Bila melihat wajah si kecil yang sedang berkerut sambil diselang-seli dengan bunyi rengekan, terdetik di hati Mama berasa kasihan melihatkan bayi yang struggle meneran untuk membuang air besar. Ya, itu antara tanda bayi Mama sedang mengalami sembelit.
Tanda lain bahawa mereka mungkin mengalami sembelit adalah sekiranya najis tampak seperti pelet kering yang keras dan tidak meresap masuk ke dalam lampin.
Meskipun sembelit dikalangan bayi bukan suatu yang asing dan boleh dikatakan ianya lumrah menimpa hampir semua baby, namun ia pastinya menyukarkan Mama dan Papa lantaran baby sangat mendambakan perhatian anda ketika ‘mood swing’ berlaku.
Rengekan baby anda yang tak henti-henti akibat perut tak selesa membuatkan Mama dan Papa juga tak tenang.
Asyik nak jengah diaper si kecil jerr untuk make sure dah membuang ke belum, bukan? Alahai, kesiannya si manja Mama Papa ni.
Menurut portal oleh My Health, bayi yang consume formula milk perlu diberi perhatian agar membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari berbanding bayi yang minum susu ibu semata-mata.
Sembelit adalah keadaan di mana seorang kanak-kanak atau bayi menghasilkan najis yang keras atau kurang kekerapan ke tandas membuang najis.
Frekuensi pembuangan najis untuk pelbagai peringkat umur adalah seperti berikut:
- Bayi yang menyusu badan mungkin membuang air besar selepas setiap penyusuan atau sekali dalam tempoh 7 hari.
- Bayi menyusu formula atau kanak-kanak mungkin membuang najis sekali setiap 2-3 hari.
Apa yang lebih penting adalah konsistensi najis daripada kekerapan pembuangan air besar. Masalah ini sering terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang belajar mengawal pembuangan najis dan selepas keadaan yang menyakitkan atau menakutkan sewaktu pembuangan najis.
Punca Bayi Mengalami Sembelit
Masalah sembelit bayi boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor. Namun, menurut laporan Hello Doktor, tiada sebab atau punca yang jelas. Keadaan ini dikenali sebagai sembelit idiopatik iaitu apabila penyebabnya tidak diketahui.
Jika anak tidak mengalami pergerakan usus untuk satu atau dua hari dan tekstur najis mereka lembut atau cair, ia bererti tiada masalah sembelit berlaku. Ia lantaran bayi juga memerlukan masa untuk mengatur jadual pergerakan usus sendiri dan kekerapan membuang air besar yang tidak teratur adalah normal.
Bagaimanapun, jenis susu yang diberikan kepada bayi juga seringkali menjadi faktor si kecil sembelit.
1. Melalui Penyusuan Badan
Isu sembelit jarang dialami oleh si kecil yang diberikan penyusuan susu badan. Ini kerana susu ibu mengandungi julap semula jadi. Malah bayi yang menyusu badan juga cenderung mempunyai najis berwarna kuning yang agak lembut teksturnya.
Bayi baru lahir yang diberikan susu ibu mungkin akan berak setiap kali selepas makan, manakala bayi lebih berusia mungkin tidak akan membuang air besar sehingga tempoh seminggu. Jangan risau, ia bukan masalah sembelit ya Mama jika tidak membuang untuk beberapa hari namun najis mereka masih lembut dan cair.
2. Melalui Susu formula
Sementara itu, bayi yang diberikan susu formula biasanya mempunyai najis yang banyak dan perlu berak lebih kerap berbanding si manja diberikan susu ibu. Jika menggunakan susu formula, pastikan anda mengikut arahan bancuhan yang betul atau ia boleh menjadi punca baby tak berak.
Elakkan, mencampur adukkan jenis susu, membuat bancuhan susu yang cair (tidak mengikut arahan bungkusan) dan menambah makanan pejal seperti biskut atau nasi kerana anak boleh tersedak dan menjadi punca masalah sembelit bayi
Petua/Tips Sekiranya Bayi Mengalami Sembelit
Berikut antara petua atau tips yang boleh diamalkan Mama bagi melegakan masalah sembelit bayi anda:
- Berikan mandian air suam kepada bayi untuk melegakan usus.
- Lakukan urutan perlahan pada perut bayi mengikut arah jam. Berikan sedikit tekanan pada perut bayi dan lakukan gerakan bulatan dari pusat ke luar.
- Baringkan bayi dan gerakkan kaki mereka seolah-olah sedang mengayuh basikal.
- Berikan susu yang mencukupi. Bayi di bawah usia 6 bulan harus mendapatkan 700ml cecair setiap hari – sama ada daripada susu ibu atau formula.
Namun awas! Sekiranya masalah sembelit kerap berlaku, Mama jangan pandang ringan kerana dikhuatiri berkait dengan masalah kecacatan atau komplikasi penyakit lain seperti saraf dan masalah hipotiroidisme kongenital.
Mama Papa yang mendapati anak anda mengalami gejala sembelit luar biasa seperti najis berdarah disarankan terus bertemu dengan pakar untuk membuat saringan yang lebih rapi.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan pelbagai tips kesihatan bayi sama ada secara tradisional mahupun moden di SINI!