Kalau nak ikutkan, resepi nasi goreng udang memang sangat banyak dikongsi di laman sosial dan telah pun diolah mengikut kreativiti masing-masing. Tak dinafikan juga, menu ini merupakan pilihan masakan goreng yang popular bagi setiap golongan dan lapisan masyarakat.
Yang bestnya lagi, menu ini juga sangat mudah dan cepat untuk disediakan serta banyak menjimatkan masa Mama semua di dapur. Tambah-tambah lagi dengan aroma udang yang mewangi pastinya akan membangkitkan selera anak-anak terutama ketika waktu sarapan pagi.
Berbeza dengan resepi lain, di bawah ini Mama Siti telah kongsikan cara yang paling mudah dan cepat untuk Mama sediakan nasi goreng udang dengan dua versi berbeza yang gerenti lazat menyelerakan. Jom lihat!
Resepi Nasi Goreng Udang Versi I & II
Resepi Nasi Goreng Udang Versi I
Bahan-bahan
- 2 mangkuk nasi sejuk
- 7 ekor udang saiz sederhana
- 3 ulas bawang putih (dicincang)
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 biji telur
- 1 1/2 sudu besar cili kisar
- 1 sudu besar kicap cair
- Serbuk pati ayam
- Gula
- Minyak untuk menumis
Cara-cara masak:
#1. Panaskan minyak didalam kuali secukupnya. Apabila minyak sudah panas tumis bawang putih sehingga garing.
#2. Setelah bawang putih garing masukkan udang dan kacau sehingga udang masak sepenuhnya.
#3. Selepas itu masukkan dua sudu besar sos tiram untuk menambahkan lagi aroma.
#4. Kacau udang supaya berpalit dengas sos tiram dan setelah ia kelihatan garing, pecahkan telur dan masukkan disebelah udang tadi. Biarkan ia seketika sebelum mengacau telur tesebut sehingga masak.
#5. Kemudian, masukkan satu setengah sudu besar cili kisar. Kacau hingga sebati.
#6. Apabila cili sudah garing, masukkan nasi sejuk. Kacau biar sekata.
#7. Untuk membangkitkan lagi aroma nasi goreng taburkan daun sup yang telah dihiris.
Masukkan sedikit gula dan serbuk pati ayam mengikut cita rasa anda.
#8. Akhir sekali, masukkan satu sudu besar kicap cair atau nampla. Besarkan api dan goreng sehingga garing.
Resepi Nasi Goreng Udang Versi II
Bahan-bahan
- 2 pinggan nasi sejuk
- 12 ekor udang
- 1 mangkuk kecil cendawan tiram
- 1/2 batang lobak merah
- 1/2 biji lada benggala hijau
- 1 biji bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- 7 tangkai cili padi
- 3 sudu makan sos cili
- 4 sudu makan kicap lemak manis
- 4 sudu makan sos ikan
- Garam
- Gula perang
- Maggi cukup rasa
- Minyak masak
- Daun ketumbar untuk hiasan
Cara-cara masak:
#1. Panaskan minyak secukupnya dan tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi sehingga berwarna keperangan.
#2. Masukkan udang dan cendawan, kacau sehingga masak.
#3. Seterusnya, masukkan kicap, sos cili sos ikan, garam, gula dan maggi cukup rasa. Gaul hingga sebati.
#4. Kemudian, masukkan nasi, lobak merah, dan cili benggala. Gaul sebati dan goreng sehingga nasi sedikit garing.
#5. Akhir sekali hiaskan dengan daun ketumbar dan sos cili semasa menghidang.
Diharap perkongsian resepi ini dapat memberi kelainan kepada Mama dalam menyediakan juadah untuk keluarga. Jom try resepi gulai sotong dan resepi sup ayam blackpepper.
Jom lihat pelbagai resepi menarik yang lain di SINI!