“Ala tak apa, mereka kecil lagi. Nanti besar pandailah tidur awal.”
Oh, oh. Harapnya Mama yang membaca ini tidak tergolong dalam kelompok yang berpendapat yang sama.
Tempoh tidur yang ideal bagi kanak-kanak ialah 11 hingga 14 jam sehari dan ianya menyumbang kepada tumbesaran sihat anak kita.
Apa kesalahan yang menyebabkan anak susah tidur malam dan bagaimana mengatasinya ada Mama Siti bincangkan dalam artikel kali ini.
7 Punca Anak Susah Tidur Malam
#1 Televisyen dan Gajet
Sinaran daripada televisyen dan gajet mengelirukan otak untuk berada dalam keadaan bekerja walaupun sudah malam.
Otak perlu beransur-ansur berubah dari mod aktif ke mod rehat apabila tiba waktu tidur. Oleh itu, cahaya dan bunyi mainkan peranan besar tidur waktu malam.
#2 Tekanan dan Cemas
Kanak-kanak juga boleh terdedah kepada gangguan mental dan kesannya mereka mungkin mengalami kesukaran tidur malam.
Contoh situasi yang mencemaskan kanak-kanak ialah peperiksaan dan buli.
#3 Tidur Siang Berlebihan
Seiring meningkat usia anak, semakin berkurang waktu tidur mereka. Jika anak dibiarkan tidur berlebihan di waktu siang tanpa ada sebab seperti penat bersukan, ia juga menyumbang kepada faktor sukar tidur malam.
Elakkan anak tidur lewat petang kerana lebih sukar mereka akan masuk tidur nanti.
#4 Gangguan Ritma Tidur
Anak tiada rutin untuk dijadikan panduan menguruskan kehidupan seharian mengakibatkan mereka gagal membina ‘sleeping clock’ yang sihat.
Sebagai ibu bapa kita ajarkan anak untuk dapatkan waktu tidur yang sihat atau sleep hygien agar mereka mudah untuk tidur dan bangun setiap hari.
#5 Badan Belum Bersedia
Masih banyak tenaga yang belum dibebaskan, padanlah mereka aktif semacam walaupun dah lewat malam.
Keadaan ini berlaku bila mereka kurang beraktiviti di waktu siang. Tenaga dalam badan masih banyak dan belum dalam mod rehat.
#6 Takut Bersendirian
Kita sudah biasakan anak berteman setiap kali tidur sedari mereka bayi lagi dan ia berlarutan walaupun usia mereka sudah meningkat.
Jadi mereka rasa janggal untuk tidur sendiri di bilik masing-masing. Lagi pula, mereka mungkin dimomokkan dengan cerita-cerita menakutkan di waktu malam.
#7 Mimpi Buruk
Anak kita masih kurang pengalaman hidup. Ada kalanya mereka terus terbayang-bayang mimpi buruk yang dialami seakan-akan ianya nyata.
7 Tips Atasi Anak Susah Tidur Malam
#1 Tetapkan ‘Screen Time’
Matikan semua peranti elektronik apabila waktu tidur tiba. Jadikan ini amalan dalam ahli keluarga untuk menjauhkan telefon, televisyen dan tablet apabila jam menunjukkan pukul 10 malam.
#2 ‘Deep Talk’ dengan Anak
Masalah boleh berpunca dari dalam rumah dan dari luar rumah sendiri. Mama Siti tidak menolak faktor buli di sekolah sebagai punca susah tidur malam.
Begitu juga dengan layanan oleh ahli keluarga yang membuatkan mereka stres dan cemas.
#3 Aktif di Waktu Siang
Badan yang belum cukup penat pun menjadi faktor anak susah tidur malam. Oleh itu, pastikan anak Mama dah ‘all out’ di waktu siang.
Bekalkan aktiviti yang mencukupi agar tenaga mereka digunakan sepenuhnya dan tahukah Mama hanya dengan membantu Mama dan Papa melakukan pekerjaan rumah pun boleh membantu anak mudah tidur malam.
#4 Jadual Tidur dan Bangun
‘Sleeping clock’ setiap orang itu berbeza mengikut kebiasaan yang mereka lalui setiap hari. Jika kita biasakan anak untuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari, proses menidurkan dan membangunkan anak jadi lebih mudah.
#5 Aktiviti Sebelum Tidur
Seterusnya, Mama dan Papa perlu saling bekerjasama tetapkan rutin sebelum tidur. Contohnya aktiviti membaca buku cerita bersama-sama sebelum tidur.
Kaedah ini menjadi petunjuk kepada kanak-kanak bahawa waktu tidur hampir tiba dan mereka perlu bersiap sedia.
#6 Galakkan Tidur Sendiri
Langkah berkesan untuk menggalakkan anak tidur sendiri ialah secara beransur-ansur. Pada peringkat awal, mulakan dengan seminggu dua kali.
Selain itu, temankan mereka dengan barangan kesayangan seperti teddy bear, selimut atau bantal kegemaran.
#7 Bantu Anak Atasi Mimpi Buruk
Bantu anak atasi mimpi buruk dengan mendengar ceritanya, menenangkannya dan berikan pelukan di belakang badan mereka.
Terus lakukan rutin ini sehingga rasa takut mereka hilang dan kembali yakin. Namun begitu, Mama Siti ingatkan agar tetap biarkan anak tidur di bilik sendiri dan bukan bilik tidur ibu bapanya kerana bimbang ia menjadi tabiat si anak.
Anak kecil perlu tidur sekurang-kurangnya 11 jam sehari. Kegagalan mendapatkan tempoh yang ideal mengakibatkan mereka kuat meragam dan senang berubah emosi.
Semua tujuh punca anak sukar tidur malam dan cara merawatnya Mama Siti telah pun kongsikan.
Semoga anak-anak kita membesar dengan sihat melalui tidurnya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips keibubapaan DI SINI!