Depresi tidak hanya dialami oleh orang-orang susah dan mempunyai pelbagai masalah kewangan dan sebaginya. Ianya merupakan sejenis penyakit mental yang boleh terjadi akibat faktor sekeliling, kesihatan fizikal, kestabilan hormon, dan genetik.
Seorang penyanyi Cina-Amerika Coco Lee telah meninggal dunia pada 5 Julai selepas cuba membunuh diri di rumahnya tiga hari sebelum itu, dan kematiannya diumumkan oleh kakaknya, Nancy Lee, dalam sebuah ‘posting‘ Weibo.
Nancy mendedahkan bahawa Coco telah mengalami depresi sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, keadaan mental Coco bertambah teruk dengan drastik baru-baru ini, dan mengakibatkan beliau membuat cubaan membunuh diri di rumah pada 2 Julai.
Coco tidak sedarkan diri sejak beliau dihantar ke hospital. Walaupun doktornya telah berusaha menyelamatkan dan merawatnya, penyanyi itu akhirnya meninggal dunia pada tanggal 5 Julai.
Papa Mama pun WAJIB peka terhadap kesihatan mental anak-anak dan pasangan – Papa yang bekerja, Mama yang menjaga hal rumah, anak-anak di sekolah, dan sebagainya. Sebahagian besar pesakit yang mengalami depresi, tidak mencari bantuan, dan orang sekeliling tidak mengambil kisah, sehingga boleh mengakibatkan depresi yang dialami makin teruk dan boleh membawa maut.
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan depresi, dan bagaimana untuk melawannya? Teruskan membaca untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Mengenal Pasti & Melawan Depresi
Definisi
Depresi ialah penyakit mental yang biasa dihidap dan sangat serius yang memberi kesan negatif kepada perasaan, emosi, cara anda berfikir dan cara anda bertindak. Nasib baik! ia juga boleh dirawat.
Simptom Depresi
Apa Yang Penghidap Depresi Rasa
Kemurungan menyebabkan perasaan sedih dan/atau hilang minat dalam aktiviti yang pernah penghidap gemari. Ia boleh membawa kepada pelbagai masalah emosi dan fizikal malah sehingga mampu mengurangkan keupayaan anda untuk berfungsi di tempat kerja dan juga di rumah.
Berikut adalah simptom-simptom lain yang anda perlu mengambil perhatian agar dapat dibendung dari awal:
- Berasa sedih atau mengalami mood yang tertekan
- Kehilangan tenaga atau peningkatan keletihan
- Rasa tidak berharga atau bersalah
- Kesukaran berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan
- Fikiran tentang kematian atau bunuh diri
Apa Yang Anda Boleh Lihat Daripada Pesakit
- Hilang minat atau keseronokan dalam aktiviti yang pernah dinikmati.
- Perubahan dalam selera makan — penurunan berat badan atau penambahan yang tidak berkaitan dengan diet.
- Masalah tidur atau terlalu banyak tidur.
- Meningkatkan aktiviti fizikal tanpa tujuan seperti ketidakupayaan untuk duduk diam, mundar-mandir, menggerakkan tangan atau pergerakan atau pertuturan yang perlahan dan ia kelihatan teruk untuk diperhatikan oleh orang lain.
Untuk didiagnosis kemurungan, simptom-simptom yang telah disebutkan mesti berlangsung sekurang-kurangnya dua minggu.
Selain itu, keadaan perubatan seperti masalah tiroid, tumor otak atau kekurangan vitamin juga boleh meniru simptom kemurungan. Jadi, adalah penting untuk mengambil kira juga faktor-faktor kesihatan yang lain.
Rawatan & Bantuan
Rawatan Yang Tersedia
- Perubatan
- Antidepresan mungkin ditetapkan untuk membantu menstabilkan kimia dalam otak seseorang.
- Antidepresan mungkin menghasilkan sedikit penambah baikan dalam minggu pertama atau kedua penggunaan, namun faedah penuh mungkin tidak dapat dilihat selama dua hingga tiga bulan.
- Adalah penting untuk memberitahu doktor anda jika ubat tidak berkesan atau jika anda mengalami kesan sampingan.
- Psikoterapi
- Psikoterapi, atau “terapi bercakap,” kadangkala digunakan untuk rawatan depresi ringan;
- untuk kemurungan sederhana hingga teruk, psikoterapi sering digunakan bersama dengan ubat antidepresan.
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT) pula didapati berkesan dalam merawat kemurungan.
- CBT adalah satu bentuk terapi yang tertumpu kepada penyelesaian masalah pada masa kini.
Electroconclusive Therapy
ECT ialah rawatan perubatan yang paling biasa dikhaskan untuk pesakit yang mengalami depresi yang teruk dan tidak bertindak balas terhadap rawatan lain.
Ia melibatkan rangsangan elektrik ringkas otak semasa pesakit berada di bawah bius. Seorang pesakit biasanya menerima ECT dua hingga tiga kali seminggu sehingga mencapai sejumlah enam hingga 12 rawatan.
Ia biasanya diuruskan oleh pasukan profesional perubatan terlatih termasuk pakar psikiatri, pakar bius dan jururawat atau pembantu doktor. ECT telah digunakan sejak tahun 1940-an, dan penyelidikan bertahun-tahun telah membawa kepada penambahbaikan besar dan pengiktirafan keberkesanannya sebagai arus perdana dan bukannya rawatan “pilihan terakhir”.
Peranan Orang Sekeliling
Keluarga dan orang sekeliling tidak perlu malu atau rendah diri jika ada anak, adik-beradik, saudara mara dan rakan mereka mengalami kemurungan.
Bantu dengan percakapan yang menyokong, menghargai dan mendengar luahan hati mereka. Sekurang-kurangnya dengan perkongsian masalah dapat meredakan beban emosi ditanggung.
Sekiranya masih belum didiagonsis, sarankan untuk mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.
Berikut adalah talian hotline untuk mendapatkan bantuan:
- Befrienders: 03-76272929 / 03–79568144 or 03–79568145
- Malaysia Mental Health Association: 03 2780 6803
- Mercy Malaysia: 03-29359935
- Talian Kasih: 15999
- Buddy Bear: 03–9779 5550 (for children)
- Lifeline Association: 03–42657995 011–3157 1495 / 016–720 1495
Jangan malu untuk menghubungi talian hotline di atas untuk mendapatkan bantuan kaunseling dan moral. Mereka sudi mendengar segala masalah dan luahan anda.
Mama Siti dan pihak KelabMama mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Coco Lee.
Lebih banyak maklumat kesihatan boleh dapatkan di SINI.