Dari Isnin hingga Jumaat bekerja. Kadang-kadang hari Sabtu pun perlu bersedia kalau-kalau diperlukan di tempat kerja. Bila lagi nak luangkan masa bersama keluarga kan?
Apa kata Mama buat aktiviti keluarga dengan masak resepi ayam bakar ni? Resepinya mudah dan cara penyediaannya pun tidaklah remeh.
Sediakan bahan perapan ayam, siapkan tempat bakar dan hidupkan batu arang mungkin aktiviti simple tetapi bermakna buat kita sekeluarga. Betul kata orang, nak cipta memori tak perlukan bajet yang banyak pun sebenarnya.
Mari, Mama Siti kongsikan cara-cara menyediakan resepi ayam bakar istimewa dibawakan oleh Limau Nipis.
Resepi Ayam Bakar BBQ
Resepi oleh: Limau Nipis
Bahan-Bahan Tumbuk atau Kisar
- Bawang Putih
- Kunyit Hidup
Bahan-Bahan Lain
- Ayam (Dipotong)
- Sos Tiram
- Madu
- Sos Cili
- Paprika
- Kicap Pekat Manis
- Garam
- Lada Hitam (Ditumbuk kasar)
- Minyak Masak
Cara-Cara
- Pertama sekali, tumbuk 9 ulas bawang putih bersama-sama dengan 1 inci kunyit hidup. Pastikan bawang putih dan kunyit telah dibuang kulit terlebih dahulu.
2. Apabila telah ditumbuk lumat, masukkan bahan tumbuk ke dalam bekas ayam. Lumurkan merata ke semua bahagian ayam.
3. Seterusnya, masukkan 2 sudu sos tiram, 3 sudu madu, 3 sudu sos cili, 2 sudu paprika, 2 sudu kicap pekat manis, 2 sudu garam dan akhir sekali masukkan 2 sudu kecil lada hitam.
4. Gaulkan semua bahan perapan bersama-sama ayam. Pastikan semuanya tercampur rata dan pastikan setiap ketul ayam tersalut dengan bahan perapan.
5. Kemudian, biarkan perapan ayam selama 2 hingga 3 jam supaya rasanya meresap sempurna.
6. Sementara itu, Mama boleh siap sedia hidupkan arang batu.
7. Ketika membakar, susunkan beberapa ketul ayam di atas besi pemanggang dan sapukan minyak di bahagian atas ayam.
8. Tanpa menunggu lama, terus balikkan ayam. Tujuannya adalah supaya ayam bakar kita tidak melekat pada besi pemanggang. Selain itu, langkah ini mengekalkan jus ayam walaupun telah siap dibakar.
Tips Resepi Ayam Bakar BBQ
- Petua mendapatkan ayam bakar yang sedap ialah untuk balut bekas perapan ayam dengan plastik dan letakkan dalam peti sejuk.
- Jika Mama menggunakan air fryer atau ketuhar, bakar selama 1 jam dengan suhu 200℃.
Jadi, macam mana Mama? Nampak menarik kan menu kita kali ini. Mama Siti dah boleh bayangkan macam mana perasaan anak-anak bila sama-sama masak ayam bakar guna batu arang ni.
Paling penting hanya ada dua langkah penting sahaja iaitu perap dan bakar. Bahan-bahannya pun ialah bahan asas yang selalu ada di dapur, jadi tak perlu susah-susah ke pasaraya lagi.
Jom cuba resepi yang lain di SINI.