Kedah merupakan negeri di Malaysia yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi yang memukau. Salah satu daya tarikan adalah air terjun di Kedah yang sangat terkenal dengan kecantikannya yang menakjubkan.
Kalau anda pecinta alam semula jadi, boleh datang ke Kedah dan hayati pemandangan yang menakjubkan yang tak ada di tempat lain.
Bagi anda yang menetap di Kedah pula, apa kata setiap hujung minggu ini, anda terokai semua air terjun yang bakal Mama Siti kongsikan ini.
Di bawah ini, Mama Siti senaraikan 15 tempat percutian air terjun terkenal di Kedah yang boleh anda semua kunjungi!
Senarai Destinasi Air Terjun di Kedah
#1. Air Terjun Sungai Sedim
Terletak dalam daerah Kulim, Kedah, air terjun ini adalah antara tempat rekreasi yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan.
Dikelilingi kehijauan alam semulajadi yang cantik menjadikan air terjun Sungai Sedim ini salah satu tarikan utama di Kedah. Air terjunnya yang cantik, jernih dan sejuk sangat menenangkan.
Selain air terjun, terdapat tarikan lain yang menarik iaitu The Tree Top Walk yang akan menyajikan para pengunjung dengan kehijauan alam semulajadi dari pandangan atas.
Alamat: Taman Eko Rimba Sungai Sedim, 09000, Kulim Kedah
#2. Air Terjun Batu Hampar
Terletak di Serdang, kedah, air terjun Batu Hampar ini adalah tempat rekreasi yang masih belum ramai yang tahu berkenaan kewujudannya.
Oleh itu, pengunjung yang datang ke sini pastinya lebih tenang tanpa kehadiran ramai pengunjung lain.
Air terjun ini terletak sedikit ke dalam di bahagian kaki gunung. Sangat sesuai buat anda yang sukakan privasi!
Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah
#3. Air Terjun di Kedah – Hutan Lipur Ulu Paip
Selain Taman Eko Rimba Sungai Sedim, Hutan Lipur Ulu Paip juga menjadi salah satu tarikan utama pengunjung di daerah Kulim. Terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Bungsu, hutan lipur ini mempunyai air terjun yang cantik.
Lakukan aktiviti bersama keluarga dengan ditemani bunyi alam semulajadi yang sangat menenangkan jiwa. Pastinya seronok menghabiskan masa bersama keluarga berkelah dan bermandi-manda di sini bukan?
Alamat: Hutan Lipur Ulu Paip, Jl. Kulim-Mahang, 09700 Karangan, Kedah
#4. Air Terjun Junjong
Di samping itu, terdapat juga Air Terjun Junjong yang terletak dalam daerah Kulim. Terletak 15 km dari Bandar Kulim, air terjun ini terkenal dalam kalangan penduduk tempatan.
Di sini terdapat kawasan kolam yang sesuai dijadikan tempat mandi kanak-kanak. Jika inginkan lebih kepuasan anda perlu berjalan sedikit ke dalam untuk mandi di kawasan air terjun yang lebih besar.
Alamat: Air Terjun Junjong, Kulim, Kedah
#5. Air Terjun di Kedah – Rimba Rekreasi Bukit Perak
Terletak di daerah Pendang, Rimba Rekreasi Bukit Perak ini adalah salah satu tempat yang menjadi pilihan pengunjung terutamanya pada hujung minggu.
Apa yang menariknya di sini adalah air terjunnya yang mempunyai 3 peringkat.
Dengan kejernihan airnya dengan panorama keindahan alam semulajadi yang masih terjaga, pastinya akan menjadikan kunjungan anda sekeluarga di sini sangat menyeronokkan.
Alamat: Gunung Perak, 06700 Pendang, Kedah
#6. Air Terjun Puncak Janing
Terletak dalam daerah Kuala Nerang, Kedah, air terjun ini berada di Hutan Simpan Gunung Jerai. Yang menariknya, air terjun di sini mempunyai 4 peringkat.
Pengunjung yang datang ke sini akan dapat menyaksikan pelbagai tumbuh-tumbuhan antaranya ialah kasai, tulang daging, palma dan meranti tembaga. Pelbagai aktiviti anda boleh lakukan bersama keluarga ketika kunjungan anda ke sini.
Alamat: Air Terjun Puncak Janing, 06300 Kuala Nerang, Kedah
#7. Air Terjun Titi Hayun
Air terjun Titi Hayun atau juga dikenali sebagai Jambatan Gantung ini terletak di daerah Yan. Merupakan satu daripada tiga buah air terjun yang mengalir terus dari Gunung Jerai.
Bukan sahaja terdapat air terjun yang cantik tetapi juga terdapat tempat penginapan dan tapak perkhemahan untuk kemudahan pengunjung yang datang.
Alamat: Air Terjun Titi Hayun, Kampung Perigi, 06900 Yan, Kedah
#8. Air Terjun Lata Mengkuang
Terletak di Hutan Lipur Rimba Teloi, air terjun Lata Mengkuang ini akan menyajikan anda dengan pemandangan air terjun yang cantik dan jernih. Disebabkan terletak agak ke dalam membuatkan ianya jauh dari sebarang pencemaran. Satu tempat paling ideal untuk berada jauh dari kesibukan di bandar.
Alamat: Lata Mengkuang, 09100 Sik, Kedah
#9. Air Terjun Seri Perigi
Terletak di Hutan Simpan Gunung Jerai, air terjun Seri Perigi ini mempunyai ketinggian 100 meter. Air terjun ini sangat sesuai sekiranya dijadikan tempat untuk mengambil gambar kerana kecantikan air terjunnya.
Selain itu, pengunjung yang datang juga akan dapat menikmati pemandangan yang menarik seperti sawah padi dan perkampungan Melayu.
Alamat: Air Terjun Seri Perigi, Hutan Simpan Gunung Jerai
#10. Air Terjun di Kedah – Hutan Lipur Lata Bayu
Terletak dalam daerah Baling, Hutan Lipur Lata Bayu ini berada 30 km dari pekan Baling. Air terjun ini berada dalam Hutan Simpan Rimba Teloi. Hutan rimba ini juga dikenali sebagai Lata Asam Jawa dalam kalangan penduduk tempatan. Pengunjung yang berkunjung ke sini pastinya akan terpesona dengan keindahan alam semulajadi dan air terjun yang cantik serta jernih.
Alamat: Hutan Lipur Lata Bayu, Kampung Asam Jawa, 09100, Baling Kedah.
#11. Air Terjun Puteri Mandi
Terletak di daerah Yan, air terjun puteri mandi sering dijadikan tempat untuk penduduk sekitar duduk bersantai sambil mandi-manda dan menghayati keindahan alam semula jadi.
Bukan sahaja penduduk setempat, tempat best di Kedah ini juga sering dikunjungi oleh pengunjung luar yang gemar datang ke sini kerana tertarik dengan keindahan alam semulajadi beserta kejernihan air terjunnya.
Lebih menarik, air terjun ini terletak di kaki Gunung Jerai, menyajikan panorama gunung yang memukau.
Alamat: Air Terjun Puteri Mandi, 08300, Yan Kedah
#12. Air Terjun Sungai Kecil Bukit Perangin
Air terjun Sungai Kecil Bukit Perangin ini terletak di daerah Changlun. Air terjun ini berada di dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin.
Bagi pencinta sukan lasak atau ekstrim pastinya anda tidak akan menyesal sekiranya berkunjung ke sini. Ini kerana, untuk sampai ke sini anda perlu meredah pelbagai cabaran sukar seperti anak sungai, hutan dan batu-batu besar sebelum anda sampai ke sini.
Namun, anda masih boleh memilih untuk menaiki pacuan empat roda atau berbasikal lasak untuk ke sini. Bagi yang sukakan cabaran inilah tempatnya.
Alamat: Air Terjun Sungai Kecil Bukit Perangin, Changlun Kedah
#13. Air Terjun Telaga Tujuh
Air terjun Telaga Tujuh yang terletak di Langkawi ini merupakan air terjun yang berasal dari tujuh mata air. Ianya terletak di tebing Gunung Mat Chincang.
Tempat menarik di Langkawi, Kedah ini dikelilingi oleh alam semulajadi yang menghijau, pastinya anda tidak menyesal jika anda datang ke sini untuk bercuti dan beriadah bersama keluarga.
Alamat: Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, Kedah
#14. Air Terjun di Kedah – Hutan Lipur Temurun
Terletak 42km dari Bandar Kuah, Langkawi, air terjun Hutan Lipur Temurun ini pastinya akan memukau setiap pengunjung yang hadir ke sini. Ia juga merupakan destinasi popular Kedah yang sering dikunjungi oleh pelancong asing. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman best di sini!
Alamat: Air Terjun Hutan Lipur Temurun, Jalan Teluk Yu, Kampung Kok, 09700, Langkawi , Kedah
#15. Air Terjun di Kedah – Durian Perangin Waterfall
Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu berjalan lebih kurang 20 minit, namun perjalanan yang perlu ditempuh tidaklah sukar. Di sini terdapat aktiviti ATV yang akan membawa anda menerokai sawah, hutan, air terjun dan lain-lain lagi.
Jika ke Langkawi jangan lepaskan peluang anda untuk ke sini ya!
Alamat: Air Terjun Durian Perangin, 07000, Langkawi, Kedah
Dapatkan panduan dan tempat best di negeri lain di SINI!