Makan siput sedap memang sedap tapi kalau suruh masak, masing-masing lebih rela makan di kedai. Salah satunya ialah sebab proses membersihkan lumpur dan lendirnya yang renyah.
Ada tiga cara bersihkan siput sedut yang mudah dan berkesan khas untuk Mama semua. Mama boleh pilih sama ada nak guna cara hampas, daun pisang atau garam.
101 Siput Sedut Yang Mama Kena Tahu
Kawasan hutan paya bakau ialah habitat siput sedut terutamanya di pantai barat Malaysia, di Sabak Bernam dan dan pantai selatan Malaysia iaitu di daerah Muar, Johor.
Siput sedut atau siput belitung selalunya berwarna coklat berbelang kuning atau berjalur-jalur hitam. Variasi warna cengkerangnya bergantung pada kualiti air dan lumpur paya tersebut.
Makanan laut ini tergolong dalam kategori moluska yang yang sering menjadi santapan di Malaysia. Namun begitu, ada cara khusus untuk membersihkan lumpur dan memotongnya.
Cara Bersihkan Siput Sedut
#1 Gaul Dengan Hampas Kelapa
Ada yang berpendapat bahawa ini ialah cara paling senang dan selamat membersihkan siput sedut.
Cara ini sesuai untuk Mama yang tinggal di kampung atau berhampiran kedai runcit yang menjual kelapa parut.
Langkah-langkah membersihkan siput sedut dengan hampas kelapa adalah seperti;
- Siput sedut yang baru dibeli hendaklah dibersihkan dan dibilas dengan air bersih.
- Kemudian, masukkan ke dalam bekas dan isikan sedikit air.
- Tabur hampas kelapa dan gaulkan sehingga ianya menyelaputi keseluruhan siput sedut.
- Biarkan sekurang-kurangnya dua jam supaya siput sedut dapat mengeluarkan lendirnya.
Nota: Tempoh ideal yang disarankan ialah semalaman. Tempoh terlalu lama berisiko untuk siput mati.
- Seterusnya, Mama boleh teruskan proses pembersihan dengan memotong hujung cengkerang siput sebelum dimasak.
#2 Batang Daun Pisang
Cara bersihkan siput sedut yang seterusnya menjimatkan masa Mama dan Papa di dapur kerana kaedah ini cepat bersih. Tambahan pula, ia mengelakkan jari daripada terluka.
- Tuangkan semua siput sedut ke dalam sinki atau bekas dan isikan air.
- Selepas itu, ramas batang daun pisang bersama-sama dengan siput sedut. Kotoran dan lumpur yang ada pada siput sedut akan tertanggal.
- Selepas dipastikan siput sedut sudah bersih, cuci dengan air bersih dan boleh mula memotong cengkerang.
#3 Gaul Dengan Garam
Bagi cara bersihkan siput sedut yang seterusnya, Mama boleh memotong hujung cengkerang siput sedut sebelum atau selepas menghilangkan lumpurnya.
Bagi Mama Siti cara ini yang paling praktikal sebab dah sah-sah garam ada dekat rumah. Berbanding dengan hampas kelapa dan batang daun pisang.
Lagi-lagi buat mereka yang tingga di bandar, agak sukar mendapatkan hampas kelapa dan batang daun pisang.
Mama Siti berikan contoh jika Mama ingin bersihkan siput sedut selepas memotong hujungnya.
- Potong bahagian hujung siput sedut menggunakan belakang parang, kacip pangkas atau pelayar.
- Buang hujungnya satu per satu dengan berhati-hati sehingga selesai.
- Seterusnya, masukkan siput sedut ke dalam bekas atau periuk dan taburkan segenggam garam.
- Tambahkan air dan gaul agar semua lendir dan kotoran siput sedut dapat dikeluarkan.
- Jika sudah dipastikan bersih, Mama cuci dengan air paip dan boleh mula buat persediaan memasak.
Terdapat tiga cara mudah dan berkesan untuk membersihkan lumpur dan lendir siput yang boleh diaplikasikan. Mama boleh memilih sama ada ingin menggunakan hampas kelapa, batang daun pisang atau garam.
Semoga membantu urusan Mama di dapur.
Ketahui pelbagai tips dan panduan pemakanan terbaik DI SINI.