Kita mengaji bukan nak tunjuk baik, tapi kita memang nak jadi baik. Baca al-Quran boleh jadi mencabar apabila kita perlu menguruskan banyak hal.
Jika dimulakan sedikit demi sedikit, insya Allah akan dijadikan amalan sehari-hari. Berikut ialah 15 kelebihan membaca al-Quran semasa di dunia dan di akhirat.
15 Kelebihan Membaca Al Quran
#1 Mendapat Pahala
Tidak lain dan tidak bukan, salah satu janji Allah kepada orang yang membaca al-Quran ialah mendapat pahala.
Pahala-pahala itu nanti menjadi hal-hal baik yang berlaku semasa hidup dan memberatkan timbangan semasa sudah meninggal dunia.
#2 Diangkat Darjatnya
“Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadalah : 11)
Maksud darjat disini ialah Allah membuatkan mereka disenangi oleh orang sekeliling. Mereka disayangi, dihormati dan dihargai ramai orang.
#3 Dilindungi Malaikat
Malaikat memberikan perlindungan dari segala kejahatan yang kelihatan atau yang tersembunyi kepada orang yang melazimi bacaan al-Quran.
#4 Mendapat Syafaat
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surat Al-A’raaf : 204)
Contohnya surah al-Mulk. Surah itu memberi bantuan saat kita di dalam kubur. Ketika tiada satu pun yang dapat menolong, al-Quran hadir memberi perlindungan.
#5 Perbaiki Diri
Dalam al-Quran itu ada peringatan. Syaratnya ialah kita mesti memahami apa yang dibaca. Oleh itu, setiap kali selesai membaca satu muka surah naskah al-Quran, teruskan pula dengan membaca terjemahan dan seterusnya mentadabbur.
#6 Menenangkan Hati
Kalam-kalam Allah itu terdapatnya mukjizat. Apabila kita membacanya, ia akan memberikan ketenangan fikiran dari segala macam kekusutan perihal dunia.
Ia juga dapat meningkatkan rasa cinta kepada tuhan yang maha esa, Allah SWT.
#7 Keselamatan Dunia & Akhirat
Orang yang membaca al-Quran mendapat perlindungan Allah semasa di dunia hinggalah ke hari akhirat.
Contoh-contoh keselamatan ialah terhindar dari kemalangan, terhindar dari buatan orang dan melindungi diri dari hawa nafsu yang buruk.
#8 Sebagai Terapi
Daripada portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, disimpulkan bahawa umat Islam dibolehkan untuk berterapi dengan al-Quran.
Walhal dalam surah al-Ra’du, 28 juga ada merakamkan;
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّـهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya: ” Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
#9 Penyembuh Penyakit Hati
‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’. Satu peribahasa yang cocok dipadankan dengan penyakit hati.
Semoga dengan bacaan al-Quran mampu menepis perasaan dengki, iri hati, mengadu domba (memfitnah) dan mengaibkan diri ini.
#10 Diberikan Nikmat Kepada Ibu Bapa
Ibu bapa juga bakal diberikan kelebihan ketika anaknya membaca al-Quran. Ternyata al-Quran ialah saham bagi ibu bapa melalui anak-anaknya.
Sebab itulah, sebagai ibu bapa kita perlu sedaya upaya memberikan didikan agama yang sempurna kepada mereka.
#11 Ganjaran Membaca dan Mendengar
Kalau yang mendengar pun mendapat rahmat Allah SWT, inikan lagi orang-orang yang membacanya.
Surah al-A’raf; ayat 204, dengan jelas menyatakan orang yang mendengar bacaan al-Quran akan beroleh rahmatNya.
#12 Tingkatkan Iman
Kelebihan membaca al-Quran sampai terus kepada pembacanya. Dalam pada itu, amalan membaca kitab suci umat Islam itu juga dapat meningkatkan keimanan seseorang.
Ianya ada dirakam di dalam surah an-Anfal, ayat 2.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
#13 Prinsip Kehidupan
Apalah ertinya hidup jika tidak berpegang pada panduan yang kukuh. Al-Quran berfungsi sebagai peringatan kepada manusia agar sentiasa menjadi hamba Allah SWT dan tidak melampaui batas.
Kerana itulah, wujudnya tadabbur supaya kita faham apa yang disampaikan dalam setiap baris ayat al-Quran.
#14 Mudah Mendidik Anak
Anak cenderung meniru perbuatan ibu bapanya. Apabila kita selalu membaca al-Quran di rumah, anak-anak akan terbiasa dengan bacaannya dan sekaligus memudahkan mereka mempelajari huruf-huruf hijaiyah.
#15 Mudah Menghafal
Dengan melazimi bacaan dari surah-surah dalam al-Quran, lama-kelamaan kita akan menghafal keseluruhan surah tanpa disedari.
Lagi pula, kita boleh memperbanyakkan pilihan doa semasa solat dengan hafalan surah-surah itu. Solat akan terasa lebih indah dengan kepelbagaian bacaan surah.
Sesibuk apa pun urusan kita, luangkan waktu khusus untuk membaca al-Quran. Banyak kelebihan yang diperolehi orang yang membacanya.
Mudah-mudahan membaca al-Quran menjadi kebiasaan kita semua.
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.