APA ITU KAYAP?
Kayap dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan. Ianya sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV). Risiko-risiko utama penyakit ini adalah:
- Umur yang semakin meningkat (lebih daripada 50 tahun) di mana ketahanan sistem imun berkurangan dan
- Kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid).
- Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10% hingga 30% akan menghidapi penyakit ini.
Penyebab penyakit kayap adalah pengaktifan virus varicella zoster. Virus ini mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chickenpox). Selepas cacar air sembuh, virus ini berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion). Apabila sistem imun menjadi lemah, ia menjadi aktif semula. Ia menyerang urat saraf dan manyebakan keradangan saraf tersebut.
GEJALA DAN TANDA KAYAP
- Kayap selalunya menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).
- Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala. Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul. Ia lazimnya dialami oleh 80% pesakit. Ia akan berterusan untuk 3 hingga 5 hari.
- Pada bahagian urat saraf yang terlibat, tanda pertama adalah tompok-tompok kemerahan yang menyakitkan. Selepas 1 hingga 2 hari, timbul gelembong-gelembong air yang kecil. Air di dalam gelembong-gelembong tersebut berwarna kekuningan. Dua hari kemudian, air tersebut akan menjadi semakin keruh dan akhirnya gelembong-gelembong tersebut akan kering. Kulit kering (crusts) tersebut akan jatuh dengan sendiri dalam masa 1 hingga 2 minggu yang berikutnya.
- Gelembong-gelembong air pada bahagian kiri dada dan belakang mengikut urat saraf
- Selalunya doktor akan dapat mengenali penyakit kayap sekiranya pesakit datang dengan tanda-tanda yang lazim bagi penyakit ini termasuk gelembong-gelembong air pada urat saraf di satu bahagian badan. Namun demikian, jikalau pesakit datang dengan tanda terawal tanpa tanda-tanda pada kulit, doktor mungkin mengalami kesulitan untuk membuat diagnosa penyakit ini.
KOMPLIKASI
Komplikasi awal semasa adanya tanda-tanda kulit termasuk jangkitan kuman bakteria pada gelembong-gelembong air pada kulit dan pendarahan di dalam gelembong-gelembong tersebut. Kadang-kadang gelembong-gelembong tersebut mungkin merebak ke kawasan yang lain. Ini selalunya berlaku pada pesakit-pesakit yang mengalami kelemahan sistem imun. Pesakit-pesakit tersebut juga mungkin mengalami tanda-tanda kulit untuk jangka masa berpanjangan.
Jika kayap melibatkan bahagian muka, ia mungkin menyebabkan komplikasi kepada mata termasuk menjadi buta dan kepada saraf facial menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy). Kadang-kadang, kayap akan menyebabkan keradangan organ dalaman termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) and usus (enterocolitis).
Setelah tanda-tanda kulit sembuh, bahagian kulit tersebut mungkin akan menjadi parut. Komplikasi kronik yang lain lazimnya adalah post herpetic neuralgia (kesakitan pada bahagian urat saraf yang terlibat untuk jangka masa yang panjang). Komplikasi tersebut selalunya dialami oleh pesakit-pesakit yang lebih tua (lebih daripada 65 tahun). Kesakitan berterusan ini akan menjejaskan kualiti hidup pesakit. Komplikasi kronik yang lain termasuk komplikasi mata (keradangan mata dan menjadi buta) dan komplikasi urat saraf (keradangan urat saraf dan saraf tunjang).
RAWATAN KAYAP
- Menyapu ubat seperti potassium permanganate untuk mengeringkan gelembong-gelembong air
- Menggunakan ubat penahan sakit seperti non steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti diclofenac dan ubat neuroaktif seperti amitryptiline.
- Penggunaan ubat antiviral dalam masa beberapa jam selepas gelembong-gelembong air timbul pada kulit dapat membantu mengelakkan komplikasi, mengurangkan tempoh masa jangkitan dan menghadkan jangkitan dari merebak. Ubat-ubat antiviral termasuk acyclovir, valacyclovir dan famciclovir. Ubat-ubatan tersebut lazimnya diberikan untuk tempoh seminggu. Kadang-kadang, pesakit-pesakit yang mengalami penyakit kayap yang teruk berserta dengan sistem imun yang lemah akan memerlukan rawatan di wad dengan ubat antiviral intravena.
- Pesakit dengan penyakit kayap pada bahagian muka yang berdekatan dengan mata perlulah mendapat rawatan segera daripada pakar mata. Pakar mata akan memeriksa dan merawat mata pesakit tersebut untuk mengelakkan komplikasi terutamanya menjadi buta.
- Vaksin bagi menghalang penyakit herpes zoster boleh diambil individu yang berumur 60 tahun ke atas dan tiada kontraindikasi kepada vaksin tersebut.
APA ITU KURAP?
Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte. Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti menyebabkan kurap adalah dari jenis Trichophyton, Microsporum dan Epidermophyton. Selain daripada menjangkiti kulit, kulat-kulat ini juga boleh menjangkiti kuku dan rambut.
Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan; sama ada dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sebarang objek yang mempunyai kulat di atasnya (fomites). Ia juga boleh berjangkit secara autoinokulasi iaitu jangkitan daripada kawasan lain pada tubuh individu yang sama contohnya berjangkit di bahagian tangan atau badan akibat digaru dengan kuku jari yang dijangkiti kulat. Keadaan kulit yang sentiasa lembap akibat pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh atau iklim yang lembap dan panas menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan kurap.
GEJALA & TANDA KURAP
- Apabila diamati dengan mata kasar, kulit yang berkurap mempunyai plak kemerah-merahan yang bersisik dan kadang-kala terdapat bintik-bintik merah atau bisul-bisul halus di sekelilingnya. Tanpa rawatan, plak ini boleh membesar dan kadang-kala akan membentuk gelang kemerah-merahan di sekelilingnya.
- Rupa bentuk seperti gegelang inilah yang menyebabkan ia juga dikenali sebagai ‘ringworm’ walaupun sebenarnya penyakit ini tidak ada kena mengena dengan jangkitan cacing. Kurap boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh termasuklah bahagian lipatan badan dan kawasan-kawasan yang sering berpeluh dan tertutup seperti di punggung, peha, perut dan sebagainya.
- Jangkitan kurap juga boleh dikenal pasti dengan menggunakan beberapa teknik penyiasatan seperti kaedah skin scraping dan kultur kulat. Untuk melakukan skin scraping, kulit berpenyakit akan dikikis di bahagian sempadannya untuk mendapatkan sisik-sisik kulit. Bahan yang dikikis akan diletakkan ke dalam titisan cecair potassium hydroxide di atas slaid kaca dan terus diamati menerusi mikroskop untuk mengecam kulat tersebut.
- Kulat juga boleh dikenalpasti dengan menghantar bahan kikisan daripada kulit ke makmal dan ia akan dikulturkan di dalam media kultur khas. Selepas beberapa hari, jenis koloni kulat yang tumbuh dapat dikenal pasti.
KOMPLIKASI
Kadang-kala, pengecaman jangkitan kurap tidaklah semudah yang disangka. Masalah ini boleh berlaku kerana kurap boleh menyerupai pelbagai penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, discoid eczema, urticaria, Bowen’s disease, kusta, sifilis sekunder dan sebagainya (lihat gambar). Sekiranya kurap telah disapu dengan krim yang mengandungi steroid terlebih dahulu, rupanya boleh berubah dan ini akan menyukarkan proses pengecaman. Kurap seperti ini dipanggil tinea incognito. Penyakit-penyakit kulit yang boleh menyerupai kurap:
*Psoriasis : Discoid eczema , Urticaria, Bowen’s diseast, Leprosy
RAWATAN KURAP
Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat. Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti keluasan kawasan yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya. Sekiranya kurap hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang paling sesuai. Krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox boleh digunakan. Teknik sapuan krim yang betul harus digunakan – ubat perlu disapu di atas plak dan melebihi sempadan kurap. Rawatan perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu, bergantung pada jenis ubat yang digunakan.
Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan boleh menyebabkan ‘hepatitis’ terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat yang lain.
PENCEGAHAN
Rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih boleh berulang sekiranya seseorang itu juga mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal, mempunyai daya imuniti yang rendah, menerima rawatan kali pertama dengan dos atau jangka masa yang tidak mencukupi dan pelbagai faktor lain. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa lembap.
Artikel ini diolah daripada www.myhealth.gov.my.