Penyampaian maklumat yang betul, memberi motivasi dan mempraktikkan hidangan sahur dan berbuka yang berkhasiat adalah lebih baik daripada memberi ganjaran wang kepada anak-anak yang baru belajar berpuasa. Pemahaman ibadat puasa di kalangan anak-anak bermula dengan inisiatif ibu bapa masing-masing. Antara lain, mereka perlu didedahkan dengan cerita yang berkaitan tuntutan agama dan kelebihan amalan itu sendiri sejak mereka mencecah usia tujuh tahun. Langkah seterusnya adalah motivasi.
AJAK BERSAHUR
Sememangnya, mengejutkan anak-anak supaya bangkit daripada tidur pada awal pagi bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi hendak menyuruh mereka makan pada waktu tersebut. Walau apa pun caranya untuk membuatkan mereka bergerak dari atas katil ke meja makan, perkara paling utama adalah penyediaan diet yang seimbang. Sama seperti apa yang kita inginkan pada waktu berbuka puasa, hidangan sahur juga perlu disertai karbohidrat kompleks dan pilihan protein seperti daging, ayam, ikan atau telur.
- Jika nasi tidak mengundang selera anak-anak untuk bersahur, mungkin ibu bapa boleh menggantikannya dengan spageti atau pasta. Itu juga sumber karbohidrat kompleks yang boleh memberi tenaga sepanjang jam-jam berpuasa. Juga boleh mengesyorkan anak-anak meminum susu atau yogurt.
- Sepanjang waktu antara berbuka dengan sahur, kanak-kanak perlu meminum sekurang-kurangnya enam gelas air. Ini dapat mengelakkan berlakunya masalah nyahhidrat atau pening kepala yang seterusnya memungkinkan puasa mereka terhenti separuh hari.
- Pemberian makanan tambahan seperti multivitamin adalah dibolehkan, tetapi jangan sampai pengambilannya menggantikan makanan harian anak-anak tersebut.
- Ibu bapa mempelbagaikan jenis hidangan makanan supaya anak-anak lebih bersemangat untuk menjamunya.
- Bagaimanapun, makanan yang tinggi kandungan garam seperti telur masin, ikan masin dan beberapa produk dalam tin dinasihatkan agar diambil secara sederhana memandangkan ia boleh membuatkan anak-anak cepat berasa haus.
Tip Makanan Untuk Menggalakkan Si Kecil Sahur Dengan Berselera :
- Sediakan masakan panas semasa sahur. Makanan panas boleh menambahkan selera makan anak-anak.
- Masak juadah kegemaran anak-anak. Jika boleh, tanya dahulu makanan yang ingin dimakan ketika bersahur.
- Pelbagaikan jenis menu. Menu yang sama setiap hari akan membuat anak-anak cepat jemu.
- Sediakan masakan berkuah seperti sup ayam, sup ikan / sup sayur yang lebih mudah dimakan dan mengenyangkan.
- Elakkan masakan yang terlalu pedas dan berempah yang boleh menyebabkan ketidakselesaan perut semasa berpuasa.
BERBUKA DENGAN SAJIAN YANG SIHAT
Apabila tiba waktu berbuka, terdapat tanggapan tentang keperluan pengambilan makanan yang manis-manis belaka. Walaupun masyarakat kita mengaitkan gula sebagai pembekal tenaga segera, bukan bermakna ia perlu diambil secara keterlaluan. Cukuplah dengan kurma dan jus buah. Terpulang kepada ibu bapa dan anak-anak itu sendiri sama ada hendak menyambung makan malam selepas sembahyang Maghrib, Isyak dan tarawih.