Rumah adalah sebuah kediaman yang penting untuk setiap manusia. Ianya juga menjadi tempat berkumpul dan berehat bagi seisi keluarga. Mama Siti yakin Mama semua tentunya inginkan sebuah rumah yang cantik dan selesa kan?
Sebagai seorang wanita, memang menjadi lumrah untuk semuanya kelihatan cantik termasuklah kediaman yang sentiasa menjadi idaman ramai wanita di luar sana. Antara salah satu ciri untuk jadikan kediaman kelihatan cantik adalah dengan menggunakan langsir.
Tapi, tahu ke Mama cara beli langsir rumah yang tepat dan sesuai?
Langsir yang cantik dan menarik memainkan peranan yang penting semasa menghias rumah. Langsir seolah-olah pelengkap sesebuah rumah kerana ia akan menaikkan seri rumah dan juga akan melindungi privasi ahli rumah berkenaan.
Jika Mama masih keliru cara yang terbaik untuk membeli langsir rumah yang cantik dan bersesuaian dengan rumah Mama, jom ikuti perkongsian Mama Siti kali ini!
Cara Beli Langsir Rumah dengan Tepat
Berikut merupakan beberapa cara yang Mama boleh gunakan jika hendak membeli langsir rumah iaitu:
#1. Tentukan Tempat Langsir akan Dipasang
Dalam pemilihan untuk membeli langsir, Mama harus tahu di mana langsir hendak dipasang. Antara tempat untuk memasang langsir ialah:
- Langsir pintu bilik
- Langsir bilik tidur
- Langsir kabinet dapur
- Langsir tingkap dapur
- Langsir sliding door
Membuat perancangan sebelum memilih langsir, akan menjadikan pemilihan Mama mudah dan tidak membazir. Sebagai contoh, langsir berdekatan dengan dapur gas tidak sesuai terlalu panjang kerana ia mudah disambar api dan terbakar.
#2. Pilih Cara Pasang Langsir yang Disukai
Terdapat beberapa cara untuk memasang dan menyangkut langsir. Berikut merupakan dua pilihan yang Mama ada iaitu:
- Rel langsir (curtain track)
Sesuai dipasang pada langsir tingkap dan menggunakan hook langsir atau cangkuk. Hook perlu dipasang sebelum menggantung di railing langsir. Jika terdapat bahagian pada roda atau curtain roller langsir rosak boleh tukar ke roda rail yang lain.
- Rod langsir
Rod ini sesuai dengan jenis langsir eyelet tetapi rod ini agak mahal. Kelebihannya mudah dipasang berbanding rel langsir. Namun begitu, jika menggunakan rod jenis kayu, iamudah reput manakala besi pula boleh berkarat.
Bagi pemilihan langsir di bahagian kabinet terdapat dua jenis langsir yang boleh diguna iaitu:
- Dawai langsir (curtain spring)
Dipasang di bawah kabinet dapur yang tiada pintu. Mudah dipasang dan harga lebih murah, tetapi hanya sesuai untuk kain langsir yang ringan atau kecil.
- Velcro tape
Untuk dilekatkan pada kain langsir. Terdiri daripada dua bahagian iaitu hook dan loop tape. Loop ditampal pada bahagian yang ingin dipasang langsir dan hook akan ditampal pada kain langsir. Kelebihannya sangat mudah dipasang tetapi Velcro tape mudah rosak jika penggunaan secara kasar.
#3. Cara Beli Langsir Rumah dengan Menentukan Fungsi Langsir Tersebut
Terdapat beberapa fungsi langsir antaranya ialah, boleh mengurangkan suhu di dalam rumah, menghalang haba dan cahaya masuk ke dalam rumah dan memerangkap habuk serta menghalang binatang dari terus masuk ke dalam rumah. Langsir perlu dibasuh 3 atau 6 bulan sekali.
#4. Pilihan Langsir yang Disukai
Terdapat pelbagai jenis langsir yang sering digunakan oleh pemilik rumah. Fabrik langsir juga pelbagai jenis yang mudah didapati di pasaran. Antara jenis langsir yang boleh dipasang adalah:
- Langsir eyelet
Bahagian atas langsir akan ditebuk dan diletakkan gelung besi untuk dipasang pada rod langsir. Langsir jenis ini mempunyai gelung besi atau metal ring berbentuk bulat yang ditebuk. Dipasang dengan menggunakan rod langsir.
Langsir ini lebih sesuai dengan rumah yang moden dan menjadi trend. Ruangan yang sesuai digunakan ialah bilik tidur, ruang tamu dan di tempat yang kerap dibuka dan tutup langsir.
- Langsir Tab Top (Tab Top Curtains)
Terdapat jenis butang dan ring. Kain langsir akan dibentuk menjadi loop dan digantung. Bahagian atas langsir akan dibentuk menjadi gelung atau loop dan digantung pada rod langsir. Tidak perlu ditebuk dan sesuai dipasang di ruang tamu atau dapur.
- Langsir berlisu (pleated curtain)
Cara lipatan langsir ini adalah berbeza dan terdapat pelbagai jenis ropol atau lipatan (box pleated dan french pleated).
- Curtain valance
Ia merupakan bahagian yang berasingan dengan langsir yang sudah sedia ada dan menjadi hiasan pada bahagian atas. Jenis langsir ini sesuai dipadankan dengan rumah kampung dan jenis kayu.
- Langsir blackout
Ia mempunyai kain yang lebih tebal dan mampu menghalang cahaya dan haba masuk ke dalam rumah. Lebih mempunyai privasi dan sesuai digunakan di dalam bilik tidur, ruang tamu atau bilik teater.
- Langsir Sheer
Nipis dan kurang privasi dan membenarkan cahaya masuk. Digunakan pada waktu siang dan Langsir Blackout pada waktu malam. Langsir ini sesuai dipasang di ruang tamu.
#5. Cara Beli Langsir Rumah dengan Membuat Anggaran Kos Langsir
Sebelum membeli digalakkan untuk menentukan kos yang diperlu mengikut kemampuan. Sebagai contoh, anda boleh membeli langsir yang sudah siap dan boleh dipasang terus atau upah tukang jahit.
Jika langsir yang sudah siap mungkin ukurannya tidak sesuai walaupun boleh terus dipasang dalam masa yang singkat. Di sini, disertakan pilihan kedai yang popular di Malaysia:
- Langsir Ikea
- Langsir Kaison
- Mk Curtain Nilai
- Kedai Langsir Nagoya
- Kain Langsir Jakel
#6. Pilihan Warna Langsir
Setiap orang mempunyai pilihan tersendiri mengikut citarasa masing-masing. Jika Mama ingin ruang yang dipasang langsir itu menyerlah bolehlah menggunakan warna yang lebih terang seperti merah, biru dan hijau gelap.
Warna lembut akan kelihatan ruang itu lebih luas dan tenang. Warna langsir juga dapat mempengaruhi mood seseorang di ruang tersebut.
Untuk dinding berwarna putih sesuai dipadankan dengan langsir yang berwarna lembut seperti warna krim atau biru laut untuk menampak ruang itu lebih luas.
#7. Ukur Saiz Langsir Sebelum Membeli
Menggunakan pita pengukur untuk mengukur labuh dan lebar langsir yang diinginkan. Jika menggunakan rel langsir diukur hujung rel ke hujung rel yang lain.
Jika menggunakan dua rel, diukur jarak antara dua rel tersebut. Jika menggunakan rod langsir, ukur dari hujung tempat langsir akan disangkut ke hujung yang lain.
Boleh bertanya kepada tukang jahit atau yang menyiapkan langsir tersebut.
#8. Padankan Corak Langsir dengan Ruang yang Dipilih
Sebelum membeli langsir mestilah mengetahui corak yang bersesuaian dengan ruang atau bilik tersebut.
Sebagai contoh di dalam bilik kanak-kanak boleh menggunakan corak yang kurang padat kerana mudah untuk mereka melihat dan belajar mengenai corak yang digunakan seperti bunga atau bentuk.
#9. Menambahkan Aksesori Langsir
Aksesori ini akan menyerikan lagi langsir anda. Ia berfungsi sebagai pengikat langsir dan memberi keunikan pada langsir. Antara aksesori yang boleh digunakan ialah, tali langsir, reben, gelung atau cincin dan magnet.
#10. Cara Beli Langsir Rumah dengan Pastikan Rekaannya Berpadanan
Rekaan langsir dipilih hendak bersesuaian dengan ruangan tersebut. Contohnya, jika rumah anda bersaiz sederhana atau kecil, penggunaan langsir yang sarat boleh membantut pemandangan dan kelihatan semak.
Pilihlah langsir yang sesuai dengan keadaan ruang tersebut.
#11. Pemilihan Langsir Perlu Bersesuaian dengan Rekaan dan Hiasan Dalaman Rumah
Bagi kediaman yang mempunyai tingkap yang kecil, langsir yang digantung tidak perlulah menyentuh lantai. Bagi kediaman reka bentuk moden, dan mempunyai tingkap yang besar dan luas, bolehlah memasang langsir hingga menyentuh lantai.
Semoga panduan dan cara yang dikongsikan dapat ini memberi panduan kepada Mama yang sedang membuat pilihan untuk membeli langsir. Kepada semua pemilik rumah semoga dapat membuat pilihan yang terbaik dalam menghias rumah.
Selain tips cara beli langsir rumah di atas, Mama boleh dapatkan pelbagai lagi tips dekorasi menarik yang lain di SINI!