Sedang lena tidur tiba-tiba bayi Mama merengek. Ingatkan nak susu, rupa-rupanya hidung si kecil tersumbat. Ish, kesiannya!
Bukan sekali dua keadaan tu berlaku, tetapi pastinya si kecil akan berulang kali tersedar dalam tempoh satu malam ekoran pernafasan terganggu dek kerana hidung blocking.
Selain simpati dengan keadaan si manja, Mama dan Papa juga jadi tak lena lantaran bimbang melihatkan bayi yang struggle bernafas apabila saluran hidungnya sempit.
Meskipun selesema dikalangan bayi kebanyakkannya bukan hal yang serius, namun ia sangat meletihkan khususnya bagi Mama dan Papa yang perlu bekerja pada keesokan hari.
Dengan tidur tak cukup, perlu bangun pagi dan fokus di pejabat pula. Pastinya senario ini memenatkan anda sekiranya ia berulang untuk beberapa malam.
Nak beri ubat selesema bukan semudah yang disangka. Untuk pengetahuan Mama dan Papa, kebiasaannya bayi berusia di bawah dua tahun tidak digalakkan untuk consume dengan beberapa jenis ubat antaranya ubat yang boleh mengakibatkan rasa mengantuk atau lali.
Jika disarankan oleh doktor sekalipun, pastinya bagi dos yang dibenarkan sangat sedikit. Sekiranya Mama dan Papa pergi mendapatkan rawatan bayi di klinik kerajaan, tiada pemberian ubat untuk diminum minum bagi kes selesema dan batuk untuk golongan bayi.
Habis tu, bagaimana nak pulihkan selesema bayi dengan kaedah yang selamat? Hah, apa kata Mama dan Papa teruskan membaca perkongsian Mama Siti kali ini tentang bagaimana mengatasi selesema dikalangan bayi melalui petua serta alatan bantuan bersesuaian.
Cara Mengatasi Masalah Selesema Bayi
Melalui Tips & Petua Tradisional
1. Kunyit
Memetik perkongsian seorang doktor perubatan, Dr. Mazliana Mazlan berkata, kunyit adalah antibiotik semulajadi yang membantu sistem imun melawan selssema.
Kandungan curcumin terkandung dalam tumbuhan ini membantu memberikan banyak khasiat untuk tubuh manusia tak kira sama ada digunakan pada dalaman atau luaran.
Bagi Mama dan Papa yang nak cuba alternatif mudah dan selamat ini, tumbukkan kunyit hidup sehingga lumat dan serdak kunyit tadi boleh disapukan pada batang hidung bayi anda.
Kaedah ini membantu mengeringkan selssema dalam hidung si kecil tadi sekaligus melancarkan pernafasan.
Bagaimanapun ia tidak bertahan lama. Mungkin Papa dan Mama perlu bersedia untuk tempoh dua ke tiga jam lagi bagi ulangi sapuan kunyit berkenaan sekiranya saluran hidung si manja kembali tersumbat.
2. Bawang putih
Bawang putih mengandungi antibiotik semulajadi dan mampu membunuh bakteria penyebab batuk dan selesema.
Tak kisah sama ada diambil melalui hidangan atau digunakan sebagai sembuhan luaran, hasilnya tetap sama.
Jadi, jangan pandang ringan dengan petua bawang putih ini kerana menurut laporan Hello Doktor, bawang putih mengandungi sifat antimikrob yang boleh membantu melawan jangkitan sekaligus berupaya membunuh bakteria penyebab batuk dan selesema.
Cara buat minyak bawang putih:
- Bakar bawang putih tanpa minyak di atas api dapur sehingga melepuh.
- Ketuk sedikit bawang putih bagi terbelah menjadi saiz yang kecil.
- Campurkan bawang putih tersebut dengan minyak zaitun, baby oil atau minyak masak.
- Sapu di dada, belakang dan tapak kaki bayi. Mama akan dapati hidung tersumbat si manja tadi mulai hilang.
3. Air kelapa
Antara buah yang sangat baik untuk kesihatan tubuh dan boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja pada setiap hari.
Bagaimanapun, amalan minum air kelapa dikalangan bayi sesuai untuk mereka berumur enam bulan ke atas.
Menurut Dr. Mazliana, air semulajadi ini mampu menyingkirkan toksin sekaligus menguatkan immune system manusia.
Tidak hanya mampu menyembuhkan selsema, Dr. Mazliana berkata air kelapa juga merawat penyakit batuk dan demam serta menghidrasikan tubuh. Jadi, rugilah kalau kita semua jarang minum air kelapa, bukan?
4. Teknik Percussion
Teknik paling mudah dan berkesan untuk memulihkan sistem pernafasan bayi. Jangan anggap kaedah percussion atau tepuk-tepuk di kawasan paru-paru itu hanya petua kuno.
Dalam rawatan hari ini pun, doktor akan menasihatkan penjaga untuk menepuk paru-paru pesakit bagi memberikan kelegaan sekiranya batuk dan sebagainya.
Bagi masalah selesema, teknik percussion mampu melonggarkan kahak pada paru-paru dan mengeluarkan mukus (hingus), jika ada.
Bentuk tangan (cupping) seolah-olah sedang berdoa dan buat pukulan dengan kekuatan di pergelangan tangan. Tepuk selama 15 minit di sekitar paru-paru bayi di bahagian depan dan belakang tubuh.
Rawatan Lain Yang Selamat
Jika rasa tak larat nak cuba petua tradisional kerana perlu lakukannya sendiri, mungkin Mama dan Papa boleh beralih kepada pengunaan alatan sebagai merawat selesema si manja.
1. Nasal spray
Ini antara ‘ubat’ popular yang akan diberikan doktor. Nasal spray merupakan semburan berasaskan air laut semula jadi yang telah diproses dan selamat untuk bayi bawah dua tahun.
Ia berfungsi mengeluarkan segala lendir yang telah menyumbat hidung si kecil. Hanya sembur dalam lubang hidung mereka dan hingus akan meleleh keluar dengan mudah.
2. Nasal aspirator
Nasal aspirator merupakan alatan untuk menyedut lendir dalam lubang hidung si manja. Cuma kaedah ini buat bayi tak selesa kerana perlu masukkan tube ke dalam lubang hidung mereka.
Justeru, ia perlu digunakan dengan berhati-hati sebab bila tak selesa, pastinya si manja akan berusaha untuk melawan dan mengelak.
Maka, hidung mereka boleh berisiko melecet atau terluka jika digunakan secara kasar atau diulangi sehingga beberapa kali dalam tempoh singkat.
3. Nasal drop
Kalau pergi ke klinik kesihatan, Mama boleh dapat nasal drop ini. Ia digunakan dengan cara menitiskan cecair ubat ke dalam lubang hidung bayi bagi tujuan mencairkan hingus.
Bila lendir tu dah meleleh keluar, Mama boleh sedut menggunakan nasal aspirator atau sekiranya tidak keluar melalui lubang hidung, ia akan turun ke dalam perut dan keluar mengikut saluran najis.
4. Nasal strip
Sama seperti fungsi pelekat breathe right, nasal strip merupakan pelekat berangin untuk ditampal pada batang hidung si kecil.
Bagaimanapun, Mama dan Papa dinasihatkan untuk membaca label di belakang pek bagi mengetahui risikonya dan kesesuaian untuk bayi anda. Tanya jurujual lebih lanjut tentang produk berkenaan.
5. Tinggikan bantal untuk si manja
Ini antara teknik mudah dan berkesan. Meninggikan kepala bayi selesema semasa tidur dapat membantu mereka yang selesema bernafas dengan lebih lancar dan selesa.
Semoga tips ini dapat membantu Mama dan Papa merawat selesema bayi anda. Sebaiknya, jumpa doktor apabila si kecil tak sihat dan dapatkan pandangan mereka terlebih dahulu.
Dapatkan lebih banyak tips kesihatan yang lain di SINI!