Seperti kebanyakan ibu, anda percaya kalau anak cepat berjalan lazimnya lambat bercakap. Tetapi kalau mereka cepat bercakap biasanya lambat berjalan. Tambahan anak anda tidak menunjukkan kekurangan dari segi fizikal dan kecerdasan. Kini anak anda sudah beralih ke darjah dua. Guru yang mengajarnya sering melemparkan komen anak anda suka bermain, gemar mengusik rakan, tidak memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak boleh duduk diam. Sesetengah cikgu pula melabelnya sebgai bodoh dan nakal. Benarkah anak anda begitu, sebelum mengiakannya, lihat kembali buku-buku sekolahnya. Adakah dia masih lagi menghadapi masalah ejaan? Masih keliru dengan huruf dan angka? Bacaannya tunggang-langgang? Tidak tahu menyebut perkataan-perkataan yang panjang?
DISLEKSIA
Menurut pakar neurologi daripada Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Sofiah Ali anak anda kemungkinan menghadapi masalah kesukaran pembelajaran spesifik atau disleksia. Disleksia adalah salah satu daripada empat jenis kesukaran pembelajaran yang telah dikenalpasti. Selain daripada Dysgraphia, dyscalculia dan attention deficit. Disleksia bukanlah satu kecacatan. Ia juga tiada kaitan dengan tahap kecerdikan atau IQ seseorang.
Berdasarkan kajian American National Institutes of Health, satu dalam tujuh orang di Amerika menghadapi kesukaran pembelajaran. Bagaimanapun tiada data yang berkaitan di Malaysia. Namun pakar kanak-kanak tempatan sependapat adanya peningkatan, bagaimanapun tidak dapat dipastikan. Tetapi kajian terbaru menganggarkan antara 10 -15 peratus penduduk menghadapi masalah kesukaran pembelajaran yang serius.
JENIS DISLEKSIA
Manusia mempunyai deria penglihatan, pendengaran, bau dan rasa, Apa yang kita lihat, dengar, bau dan rasa akan diproses untuk kita menerima maklumat selanjutnya. Bagi penghidap disleksia mereka mempunyai masalah dalam memperoses maklumat yang diterima. Tidak benar pendapat terdahulu yang mengatakan mereka menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran.
Tiada dua pengidap disleksia yang sama. Setiap seorang menghadapi peringkat yang berbeza dan tahap yang berlainan. Ada yang ringan, sederhana dan serius. Sesetengah menghadapi masalah sukar mengenal sesuatu objek, yang lain mungkin tentang bunyi atau tidak dapat mengaitkan huruf dengan sebutan apabila beberapa abjad dicantumkan. Pelajar disleksia tiada cacat celanya dari segi fizikal dan tahap kecerdasan. Mereka boleh berbual dan berbincang seperti pelajar lain. Justeru guru sering kali melabel mereka pelajar lembap, malas, bodoh, dungu dan nakal.
- Ramai tokoh tempatan dan dunia yang menghadapi masalah ini, termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan. Mengenalpasti masalah disleksia di peringkat awal amat penting agar pendekatan dalam strategi belajar dapat diubahsuai.
- Biasanya pelajar disleksia yang berjaya adalah mereka yang berjaya menyesuaikan diri dengan ‘tuntutan pembelajaran normal’. Bagaimanapun bukan semua boleh menyesuaikan diri, ramai yang kecundang.
- Pada tahun 1987 penyelidik Hillgreen menemui disleksia ada hubungkait dengan gen, iaitu pada kromosom 1 dan 15. Manakala kajian Candoz 1994 pula mendapati ia juga ada sangkut-paut dengan kromosom 6 yang menyentuh hal fonetik (bunyi bahasa).
- Kajian juga menemui perbezaan saiz dan bentuk pada bahagian otak kanak-kanak disleksia berbanding dengan otak kanak-kanak biasa.
Pada peringkat awal pertumbuhan kanak-kanak, mereka banyak menggunakan otak kanan (bahagian kreatif). Kemudian perlahan-lahan cenderung kepada otak kiri (bahagian logik). Teori Hillgreen mengatakan peranan ini tidak berubah. Bagaimanapun dakwaan yang mengatakan pendedahan kepada bahan toksik, seperti plumbum menyebabkan kanak-kanak hiperaktif dan bermasalah dalam pembelajaran masih belum terbukti. Begitu juga pendedahan prenatal. Penyelidik masih lagi mengkaji kesan dadah, kimia, alkohol dan bahan pengawet yang berkemungkinan toksik kepada sistem saraf pusat dalam pertumbuhan janin.