Memasuki usia kandungan 7 minggu bermakna dalam masa 33 minggu lagi Mama bakal bergelar seorang ibu. Impian setiap wanita untuk bergelar ibu kepada seorang yang bayi comel. Walaupun tahu bakal mengalami pelbagai kepayahan, kesusahan dan kesakitan tidak menghalang Mama untuk hamil dan melahirkan.
Namun, sebelum berjumpa dengan malaikat kecil ini Mama perlu menghadapi satu fasa di mana kekuatan mental dan fizikal diperlukan iaitu mengandung. Mama boleh memeriksa tanda-tanda sekiranya Mama hamil di SINI.
Kandungan Mama sekarang berada di trimester pertama iaitu minggu ke 7 kehamilan dan apakah yang Mama tahu mengenai kandungan pada minggu ke 7 ini?
Jika Mama masih tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai perkembangan janin pada usia kandungan 7 minggu ini, melalui perkongsian kali ini Mama Siti ingin berkongsi mengenainya.
Mama boleh ikuti perkongsian di bawah!
Perkembangan Kandungan 7 Minggu
![hamil 7 minggu](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2023/03/imresizer-1677991955673.jpg)
Di bawah ini merupakan perkembangan yang berlaku pada kandungan usia 7 minggu iaitu:
#1. Perkembangan Janin Pada Minggu 7 Kehamilan
Walaupun kandungan Mama masih diperingkat awal namun perkembangannya sangat banyak. Antaranya ialah saiz bayi Mama sekarang sebesar buah blueberi yang berukuran kira-kira 10mm. Tali pusat bayi yang berfungsi untuk menyalurkan segala zat dan nutrien daripada ibu kepada bayi akan mula terbentuk pada masa ini.
Selain itu, tangan dan kaki bayi semakin jelas terbentuk berbanding minggu lepas namun masih belum sempurna pembentukannya. Tangan dan kakinya pada masa ini kelihatan seperti pengayuh. Di samping itu, wajah bayi juga sudah mula terbentuk dengan terbentuknya lubang hidung, kelopak mata, gigi, lelangit dan telinga.
Bukan itu sahaja, malah organ utama seperti otak yang bertanggungjawab ke atas segala kemahiran bayi Mama pada masa akan datang seperti bercakap, bergerak, mendengar dan berfikir mula berkembang juga menjadi sangat kompleks.
Bayi Mama akan menghasilkan 100 sel otak yang baru pada setiap minit. Selain otak, organ utama lain seperti jantung juga semakin berkembang dengan pesat pada minggu ini.
![ultrasound scan kandungan 7 minggu](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2024/01/ultrasound-scan-kandungan-7-minggu.jpg)
#2. Perubahan Tubuh Mama Pada Minggu 7 Kehamilan
Walaupun banyak organ badan bayi sudah mula terbentuk dengan cepat namun, baby bump Mama masih belum kelihatan. Ini kerana, ianya masih di peringkat awal. Namun, tubuh Mama akan terdapat beberapa perubahan lain. Antaranya ialah:
- Payudara Mama akan menjadi lebih sensitif terutamanya akan berasa sakit apabila dipegang. Hal ini kerana, kandungan hormon yang tidak stabil di dalam badan Mama.
- Morning sickness seperti loya dan muntah. Hal ini kerana perubahan hormon yang berlaku di dalam badan.
- Kerap kencing yang disebabkan oleh buah pinggang Mama yang semakin berkembang. Buah pinggang Mama berkembang disebabkan oleh peningkatan aliran darah pada buah pinggang yang disebabkan oleh hormon kehamilan iaitu hormon hCG.
- Jerawat akan muncul pada wajah Mama. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang ketara dalam badan. Pastikan Mama mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang produk untuk jerawat.
- Air liur berlebihan mungkin dialami oleh Mama. Ini mungkin berpunca dari perubahan hormon atau pun morning sickness yang dialami.
- Perubahan emosi antara perubahan yang sering dialami oleh kebanyakan wanita hamil. Mama mungkin boleh menangis dengan tiba-tiba, gembira dengan perkara yang simple, mudah tersentuh dan lain-lain.
- Kejang perut juga boleh dirasakan oleh sesetengah wanita hamil. Ianya adalah normal kerana pada masa ini berlakunya peningkatan darah ke kawasan rahim.
- Perubahan pada selera makan sering berlaku pada wanita hamil pada trimester pertama ini.
Namun, perubahan-perubahan ini mungkin tidak dialami oleh sesetengah wanita hamil. Sebab itulah ramai yang tidak sedar bahawa mereka sedang mengandungkan malaikat kecil mereka.
Tips Menyokong/Menjaga Kandungan
![dos and don'ts kandungan 7 minggu](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2024/01/dos-and-donts-kandungan-7-minggu.jpg)
Bagi memastikan kandungan Mama membesar dengan jayanya, Mama boleh lakukan tips seperti di bawah.
- Mengambil makanan yang kaya dengan DHA, zat besi, folat dan kolina yang akan membantu perkembangan otak bayi dalam kandungan.
- Teruskan pengambilan makanan tambahan yang mengandungi zat besi, asid folik dan kalsium seperti saranan doktor untuk perkembangan bayi dalam kandungan. Contohnya, pengambilan susu yang diformulasi khas untuk ibu mengandung.
- Amalkan memakan makanan berkhasiat untuk membekalkan zat dan nutrien bagi perkembangan bayi dalam kandungan. Bukan itu sahaja, pemakanan yang sihat ini akan menyokong pertumbuhan kognitif bayi.
- Dapatkan rehat yang secukupnya dan lakukan senaman yang ringkas demi kesihatan emosi.
- Mama. Emosi wanita hamil juga memainkan peranan dalam perkembangan bayi dalam kandungan.
- Elakkan persekitaran yang tidak sihat seperti persekitaran yang dipenuhi asap rokok.
- Elakkan juga tabiat merokok dan minum minuman beralkohol.
Kandungan minggu 7 masih berada pada peringkat awal kehamilan. Masih jauh perjalanan untuk sampai ke fasa kelahiran. Kandungan minggu ke 7 ini diibaratkan sebagai kandungan yang masih ‘fragile’ iaitu kandungan yang memerlukan penjagaan yang berhati-hati.
![kandungan 7 minggu](https://www.kelabmama.com/story_wordpress/wp-content/uploads/2024/01/kandungan-7-minggu.jpg)
Buat Mama yang sedang berada pada fasa ini penuhkan ilmu mengenai kandungan anda bagi memastikan anak dalam kandungan membesar dengan sebaiknya. Kongsikan perkongsian ini sekiranya Mama mendapat sesuatu dari entri ini.
Untuk lebih informasi yang terkini serta perkongsian menarik daripada pakar-pakar di Malaysia, Mama boleh sertai Motherhood New Mom Privilege. Mama juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai baucar, welcome gift, cabutan bertuah bulanan, dan hadiah istimewa apabila anda mendaftar di New Mom Program yang dianjurkan Motherhood.com.my.
Jangan tunggu lagi, mana tahu Mama bertuah kali ni!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ikuti perkembangan si manja yang lain di SINI.