Cuti-cuti ni, apa aktiviti yang boleh dilakukan ye? Takkan nak bagi anak-anak hadap TV dan handpohone semata-mata? Oo it’s a big NO!
Selain mendedahkan anak-anak dengan aktiviti berbeza, ia juga dapat merangsang mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis.
Masih tercari-cari aktiviti bersesuaian? Cuba ketengahkan kepada anak-anak budaya asli tradisional. Ada yang boleh untuk dicuba dan ada juga untuk tontonan di tempat-tempat yang sesuai semata-mata.
Pasti anak-anak akan terpegun melihat kehidupan masyarakat zaman dahulu yang tiada gajet, televisyen dan sebagainya, tapi mampu mencipta kreativiti dengan pelbagai permainan dihasilkan.
Bukan itu sahaja, minda si kecil ini juga boleh berkembang kerana Mama Siti pasti mereka tidak hanya melihat dengan pandangan kosong, namun anak-anak akan ikut berfikir.
Jom lihat keunikan aktiviti tradisional yang sesuai untuk diperkenalkan kepada anak-anak!
1. Congkak
Permainan ini tidak asing dikalangan kita kerana Mama Siti percaya ramai antara Mama dan Papa berpengalaman dengan permainan congkak bukan?
Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), congkak adalah salah satu permainan tradisional yang berkembang mengikut peredaran zaman, dipercayai dibawa ke kepulauan Melayu melalui India. Congkak terkenal di Kedah, Kelantan dan Johor.
Nama congkak diberikan oleh kerana mula-mula dimainkan menggunakan kulit kerang atau turut dipanggil sebagai “congkak”.
Peralatan utama ialah papan congkak dan buah congkak. Ia dimainkan oleh dua orang secara pusingan dan jumlah pusingan bergantung kepada ketetapan yang dibuat antara kedua-dua pemain.
Matlamat permainan congkak ialah menamatkan permainan terlebih dahulu daripada lawan dan menghalang lawan daripada terus meneruskan permainan.
Bagi Mama Siti, mungkin sesuai jika kediaman kita selepas ini mempunyai sebuah papan congkak. Selain berperanan sebagai hiasan tradisional, kewujudan alat mainan ini juga boleh dijadikan aktiviti untuk anda sekeluarga.
Apa kata ajar anak-anak bermain dan cipta pertandingan, tengok siapa yang paling banyak berjaya kumpul guli!
2. Wau
Wau adalah permainan tradisi pada zaman dahulu yang tidak ramai generasi sekarang tahu. Wau merupakan khazanah masyarakat Melayu yang tinggi nilainya dan merupakan seni budaya turun-temurun.
Permainan ini selalunya bertujuan untuk mengisi masa lapang, menyambut perayaan tertentu yang semestinya memberikan kegembiraan.
Berdasarkan Laman Perbadanan Perpustakaan Kedah, asal-usul permainan wau tidak begitu diketahui walaupun dalam beberapa buku Sejarah Melayu sudah menceritakan tentang permainan ini.
Namun begitu, ramai orang berpendapat bahawa permainan ini bermula pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Pendapat ini berdasarkan kepada buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang mana ada menceritakan tentang permainan wau.
Permainan wau merupakan salah satu daripada hobi penduduk-penduduk di kawasan pendalaman terutama bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis dan Kelantan. Permainan wau telah menjadi satu permainan tradisi selepas musim menuai.
Mereka bermain wau untuk menghilangkan rasa penat setelah bekerja di sawah. Mereka juga berasa gembira ketika bermain dan bertemu di antara satu sama lain sehingga ada di setengah-setengah tempat dan daerah mereka akan mengadakan satu pesta tahunan dan pertandingan wau yang tercantik di antara daerah-daerah.
Jom jadikan Wau sebagai aktiviti untuk anak-anak hasilkan. Jika Mama dan Papa rasa sukar untuk buat Wau sebenar, boleh ajak mereka guna kertas dan buat secara simple menggunakan lidi.
Meskipun Wau itu tak boleh terbang, tapi Mama Siti percaya aktiviti ini memberi manfaat untuk anda sekeluarga. Selain itu, jangan lepaskan peluanag kalau ada Pesta Wau berdekatan.
Confirm seronok kalau Mama dan Papa bawa anak-anak sertai dan rasai pengalaman sebenar.
3. Wayang Kulit
Wayang Kulit adalah satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri dari pelbagai watak methologi dan khayalan dilarikan oleh seorang Dalang.
Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab).
Sumber daripada Wikipedia menyatakan pelbagai bentuk dan jenis wayang kulit boleh didapati di Asia dan lebih-Iebih lagi di Tenggara Asia.
Setiap jenis mempunyai bentuk dan wataknya yang tersendiri dan agak berbeza dari satu kawasan atau latar belakang masyarakat kepada yang lain.
Hari ini di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat empat jenis wayang kulit dan setiap satu mencerminkan pengaruh- pengaruh masyarakat dan juga kebudayaan yang telah mempengaruhi masyarakat itu.
Terdapat empat jenis wayang kulit di Semenjung Malaysia iaitu Wayang Kelantan, Wayang Melayu, Wayang Purwo, Wayang Gedek. Kesemuanya ini dipersembahkan dengan dialek berbeza.
Mama dan Papa, ayuh kenalkan kepada anak-anak mengenai tayangan wayang kulit sebenar! Cuba search di internet jika ada persembahan wayang kulit di kawasan yang bersesuaian.
Sekiranya ya, jangan lepaskan peluang untuk bawa anak-anak dekati hiburan tradisional ini!
4. Canting Batik
Ini paling menarik jika anak-anak gemar aktiviti yang kreatif dan berunsur seni. Weekend nanti boleh ajak anak-anak pergi ke galeri yang menyediakan tempat untuk canting batik.
Banyak sebenarnya galeri atau bengkel mempunyai service seperti ini, Mama dan Papa hanya search sahaja dan bolehlah minta anak tunjukkan bakat seni mereka. Silap-silap, anak-anak pun tak puas dan ajak repeat!
Jom ketahui serba sedikit sejarah batik yang menjadi salah satu keunikan tradisional di Malaysia.
Batik Malaysia dikenali sebagai salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Ia adalah teknik percetakan yang dikenali sebagai ‘mencanting’ batik. Dilakukan dengan menerap lilin cair dan mencelupnya dengan warna.
Mengikut sejarah, batik mula diperkenalkan di Kelantan sejak tahun 1910. Malah ianya lebih awal daripada itu. Kira-kira pada tahun 1770-an, sejenis batik yang dikenali sebagai Batik Pelangi telah diperkenalkan.
Sehingga kini, perusahaan pakaian batik Malaysia banyak bertumpu di negeri-negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu.
Batik kini bukan sahaja dipakai oleh masyarakat kita, namun kebiasaannya turut dijadikan sebagai cenderahati oleh pelancong luar. Menarikkan nilai batik itu di mata dunia?
5. Batu Seremban
Ini mesti permainan biasa bagi Mama kan? Batu Seremban boleh dianggap legend bagi kaum wanita dahulu dan Mama Siti percaya mesti ramai dikalangan Mama berpengalaman dengan permainan tradisional ini.
Apa kata Mama dan Papa isi masa lapang anak-anak dengan menjadikan permainan ini sebagai aktiviti keluarga!
Menurut laman web JKKN, Batu Seremban terkenal di Kedah, Selangor, Kelantan dan Johor. Ia juga dikenali sebagai permainan Batu Selambut atau Serembat yang dimainkan secara individu dalam kumpulan.
Lima biji objek yang dikenali sebagai ‘buah’ diperlukan.
Cara buah dilambung adalah berbeza pada setiap peringkat permainan. Bermula pada peringkat pertama menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai ‘buah satu’ hinggalah kepada peringkat yang lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan sebagai ‘buah tujuh’ ataupun ‘raja’.
Seterusnya melakukan ‘menimang buah’ untuk mendapatkan mata. ‘Mati permainan’ bermaksud seseorang pemain terpaksa memberhentikan permainan dan giliran bermain diberikan kepada pemain berikutnya.
Nilai Aktiviti Tradisional Pada Generasi Kini
Terdapat banyak kelebihan apabila kita menjadikan aktiviti tradisional ini sebagai perkara masa kosong bersama keluarga. Antaranya:
- Mengeratkan bonding kekeluargaan
- Mengangkat martabat seni tradisional pada generasi kini
- Membina kreativiti anak-anak
- Mendedahkan kepada anak-anak cara budaya masyarakat dahulu
- Mengurangkan tahap kebergantungan gajet dan seumpamanya kepada anak-anak
Dalam pada Mama memperkenalkan aktiviti-aktiviti tradisional ini kepada anak-anak, Mama juga boleh mengimbau kembali zaman kanak-kanak kita dahulu.
Selamat bergembira!
Dapatkan panduan aktiviti untuk keluarga yang lain di SINI.