Ayam Percik ada banyak versi tapi kali ini Mama Siti nak kongsikan resepi ayam percik yang mudah sekali. Ayam percik merah seperti di pasar malam ada cara tersendiri untuk disediakan.
Oleh itu, kita kena cari orang yang betul-betul pandai untuk ajar kita cara buat ayam percik yang sedap dan berjus.
Macam yang Hamizah Hassanudin kongsikan di Facebook beliau. Tak sabar rasanya nak cuba resepi ayam percik pasar malam ni.
Resepi Ayam Percik
Resepi oleh: Hamizah Hassanudin
Bahan bahan Untuk Perapan:
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- Garam
Bahan Untuk Kuah
- 1.5 inci halia
- 5 tangkai cili kering
- 3-4 batang serai
- 2 pek santan pekat
- 8 ulas bawang merah
- 1 keping asam keping
- Garam
- Gula kabung
- Gula putih (pilihan)
Cara-Cara
#1 Ayam yang telah dipotong dan dibersihkan hendaklah dikukus ataupun direbus hingga separuh masak. Tujuannya adalah supaya ayam masak sempurna ketika dibakar nanti.
#2 Kisarkan kesemua bahan-bahan perapan hingga halus dan lumurkan sebahagian bahan kisaran tadi ke atas ayam ayam yang telah selesai dikukus.
#3 Sebahagian lagi di tumis dalam kuali dengan minyak panas. Biarkan hingga bahan tumisan naik bau.
#4 Bagi mencantikkan lagi warnanya, masukkan gula kabung atau gula perang. Oh ya, Mama juga boleh perasakan dengan sedikit garam dan gula pasir juga ya.
#5 Apabila gula kabung telah larut, masukkan pula santan. Santan ini penting supaya ayam percik kita rasa berlemak. Teruskan memasak hingga kuah menjadi pekat.
#6 Kembali semula kepada ayam. Ayam yang selesai diperap boleh terus dimasak atas pemanggang ajaib atau air fryer. Tetapi jangan lupa untuk letakkan kuah percik yang telah kita masak sebelum ini.
Bakar pada suhu 150℃ selama 30 minit.
#7 Ayam tidak perlu dimasak lama kerana ia telah lembut semasa proses rebusan atau kukusan awal-awal tadi.
Tips Memasak Resepi Ayam Percik
- Kelarkan ayam supaya dapat mempercepatkan proses memasak dan agar bahan perapan meresap ke dalam dengan sempurna.
- Gula kabung boleh juga digantikan dengan gula merah atau gula melaka.
Ayam percik ada banyak versi dan resepi yang Mama Siti bawakan kali ini antara yang paling simple yang Mama Siti jumpa.
Lagi ‘best‘ sebab Hamizah Hassanudin tunjuk cara satu persatu cara nak buat ayam percik merah ni. Rugilah kalau kita tak ikut resepi yang terperinci macam ni. Selamat mencuba!
Jom lihat pelbagai resepi menarik yang lain di SINI!