Boleh stress bila tengok almari baju bersepah. Itu belum lagi cari barang tak jumpa. Ke mana seluar tidur, kemana baju kerja.
Itulah kesannya kalau kita tak tahu cara nak susun baju dalam almari. Tapi dalam artikel kali ini, Mama Siti kongsikan cara susun baju dalam almari supaya sentiasa kemas dan tak perlu lipat selalu.
Teknik yang Mama Siti kongsikan termasuklah cara menggantung, cara lipat, pembahagi almari dan kaedah Marie Kondo. Mari kita tengok lebih lanjut cara susun baju dalam almari.
9 Cara Susun Baju Dalam Almari
#1 Asingkan Jenis Pakaian
Kalau kita asingkan pakaian ikut kategori sekaligus kita jimatkan tenaga dan masa ketika ingin menggunakannya nanti.
Pakaian dalam, baju tidur, baju kerja dan baju di rumah hendaklah diletakkan di satu bahagian tertentu. Kesemua baju dalam kategori yang sama dikumpulkan agar almari kita kemas.
Selain itu, kaedah ini mengelakkan kehilangan baju disebabkan tempat letaknya yang tidak tetap.
#2 Guna Penggantung (Hanger)
Kaedah ini adalah yang paling terbaik dalam menjimatkan masa serta tidak mengambil banyak ruang.
Berbanding menggunakan rekaan hanger yang biasa, Mama gunakan jenis penyangkut baju berganda. Dalam satu hanger, boleh gantung banyak pakaian.
#3 Susun Ikut Warna (Bilik Anak)
Sekali sekala bila periksa almari baju anak-anak, meluap-luap rasa geramnya. Bukan apa, kita dah susun rapi tapi anak ambil ikut suka sahaja.
Salah satu cara nak susun pakaian anak-anak ialah menyusun ikut warna. Selain menjadi motivasi agar pakaian sentiasa dalam keadaan kemas, ia juga mendidik anak supaya sentiasa menjaga kekemasan almari pakaian mereka.
Melentur buluh, biar dari rebungnya. Cara ini mengajarkan mereka rasa tanggungjawab.
#4 Guna Bekas dan Label
Pertama kali Mama Siti tahu teknik ini adalah daripada seorang pempengaruh Tiktok, Imas Fahriaty.
Beliau menggunakan tiga buah raga rotan. Kesemua baju dan seluar yang telah dilipat dimasukkan dalam raga tersebut kemudian diletakkan di dalam setiap bahagian rak.
Cara ini bukan sahaja berkesan malahan menaikkan nilai estetika dalam almari pakaian.
#5 Asing Ikut Tuan
Istilah home engineer selayaknya mendesak kita menggunakan tenaga mental dan fizikal.
Oleh yang demikian, kita mudahkan kerja dengan mengasingkan pakaian mengikut tuan punya baju. Angkat baju dari ampaian dan terus masukkan ke dalam bakul mengikut pemilik pakaian. Kemudian sorokkan dalam almari pakaian.
Cara ini hanyalah idea kalau-kalau Mama atau Papa tak ada masa melipat baju.
#6 Kaedah Konmari
Pertama sekali, sisih.
Bahagikan pakaian kepada dua bahagian. Dilipat dan digantung. Pakaian yang dilipat adalah seperti t-shirt, sweatpants, seluar jeans dan kemeja.
Manakala pakaian yang digantung pula seperti baju berbutang. Jersi, kardigan, dress dan jubah.
Kedua, lipat.
Marie Kondo menggunakan konsep visible atau nampak. Baju-baju yang dilipat mestilah mudah dikenal pasti dengan sekali pandang. Oleh itu cara melipat pakaian ialah secara menegak dan diletakkan dalam almari laci.
Lipat pakaian kepada segi empat sama bagi memudahkan proses penyusunan. Bakul raga dan compartment baju boleh dijadikan alat ganti sekiranya tiada almari laci.
Ketiga, susun.
Setiap pakaian yang digantung dan dilipat hendaklah diletakkan mengikut kategori. Sediakan ruang khas untuk seluar, baju t-shirt dan stokin bagi menjimatkan masa mencari pakaian tersebut.
#7 Guna Cloth Organizer
Sebenarnya ada bermacam-macam jenis cloth organizer di pasaran. Mama boleh pilih salah satu dan sesuaikan dengan saiz almari.
Hasilnya almari pakaian akan nampak lebih kemas dan teratur. Mama pun tak marah-marah lagi kalau pakaian semua tersusun rapi.
#8 Susun Ikut Kegunaan
Asingkan baju mengikut kekerapan kegunaannya. Contohnya, pakaian harian, pakaian kerja dan pakaian ke acara diletakkan di tempat berasingan.
Objektif supaya pakaian itu tidak bercampur sekaligus menjimatkan masa Mama mengambilnya apabila ingin di seterika dipakai nanti.
#9 Aturan In & Out
Cara yang terakhir ini sebenarnya yang perlu dilakukan oleh semua orang. Tahukah anda cara memastikan sesuatu tempat itu kemas adalah dengan mengurangkan item di dalamnya.
Disiplinkan diri apabila ingin membeli satu pakaian baru maka satu pakaian lama harus dikeluarkan. Setelah itu pilih sama ada ingin dijadikan kain lap, di dermakan atau dijadikan kraf tangan.
Baju yang terlampau banyak bukan sahaja membuatkan almari pakaian kita kekurangan ruang malahan berkemungkinan besar menjadi rosak atau reput kerana sangat lama tidak dipakai.
Ada teknik nak susun baju dalam almari supaya kemas, jimat masa siap ada ruang tambahan lagi. Apa yang penting, Mama perlu sesuaikan dengan saiz almari dan keseuaian jenis pakaian.
Contohnya, jubah, dress, tudung berawning dan kemeja jaket seeloknya digantung manakala baju tidur, seluar dan stokin dilipat.
Di almari anak-anak pula, Mama boleh cuba cara susunan mengikut warna. Sekaligus dapat menarik minat anak-anak mengemas almari pakaian masing-masing.
Dapatkan rumah idaman Mama dengan pelbagai tips dan inspirasi dekorasi DI SINI.