Bagi kita ibu bapa, tentulah kita risau tentang kesihatan gigi anak. Tak nak lah anak kita dapat karies gigi di awal usia. Nanti kalau anak gigi anak dah penuh dengan karies dan seterusnya merosakkan gigi mereka, dah jadi satu hal untuk Mama Papa belajarcara hilangkan karies gigi anak pula.
Untuk mengelakkan ia berlaku, jom Mama Siti terangkan mengenai karies gigi dan cara untuk mengatasi masalah ini. Apa itu karies gigi? Apakah puncanya dan bagaimana kita boleh bantu anak-anak jaga gigi mereka, ada dibincangkan dalam artikel kali ini.
Apa Itu Karies Gigi?
Bahasa mudahnya, karies gigi ialah kerosakan gigi pada kanak-kanak. Gigi menjadi jarang, berlubang dan hitam.
Secara saintifiknya, lapisan enamel gigi mulai terhakis disebabkan oleh bakteria yang dari air liur yang menjadi lebih aktif kerana makanan manis.
Keadaan ini dinamakan sebagai ‘demineralization’. Ia bermula dari lapisan luar kemudian lama-kelamaan menular hingga ke dalam gigi dan berlubang.
Punca Karies Gigi Anak
Anak-anak yang mempunyai tabiat pemakanan dan gaya hidup seperti yang Mama Siti akan senaraikan ini berisiko mendapat karies gigi.
Jika diabaikan, anak Mama mungkin akan kehilangan gigi susunya lebih awal dan ini menyebabkan mereka kehilangan banyak perkara.
Contohnya, sukar menikmati makanan, menyebut huruf tertentu dan lebih membimbangkan jika mereka menjadi bahan ejekan rakan-rakan dan orang dewasa kerana gigi rongak.
- Suka makanan dan minuman manis
Susu kotak, minuman bergas dan jajan antara snek kegemaran kanak-kanak yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Walaupun ada sebahagian yang menyatakan kurang gula tetapi adalah lebih baik, Mama sendiri periksa bahan kandungan minuman dan makanan itu.
Tips menilai kadar gula makanan adalah dengan melihat kandungan pertama pada bungkusannya. Ini kerana ianya disusun berdasarkan peratusan paling tinggi hingga ke paling rendah.
- Abai Kebersihan Gigi
Tidak melakukan rutin memberus gigi seawal usia adalah punca terjadinya karies gigi pada anak-anak.
Zarah makanan yang tidak dibersihkan lama-kelamaan menjadi tahi gigi dan membina plak di permukaan gigi.
Kuman akan terus membiak dan merosak lapisan perlindungan enamel gigi mereka.
- Menyusu Botol
Mama Siti pun pernah mempersoalkan bagaimana minum susu botol menjadi faktor karies gigi. Akhirnya, barulah Mama Siti sedar rupa-rupanya susu tepung yang kita sangka tidak manis itu juga sebenarnya ada gula.
Kerana itu jugalah ada susu tepung dijual dengan harga lebih tinggi kerana menggunakan alternatif selain gula dalam susu tepung.
5 Cara Hilangkan Karies Gigi Anak
#1 Jumpa Doktor
Bak kata pepatah arab; ‘الوقاية خير من العلاج’ yang bermaksud mencegah lebih baik dari mengubati. Sebaik sahaja anak Mama tumbuh gigi pertama, bawa mereka ke klinik gigi untuk pemeriksaan dan nasihat.
Jika terdapat tanda-tanda kerosakan gigi, doktor akan segera ambil rawatan yang sepatutnya agar gigi kekal sihat. Mama juga boleh tanyakan tips dan pemahaman dengan lebih mendalam tentang cara hilangkan karies gigi anak.
#2 Hadkan Makanan Manis
Sentiasa peka dengan apa-apa jenis makanan dan minuman yang anak-anak Mama ambil. Jangan dedahkan mereka gula sebelum menjejak ke usia satu tahun kerana deria rasa mereka 100 kali ganda lebih sensitif dari orang dewasa.
Teruskan usaha Mama mengehadkan pengambilan gula anak-anak agar dapat mengelakkan diri daripada karies gigi.
#3 Berus Gigi, Dapat Hadiah
Anak-anak sukakan rutin. Ianya seolah-olah mereka telah menyelesaikan tanggungjawab pada hari tersebut.
Ajarkan mereka untuk berus gigi setiap pagi dan petang iaitu ketika bangun pagi dan sebelum tidur.
Sebagai cadangan, berikan mereka ganjaran apabila berjaya memenuhi jadual memberus gigi. Contohnya, set aktiviti di rumah Superkids daripada Motherhood.
#4 Ubat Gigi Florida
Florida ialah mineral utama yang menguatkan lapisan enamel gigi anak-anak dan orang dewasa.
Namun begitu, Mama perlu pantau ketika anak-anak menggunakan ubat gigi jenis florida terutamanya yang belum berumur tiga tahun.
#5 Kurangkan Susu Botol
“Tapi saya isi air sirap Mama Siti, kurang gula lagi!”
Selain gula, tabiat menghisap puting botol susu dalam jangka masa yang lama juga menyumbang kepada karies gigi.
Oleh itu, ajarkan anak minum susu dari cawan agar dapat mengurangkan mereka minum melalui botol susu.
Logiknya kematangan fikiran anak-anak masih belum berkembang berbanding ibu bapa. Pada mereka asalkan rasanya sedap, maka itu tidak menjadi masalah.
Sebagai ibu bapa cakna, kitalah yang perlu mendidik mereka tentang karies gigi. Sekiranya Mama masih ragu-ragu, Mama boleh juga rujuk cara penjagaan gigi anak yang dikongsikan mak-mak lain melalui artikel INI.
Mudah-mudahan Mama dan Papa diberikan kemudahan sepanjang proses ini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk ketahui pelbagai info tentang kesihatan si manja, Mama dan Papa boleh klik di SINI!