Beberapa tahun lalu, Program Toksikologi Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa bahan kimia dikenali sebagai bisphenol A (BPA) mungkin menyebabkan masalah berkaitan hormon, termasuk baligh lebih awal di kalangan kanak-kanak dan ketumbuhan barah. Kandungan bahan kimia BPA lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Bertambah buruk lagi apabila botol air yang digunakan untuk minum ketika hamil juga mengandungi kimia ini. Terdapat kebimbangan pendedahan terhadap BPA boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sama ada dari segi neurologi atau tingkah-laku. Bayi turut mengalami risiko yang sama jika kajian ini didapati benar. Namun pertubuhan seperti Majlis Kimia Amerika mempertikaikan tidak ada bukti kuat bisphenol A memberi kesan buruk kepada manusia. Ketika ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak bercadang mengharamkan BPA dalam plastik. Begitupun, Kanada telah mengambil langkah awal dengan melabelkan kimia itu berbahaya.
PILIHAN IBU BAPA
Kebanyakan ibu sibuk dengan kerjaya dan penggunaan susu botol adalah sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memberi susu ibu. Seperti yang kita sedia maklum, susu yang terbaik adalah susu ibu. Biasanya pihak hospital tidak akan memberitahu atau mencadangkan jenis-jenis botol susu tertentu yang harus digunakan. Ini kerana kebanyakan hospital menggalakkan penyusuan susu badan. Akan tetapi, pada masa ini, adalah amat digalakkan penggunaan susu botol yang mengandungi BPA dielakkan.
- Di sebalik pendedahan tentang BPA, ibu dan bapa masih mempunyai pilihan untuk memilih menggunakan cawan atau botol susu untuk bayi ada. Selain itu, terdapat botol susu bebas BPA di pasaran dan botol susu kaca sebagai alternatif. Jalan yang lebih selamat untuk mengelak kontroversi berkaitan keselamatan penggunaan bekas plastik adalah dengan mengelak daripada menggunakannya.
- Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, seperti: polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA).
- Botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Selain itu, perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu dengan BPA akan dilabel dengan ‘nombor 7′, ‘nombor 7 dan PC’ atau ‘nombor 7 dan other’.
- Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘bebas BPA’.
JIKA ANDA MASIH INGIN MENGGUNAKAN BOTOL BPA:
- Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
- Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
- Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
- Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelak permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
- Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
- Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.