktu tidur.
Misalnya waktu paling lewat dibenarkan bermain handphone adalah jam 9 malam. Masuk pukul 10 malam, no more gadget! Yang penting Mama dan Papa kena tegas dan tidak terlalu mengikut kehendak mereka dalam soal screen-time.
3. Mewujudkan masa berkualiti bersama anak-anak tanpa penggunaan gajet
Apa yang lebih penting adalah, Mama dan Papa kena cipta aktiviti menarik dengan anak-anak. Contohnya pergi ke playground setiap petang, berkebun di laman rumah atau pergi picnic pada hujung minggu.
Dalam soal ini, Mama dan Papa perlu lebih kreatif dan rajin untuk melayani kehendak anak-anak, asalkan ia adalah kemahuan yang membina emosi dan mental mereka.
Jika diikutkan malas, mungkin parents akan pilih jalan senang iaitu bagi handphone ja. Namun awas, tindakan ini akan memberikan kesan lebih buruk pada anak-anak suatu hari nanti.
4. Sentiasa memeriksa kandungan gajet anak-anak mereka yang berusia tiga hingga 17 tahun
Jangan pernah biarkan anak bermain handphone tanpa pemantauan Mama dan Papa. Sesekali kena jengah kandungan yang anak-anak sedang tonton.
Jika tengah bermain game, seeloknya Papa dan Mama buka pula kandungan game berkenaan atau selidik tentang sesebuah apps tersebut. Kita tak tahu jenis game yang anak sedang main, boleh jadi ia adalah permainan yang berisiko atau silap-silap libatkan pertaruhan.
Begitu juga dengan YouTube. Mungkin tiada content 18sx, tapi Mama dan Papa tetap perlu perhatikan. Dibimbangi video itu melibatkan vandalisme atau sebagainya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan pelbagai info mengenai perkembangan anak-anak Mama dan Papa di SINI!