Bengkak susu merupakan antara masalah yang sering kali dihadapi oleh Mama yang menyusukan baby. Selain itu, mak-mak yang menyusu badan juga sering mengalami kekurangan susu, puting melecet, sensitif terhadap sentuhan, dan sebagainya.
Sebenarnya keadaan ini terjadi apabila payudara Mama membengkak.
Sebab biasanya ia berlaku disebabkan susu Mama yang berlebihan dan tidak dikeluarkan.
Keadaan ni berlaku apabila susu yang Mama hasilkan adalah berlebihan, tetapi baby Mama hanya menyusu sikit je.
Untuk mengatasi masalah bengkak susu yang sering dialami ibu-ibu yang menyusu badan, Mama Siti berjaya mendapatkan info dan nasihat menarik daripada Puan Nad Masrom, seorang Kaunselor Laktasi Bertauliah untuk membantu Mama.
Berikut merupakan hasil temu bual bersama beliau.
1. Boleh Puan terangkan dengan lebih jelas mengenai bengkak susu?
Bengkak susu berlaku berpunca daripada saluran susu yang tersumbat disebabkan oleh pengeluaran susu Mama yang tidak berlangsung secara efektif.
Selain itu, masalah lekapan, penggunaan pam, saiz corong, Mama stress, Mama tidak memerah susu dengan kerap merupakan antara punca yang menyebabkan bengkak susu berlaku.
2. Apakah punca berlakunya saluran susu tersumbat?
Antaranya adalah Mama tidak mengeluarkan susu—sama ada secara penyusuan terus atau menggunakan teknik perahan.
Selain itu, lekapan bayi yang tidak efektif, posisi penyusuan yang salah, memakai pakaian dalam yang terlalu ketat juga antara faktor yang membawa kepada saluran susu tersumbat.
Mama yang banyak mengambil makanan berasaskan lemak tepu, Mama yang berada dalam keadaan tertekan dan tidak cukup rehat serta teknik penggunaan pam susu yang tidak betul juga antara punca berlakunya saluran susu tersumbat.
Sekiranya saluran susu tersumbat terjadi, ia akan menyebabkan timbulnya masalah bengkak susu ini.
3. Apakah simptom awal yang menyebabkan Mama menghadapi masalah bengkak susu?
- Penghasilan susu mula berkurang.
- Saluran yang tersumbat menyebabkan pengeluaran susu tidak berlaku secara optimum dan payudara akan mula mengurangkan penghasilan susu.
- Najis bayi berwarna hijau.
- Situasi ini menunjukkan tanda bahawa bayi hanya mendapat susu awal akibat saluran susu yang tersumbat dan menyebabkan susu akhir yang mengandungi tinggi lemak sukar mengalir dengan lancar. Susu awal yang mengandungi tinggi laktosa biasanya akan memberikan tanda kepada warna hijau pada najis bayi.
- Payudara ibu masih terasa penuh walaupun selepas memerah.
- Disebabkan oleh saluran susu tersumbat, pengeluaran susu tidak boleh berlaku secara efektif dan menyebabkan susu Mama terkumpul dan terasa masih penuh walaupun selepas sesi memerah.
- Bayi mudah mendapat masalah kembung perut.
- Ia berikutan bayi hanya mendapat lebih banyak susu awal yang tinggi laktosa dan apabila kandungan susu mempunyai tinggi laktosa, ia akan menyebabkan proses penguraian bakteria bayi berlaku di usus dan menyebabkan bayi mudah mengalami masalah kembung.
- Mama terasa ada ketulan keras di payudara.
- Ini adalah disebabkan oleh susu yang terkumpul dan tersumbat di dalam saluran susu.
4. Apakah risiko yang akan dihadapi oleh Mama yang menyusu sekiranya mereka membiarkan bengkak susu berlaku terlalu lama dan sekiranya ia semakin teruk, apakah yang akan terjadi kepada payudara Mama?
Apabila Mama hanya membiarkan susu berlarutan, Mama akan berisiko mendapat jangkitan kuman yang dipanggil mastitis. Kuman ini boleh menyebabkan Mama mengalami demam, ketidakselesaan di payudara, kesakitan, dan bengkak yang sukar surut.
Sekiranya Mama mengalami mastitis, Mama perlu mendapatkan rawatan dan biasanya rawatan yang akan diberikan adalah ubat antibiotik.
Kalau Mama terlambat menerima rawatan bagi mastitis, saluran susu yang tersumbat boleh bernanah dan mungkin boleh merebak ke bahagian lain yang dikenali sebagai abses payudara (breast abscess).
Untuk breast abscess ini, tiada pilihan melainkan Mama perlu menjalani rawatan untuk mengeluarkan nanah atau melalui prosedur pembedahan bagi mengeluarkan nanah yang ada di payudara Mama.
5. Adakah Mama masih boleh menyusu bayi sekiranya terdapat luka pada puting dan perlukah Mama berhenti menyusu ketika payudara Mama mengalami bengkak dan sakit?
Sekiranya terdapat luka pada puting Mama, masih lagi boleh menyusukan bayi dengan selamat.
Bagi Mama yang mengalami bengkak susu pun sama; masih boleh meneruskan penyusuan dan tidak perlu berhenti kerana penyusuan secara berterusan dapat mengurangkan masalah saluran susu tersumbat yang menyebabkan masalah bengkak susu berlaku.
Tetapi, kalau terdapat nanah di payudara Mama, dinasihatkan untuk memerah sahaja susu pada bahagian tersebut dengan tangan dan Mama boleh teruskan menyusu dengan sebelah payudara yang tidak bernanah.
Untuk Mama yang mengalami mastitis pula, masih boleh menyusu tetapi apabila sudah bernanah, anda tidak dinasihatkan untuk terus menyusukan si manja.
6. Adakah bengkak susu ini boleh sembuh dengan sendiri? Selalunya berapa lama masa yang diambil untuk pulihkan semula bengkak susu?
Apabila Mama mengalami bengkak susu, Mama disarankan untuk melakukan demahan—sama ada demahan sejuk atau panas—bergantung kepada situasi payudara Mama dengan lebih kerap.
Ia tidak boleh dibiarkan reda dengan sendiri kerana saluran susu Mama masih lagi dalam keadaan tersumbat.
Antara langkah yang Mama boleh lakukan ialah lakukan demahan panas atau sejuk di payudara, membuat urutan lembut di bahagian yang tersumbat, melakukan lebih banyak teknik perahan tangan (marmet), dan meneruskan penyusuan bersama bayi dengan lebih kerap.
7. Adakah penggunaan pam susu boleh dianggap salah satu penyelesaian kepada bengkak susu?
Penggunaan pam susu yang tidak betul adalah salah satu punca bengkak susu berlaku. Mama yang memerah secara eksklusif jugak sangat berisiko untuk mendapatkan bengkak susu.
Ini kerana penyusuan secara terus adalah lebih baik untuk mengeluarkan susu secara optimum berbanding dengan pengeluaran susu yang menggunakan pam susu.
Sekiranya Mama ingin menggunakan pam susu ketika bengkak, Mama masih perlu melakukan teknik demahan sama ada panas atau sejuk. Serta mengutamakan teknik perahan tangan dan penyusuan terus bersama bayi.
Ini adalah untuk memastikan tiada susu yang tertinggal kerana boleh menyebabkan saluran susu tersumbat berlaku akibat penggunaan pam. Jadi Mama perlu lakukan teknik marmet setiap kali selepas memerah.
8. Adakah betul atau sekadar mitos sahaja, meletakkan daun kobis sebagai salah satu cara untuk hilangkan bengkak susu?
Kredit Gambar: Bidadari.My
Pada zaman dahulu, penggunaan kobis adalah sangat popular untuk meredakan masalah bengkak susu dan tidak dinafikan penggunaan kobis memang dapat membantu meredakan bengkak susu sekiranya kobis itu disejukkan.
Walau bagaimanapun, tidak ada satu kajian pun yang dapat membuktikan bahawa penggunaan kobis adalah lebih baik daripada penggunaan ais untuk meredakan bengkak susu.
Academy of Breastfeeding Medicine (2022) telah mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan ais adalah lebih baik kerana kobis mentah yang digunakan untuk menyejukkan payudara berisiko menyebarkan bakteria Listeria.
9. Apakah ada alternatif lain yang boleh Mama lakukan sendiri di rumah untuk mengurangkan rasa sakit bengkak susu ini & apakah ia boleh diubati dengan mengambil sebarang ubatan yang boleh dibeli di farmasi?
Mama boleh gunakan alternatif ini semasa di rumah; iaitu dengan melakukan demahan panas sekiranya payudara Mama tidak ada sebarang tanda keradangan (mastitis).
Sekiranya Mama rasa sakit, boleh lakukan teknik demahan sejuk iaitu proses tuaman dengan menggunakan ais.
Untuk ubat pula, Mama boleh mengambil Lecithin dengan mendapatkan nasihat daripada Pegawai Perubatan sekiranya Mama memerlukannya.
Semoga perkongsian daripada Puan Nad ini memberi pencerahan dan membantu Mama yang menyusu, terutamanya mereka yang baru sahaja bergelar ibu.
Bagi Mama yang masih aktif menyusukan si manja, jom sama-sama kita sertai acara Breastfeeding Pledge TERBESAR yang dianjurkan Motherhood.com.my di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Jangan lupa untuk pledge dan tunjukkan sokongan anda mengenai breastfeeding bersama mak-mak yang lain. Setiap pledge bakal menerima sijil penyertaan dan mereka yang dapat menghadirkan diri di Tropicana Gardens Mall nanti akan turut menerima sebuah goody bag bernilai RM100*!
Daftarkan penyertaan dan ikrar Mama sebagai seorang breastfeeding mom di SINI hari ini.
*Tertakluk kepada terma & syarat
Baca pelbagai kisah dan tips menarik mengenai penyusuan susu ibu di SINI.