AWASI ANAK ANDA DARIPADA SI PELAKU PEDOFILIA
Pedofilia merupakan salah satu penyakit psikologi yang agak sukar dikesan kerana kelihatan normal dan mesra dengan kanak-kanak menyebabkan kanak-kanak mudah terpengaruh serta dekat dengan mereka. Istilah pedofilia digunakan buat pertama kalinya pada 1856 oleh seorang pakar psikiatri dari Vienna dan pada 1950-an, ‘penyakit’ ini mula dianggap sebagai salah satu daripada masalah kesihatan mental. Kriteria utama penghidapnya adalah suka kepada kanak-kanak dan mempunyai kecenderungan seksual kepada mereka. Namun, terdapat salah faham dalam masyarakat kita apabila menganggap pedofilia hanyalah pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak sedangkan golongan yang tertarik kepada kanak-kanak tanpa melakukan gangguan seksual juga adalah pedofilia. Ini yang menjadi kebimbangan utama kerana ramai penghidap menyembunyikan masalah mereka tanpa mendapatkan rawatan. Pelaku pedofilia berusia seawal 16 tahun dan mangsa selalunya adalah kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.
PUNCA BERLAKUNYA PEDOFILIA
- Direkodkan kebanyakan pedofilia pernah menjadi mangsa gangguan seksual dan mempunyai tahap intelektual yang rendah, iaitu mereka tidak boleh berfikir secara rasional.
- Pedofilia juga tergolong daripada mereka yang melakukan penyalahgunaan dadah ephatamine yang membuatkan mereka lebih berani, berasa mempunyai kuasa dan berasa apa yang dilakukan adalah betul, serta mereka yang mengalami kecelaruan personaliti.
KESAN MANGSA PEDOFILIA
- Impak terhadap kanak-kanak yang mengalami gangguan seksual oleh pedofilia ini sangat membimbangkan kerana meninggalkan kesan trauma yang boleh menyebabkan kemurungan dan ada juga mengalami ketagihan seks sejak kecil.
- Kesannya sangat bergantung kepada usia mereka. Bagi mangsa yang masih kecil, mereka masih tidak mengetahui apa yang berlaku dan tidak mempunyai memori untuk mengingati apa yang telah berlaku, namun jika mangsa dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berusia, seperti usia 11 hingga 13 tahun, adanya stigma masyarakat terhadap mereka.
- Masyarakat akan mula berkata-kata tentang kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak itu membuatkan mereka menjadi trauma dan malu dengan apa yang menimpa.
MELIBATKAN ORANG YANG PALING DIPERCAYAI
Kes-kes pedofilia yang dilaporkan berlaku sering kali melibatkan mereka yang bekerja dalam persekitaran kanak-kanak. Pendekatan seperti saringan kesihatan mental serta latar belakang termasuk salah laku lampau menjadi salah satu aspek penting bagi memastikan orang yang bekerja dengan kanak-kanak memberi perlindungan yang sepatutnya kepada mereka bukan menjadikan kelemahan kanak-kanak sebagai peluang untuk melakukan jenayah. Pelaku biasanya mengambil peluang untuk bekerja dalam persekitaran kanak-kanak dengan cara mendekati mereka untuk memperoleh kepercayaan, seterusnya mempengaruhi mangsa untuk melakukan aksi-aksi seksual di hadapan mereka atau dirakamkan untuk tontonan pelaku yang lain.
JENAYAH TANPA SENTUHAN
- Kes pedofilia dalam talian juga dilihat semakin membimbangkan pada masa kini kerana kanak-kanak sudah didedahkan kepada perkembangan teknologi seawal usia empat tahun, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada bahaya pedofilia.
- Penggunaan Internet tanpa pengawasan orang dewasa menyebabkan kes pedofilia boleh berlaku tanpa sebarang sentuhan oleh pelaku kepada mangsa, malah tidak perlu mengadakan pertemuan untuk melakukan jenayah ini.
- Dengan adanya media sosial, pelaku pedofilia dengan mudah dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak melalui medium chatting. Pada awalnya, mereka akan memulakan perkenalan seperti orang lain, namun lama kelamaan pelaku akan meminta kanak-kanak menghantar gambar bogel atau gambar alat kemaluan mereka dan meminta mereka merakamkan video tanpa memakai pakaian.
- Lebih menakutkan lagi, gambar atau video yang diberi akan disebarkan melalui online untuk diakses kepada komuniti pedofilia di seluruh dunia. Bayangkan bagaimana reaksi kanak-kanak ini 20 tahun kemudian jika ia didedahkan kembali atau disebarkan oleh mereka yang berniat jahat.
PENTINGNYA PENDIDIKAN SEKS
- Reaksi orang di sekeliling sangat penting dalam menangani isu pedofilia. Keluarga terdekat juga dilihat mempunyai ‘pas ekspres’ untuk mendekati kanak-kanak tanpa sebarang prasangka, malah sejumlah kes dilaporkan melibatkan ahli keluarga terdekat.
- Ada segelintir ibu bapa yang tidak mempercayai aduan daripada anak sendiri kerana beranggapan mereka menipu untuk meraih perhatian daripada ibu bapa menyebabkan banyak masalah pedofilia menjadi kes terpencil.
- Disebabkan itu, ibu bapa perlu peka dan menyedari adanya perubahan pada tingkah laku pada anak-anak mereka. Jika anak-anak mengadu, anda perlu menyiasat perkara tersebut dan bukan melabel mereka menipu disebabkan pelakunya ada dalam kalangan keluarga.
- Jika anak anda menjadi mangsa, biasanya emosi mereka mudah terganggu. Anak kecil cenderung untuk ‘berkepit’ dengan ibunya manakala anak yang lebih besar menjadi pemarah dan kadangkala apa yang berlaku terbawa-bawa pada waktu tidur seperti mimpi ngeri, terjaga ketika tidur, atau menangis dalam tidur.
- Berlaku juga tingkah laku seperti anak kecil berminat untuk mengetahui tentang alat sulit orang dewasa.
- Pendidikan seks sangat penting pada masa kini dan menganggap ibu bapa zaman sekarang perlu menjadi generasi pertama yang bercakap tentang pendidikan seks atau pornografi kepada anak-anak tanpa adanya tabu.
Antara perkara yang perlu diajar kepada kanak-kanak ialah:
- Bercerita kepada ibu bapa tentang apa yang berlaku kepada mereka sepanjang hari sama ada di rumah atau di tempat jagaan, sekolah dan sebagainya.
- Mengajar anak menghormati tubuh badannya dan menyatakan yang tidak semua bahagian tubuh badan boleh disentuh oleh sesiapa pun termasuk ibu bapa, adik beradik dan sesiapa sahaja.
- Mengajar anak membezakan pegangan atau sentuhan yang tidak dibenarkan.
- Selalu berbual dengan anak hingga melihat ketidakselesaannya bercakap mengenai sesuatu perkara terutama mengenai seks dan orang dewasa tertentu.
- anak berjumpa pakar jika anak sering kencing malam dan kelihatan terganggu atau murung.
- Sentiasa awasi dengan siapa anak kita berada. Jika anak mula gemar bermain komputer, siasat siapa kawan-kawannya di laman sosial.
- Ibu bapa mesti sering bercerita berasaskan pengalaman yang mudah difahami anak mengikut umur dan memudahkannya untuk terasa dikaitkan.
Sumber: Internet