Masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) ini berlaku apabila ovari gagal berfungsi secara normal dan mengakibatkan peningkatan aras hormon androgen, iaitu hormon lelaki. Antara tanda klinikal sindrom ini termasuklah haid tidak teratur, berat badan yang berlebihan (obes) dan ciri hormon androgen berlebihan dalam badan seperti berjerawat dan bulu roma tumbuh secara berlebihan (hirsutisme) berbanding dengan wanita normal.
Biasanya seseorang wanita yang mengalami sindrom ini akan mengalami haid yang tidak teratur, lambat datang haid dan kadangkala jarak antara kitaran haid menjadi begitu jauh sekali sehingga tiga hingga enam bulan baharulah didatangi haid yang berikutnya. Keadaan ini dikenal sebagai oligomenorea. Sesetengah wanita pula tidak mengalami haid dalam masa setahun.
Selain kitaran haid yang begitu panjang tempohnya, anda boleh mengalami jumlah pendarahan haid yang sedikit sekali, iaitu haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Wanita yang menghidap penyakit sindrom ovari polisistik akan mengalami haid yang sangat sedikit, iaitu selama dua hingga tiga hari sahaja. Kadangkala keadaan ini juga menyebabkan dinding rahim yang menebal tidak seperti wanita normal hasil tindak balas rangsangan (stimulasi) hormon androgen yang berterusan kepada wanita yang menghidap sindrom ini.
Sindrom PCOS ini juga boleh menimbulkan gejala pelbagai penyakit. Oleh sebab itu, penghidap sindrom ini dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala secara tetap. Anda harus segera berjumpa doktor untuk memastikan sama ada masalah yang dialami ini ialah sindrom PCOS atau sebaliknya. Jangan risau, walaupun telah disahkan menghidap PCOS, melalui pemeriksaan yang rapi dan rawatan yang sempurna anda juga mampu untuk hamil sama seperti orang normal yang lain.
PCOS merupakan suatu keadaan di mana ovari membengkak disebabkan oleh ovum terperangkap di dalamnya dan tidak berkemampuan untuk menetas pada waktu subur. Apabila keadaan seperti ini berlaku, lama-kelamaan ovari akan membengkak dan akhirnya menimbulkan pelbagai jenis masalah kesihatan. Kebanyakan wanita PCOS menghadapi proses ovulasi yang terganggu dan peluang untuk hamil secara semula jadi agak tipis. Jangan putus asa, peluang untuk hamil masih ada.
TIP UNTUK PENGHIDAP PCOS HAMIL SECARA SEMULA JADI
- Turunkan berat badan. Menurunkan berat badan akan meningkatkan kesuburan.
- Amalkan makanan daripada sumber karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh yang kaya serat, beras perang, lentil, kekacang, oat dan
- Elakkan makanan berasaskan soya seperti tauhu, tempe, edamame, susu soya dan sebagainya. Banyakkan sayur-sayuran dan sumber tumbuh-tumbuhan di dalam sajian harian.
- Jangan tinggalkan sajian setiap kali waktu makan agar metabolisme badan tidak menurun dan menyukarkan proses pengurangan berat badan.
- Kurangkan pengambilan kafein dalam diet harian untuk menstabilkan hormon. Kopi segera, minuman berkarbonat dan minuman coklat antara minuman yang mengandungi kafein.
- Minimumkan pendedahan kepada toksin. Jika boleh, pastikan mengguna barangan plastik bebas BPA dan elakkan memanaskan makanan dalam bekas plastik dengan ketuhar gelombang mikro.
- Senaman berimpak rendah disarankan seperti berjalan kaki, berenang dan bermain tenis adalah disarankan kerana ia meningkatkan degupan jantung dan menggalakkan pembakaran kalori.
- Mengurangkan stres ialah perkara yang paling kritikal bagi mana-mana wanita yang merancang untuk hamil. Wanita PCOS yang tertekan akan mendapat peningkatan pelepasan hormon kortisol yang menyebabkan kenaikan gula dalam darah dan kebal insulin.
- Tidur dan rehat yang cukup sekurang-kurangnya tujuh atau lapan jam sehari.
Sumber: Internet