Hari ulang tahun perkahwinan merupakan satu hari yang sangat bermakna bagi pasangan suami isteri.
Bagi kebanyakan pasangan, hari ulang tahun perkahwinan ini dijadikan sebagai hari untuk mengenang kembali segala kenangan pahit manis sepanjang bergelar suami isteri.
Setiap pasangan pastinya inginkan bahtera yang dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat mereka. Oleh itu, doa dan harapan di hari ulang tahun pernikahan perlulah selalu dipanjatkan supaya rumah tangga yang dibina menjadi sebuah keluarga yang bahagia dan dirahmati.
Sempena meraikan ulang tahun pernikahan Mama dan Papa, terdapat beberapa doa dan harapan yang boleh dipanjatkan yang telah Mama Siti kongsikan dalam artikel kali ini.
Doa dan Harapan di Hari Ulang Tahun Pernikahan
Antara doa dan harapan tersebut adalah seperti berikut:
#1. Doa Supaya Dikurniakan Pasangan dan Zuriat yang Menjadi Penyejuk Hati
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan sebuah keluarga yang harmonis dengan ahli keluarga sangat menyenangkan. Oleh itu, Mama dan Papa boleh memanjatkan doa ini kepada Allah agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang sentiasa menjadi penyejuk hati. Antara doa yang boleh diamalkan adalah seperti di bawah:
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”.
(Surah Al-Furqan:74)
#2. Doa dan Harapan di Hari Ulang Tahun Pernikahan dengan Memohon Kebahagiaan Dunia dan Akhirat
Doa dan harapan seterusnya adalah doa memohon kebahagian keluarga di dunia juga di akhirat.
Pastinya mereka yang bergelar suami isteri yang mendirikan masjid pastinya inginkan kebahagian berkeluarga samada di dunia mahupun di akhirat kelak.
Oleh itu, buat Papa dan Mama jangan lupa untuk selitkan doa ini dalam doa harian ya!
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka”
(Surah Al-Baqarah:201)
#3. Doa Dikurniakan Kebaikan dan Dijauhkan Dari Kejahatan
Selain itu, antara doa lain yang boleh dipanjatkan adalah dia memohon dikurniakan kebaikan dan dijauhkan dari kejahatan.
Sesiapa pun yang hidup berkeluarga pastinya inginkan keluarga yang dibina diberikan kebaikan dan dijauhkan dari sebarang kejahatan. Oleh itu, doa ini sangat baik untuk dipanjatkan kepada Allah sebagai doa ulang tahun pernikahan.
اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ
Maksudnya:
“Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Hujurat:7)
#4. Doa Memohon Dikurniakan Cinta dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah pokok utama yang mendasari sebuah keluarga.
Ramai pasangan pada zaman sekarang yang mendirikan rumah tangga berdasarkan rasa cinta dan kasih mereka terhadapa pasangan mereka. Oleh itu, panjatkan doa ini agar sentiasa dikurniakan rasa cinta dan kasih terhadap pasangan.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ
Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu amalan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. ”
(Hadis Hasan, Riwayat Tirmidzi)
#5. Doa dan Harapan di Hari Ulang Tahun Pernikahan dengan Memohon Cahaya Mata yang Baik
Sesungguhnya, penyeri sebuah perhubungan suami isteri adalah zuriat. Oleh itu, bagi pasangan yang masih atau sedang menunggu kehadiran zuriat dalam keluarga tidak salah rasanya menjadikan doa ini salah satu doa dan harapan di hari ulang tahun pernikahan.
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Maksudnya:
“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”.
(Surah Al-Imran: 38)
#6. Doa Memohon Diberi Kecukupan Dalam Keluarga
Ramai pasangan suami isteri pastinya pernah diuji dengan masalah kewangan bukan? Oleh itu doa berikut boleh dijadikan amalan atau doa di hari ulang tahun pernikahan.
Semoga dengan doa ini Allah bantu setiap pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan dibuka jalan oleh Allah.
حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
Maksudnya:
“Cukupkanlah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang agung.”
(Surah At-Taubah:129)
Mama dan Papa boleh juga amalkan semua tips di bawah untuk pastikan hubungan kekeluargaan yang terbina sentiasa kekal bahagia dan dalam lindungan dan rahmat Allah S.W.T.
Tips Supaya Keluarga Sentiasa Bahagia
Selain dari doa, suami isteri juga perlu berusaha untuk menjadikan rumah tangga yang dibina terus berdiri kukuh. Antara tips yang boleh dilakukan untuk memastikan keluarga yang dibina terus bahagia adalah seperti berikut.
- Saling hormat menghormati
- Lakukan segala aktiviti bersama keluarga
- Menjaga solat dan solat bersama.
- Menjadikan al-quran sebagai panduan dan ceramah agama untuk tingkatkan ilmu bersama.
- Bertolak ansur.
- Saling berkomunikasi sekiranya terdapat sebarang masalah.
- Cipta memori bersama.
- Raikan setiap momen walaupun momen yang kecil.
- Kurangkan penggunaan gajet semasa bersama keluarga.
- Sentiasa bersama pasangan tidak kira susah dan senang.
Kebahagiaan itu tidak datang sendiri. Semuanya harus bermula dan berakhir dengan usaha yang tidak pernah putus.
Doa dan harapan ini tidak hanya pada hari ulang tahun sahaja tetapi sebaiknya diamalkan setiap hari agar menjadi ingatan kepada diri dan pasangan tentang harapan kita terhadap keluarga tersayang. Selamat beramal!
Selain perkongsian di atas, Mama dan Papa boleh dapatkan tips serta nasihat berguna dan bermanfaat yang lain di SINI!