Seorang ibu kongsikan pengalamannya menggunakan bantal tungku moden yang telah meletup ketika bantal tersebut sedang dicas. Ujar Puan Farah Iqlima di laman Facebooknya,
Nak putus nyawa mama, nak tercabut jantung…meletup dekat baby. Nasib baik tuhan nak tolong lagi.
Bantal tungku elektrik tersebut dikatakan baru dicas tak sampai lima minit sebelum meletup. Ketika kejadian, bantal tersebut berada sangat dekat dengan bayinya; tidak sampai sejengkal! Bantal itu meletup dan mengeluarkan cecair lalu terpercik pada dinding dan juga anaknya yang berada berhampiran dengan bantal tersebut.
Jarak Bantal Tungku Dengan Bayi Tak Sampai Sejengkal
Baby menangis, dan tokwannya bangun dari sofa. Kalau tidak, jarak bantal tungku dengan baby tak sampai sejengkal! Terpercik jugak la kat baby, tapi tak teruk. Cepat-cepat basuh dengan air. Alhamdulillah. Tuhan nak tolong lagi.
ujar Puan Farah lagi.
Nak moden sangat la guna tungku bantal moden. Tengah-tengah cas nak bagi panas, sekali meletup. Nak kata lama baru on plug. Tak sampai 5minit pun. Apa benda cecair dalam ni. Basuh pon tak tanggal. Bahaya! Siapa ada, jangan guna dah. Buang jer!
Puan Farah Iqlima yang berpantang sendiri turut kongsikan yang ini bukan pertama kali beliau menggunakan tungku moden. Dalam status Facebooknya yang lain, Puan Farah turut memberitahu yang beliau sebenarnya berpantang sendiri dan dalam masa yang sama, perlu menjaga anak yang lain. Jadi, beliau menggunakan bantal tungku moden untuk kemudahan harian.
Memang tungku batu tu elok. Tapi batu renyah sikit, nak kena panaskan ambik masa. Sebab tu guna yang moden. Plug in, tak sampai lima minit, siap.
Mana nak tengok anak kecil anak besar. Kita berpantang sendiri jer, mana la tahu benda ni nak jadi kan. Lagi pun memang dah biasa guna. Tiga, empat kali dah beli. Tak pernah meletop lagi. Tak sangka benda nak jadi.
Puan Farah redha dengan apa yang berlaku dan bersyukur tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku kepada bayinya. Puan Farah turut menasihatkan ibu yang lain supaya lebih berhati-hati jika menggunakan bantal tungku moden tersebut.
Kepentingan Bertungku untuk Ibu Selepas Bersalin
Menurut Dr Rusyainie Ramli, amalan bertungku untuk ibu selepas bersalin dapat membantu melancarkan peredaran darah.
Secara sainsnya, bila kita bertungku, haba dari batu tungku tu, akan menyebabkan saluran darah kat kulit kita MENGEMBANG di bahagian kita letak batu tungku tu. Jadi, peredaran darah akan bertambah baik bila salur darah tadi berkembang sikit dari yang asal.
Dr Rusyainie Ramli juga menasihatkan ibu selepas bersalin supaya tidak bertungku terlalu lama! Elakkan daripada letak batu tungku disatu tempat di badan kita lebih 30 minit. Takut kecut pula saluran darah nanti. Namun, tidak bersalah untuk ibu berpantang tidak bertungku. Apa yang lebih penting ketika berpantang ialah:
- Minum air 2 ke 3 liter sehari.
- Makan ikut amaun suku, suku, separuh.
- Mesti ada kandungan zat dan vitamin macam saya dah pernah tulis.
- Aktif bergerak ikut kemampuan. jangan nak mengada-ngada nak baring saja.
- Rehat dan tidur mesti cukup.
- Sokongan fizikal, mental dan moral dari suami dan keluarga.
- Kena fikir positif sentiasa.
Berpantang itu perlu, tapi berpada. Bertungku juga perlu, tapi jangan melebih-lebih. Apa pun yang Mama ingin lakukan, sentiasa berhati-hati dan jangan melebih-lebih hingga boleh memudaratkan kesihatan sendiri. Fikirkan kesihatan dan keselamatan Mama dan juga bayi yang baru lahir. Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk kita semua.