Ada apa pada kanak-kanak umur empat hingga enam tahun?
Sebenarnya mereka sedang berada pada fasa terakhir ‘golden age’ yang bermula dari awal kelahiran hingga usia enam tahun.
Tahukah Mama 50% personaliti orang dewasa bergantung pada 6 tahun pertama hidup mereka. Ini kerana pada fasa ini, otak kanak-kanak berkembang dengan sangat pantas.
Melalui perkongsian Dr Taufiq Razif, 91% perkembangan otak kanak-kanak berlaku dalam usia ini.
Lalu apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan emosi, sosial, intelektual dan spiritual kanak-kanak bertumbuh di tahap yang sepatutnya?
Jawapannya adalah dengan bermain.
Kepentingan Bermain
Dr Putri Afzan Maria dalam bukunya, Ada Apa Dengan Bermain menyatakan;
‘Bermain menjadikan kanak-kanak lebih pintar dari segi akademik’
Ini kerana 90% kemahiran kritikal seorang manusia bermula dari usia 1 hingga 6 tahun. Dalam kata lain, baki 10% akan berlaku selepas usia tersebut. Namun perkembangannya mungkin terganggu jika kanak-kanak kurang beraktiviti.
Maka apabila kanak-kanak puas bermain dan didedahkan dengan pelbagai jenis permainan, mereka berkemungkinan besar menjadi seorang pelajar yang bijak.
Aktiviti Untuk Kanak-kanak 4 Hingga 6 Tahun, Sesuai Untuk Indoor & Outdoor
#1 Anyaman
Ada pelbagai cara dan bahan yang boleh digunakan dalam permainan ini. Contohnya, keratan surat khabar, kertas warna, daun pisang dan tali rafia.
Cara-cara:
- Sediakan dua kertas sebagai anyaman dan tikar.
- Guntingkan tikar ke bahagian kecil seperti dalam gambar di atas.
- Kemudian, biarkan anak membuat rekaan anyaman tikarnya sendiri.
#2 Kira Duit Syiling
Mengira dengan sebutan mungkin sudah biasa dan tidak menarik lagi bagi kanak-kanak. Cara kreatif adalah dengan memanfaatkan perkakas memasak seperti alas membakar kek cawan.
Tujuannya adalah untuk merangsang perkembangan awal matematik. Bahan yang diperlukan:
- Baking tray cup cake
- Duit syiling
#3 Sikat Rambut
Menyikat rambut ialah latihan agar anak lelaki dan perempuan berdikari menguruskkan diri sendiri.
Selain itu, kita perlu ambil kesempatan untuk mengajarkan perihal jantina dan pendidikan seks kepada kanak-kanak.
Perlu tau pendidikan tu! Tak payah fikir ianya satu topik ‘taboo’ ke apa. Fikirkan ia untuk pengetahuan dan keselamatan anak-anak kita juga.
#4 Memerah (Santan dan Pakaian)
‘Anak perempuan penat buat kerja rumah, anak lelaki umpama raja di rumah.’
Sebagai seorang anak perempuan, Mama Siti sendiri merasakan hal itu. Dimanakah keadilannya apabila anak lelaki makan siap berhidang tetapi anak perempuan pula berpenat sebelum, semasa dan selepas masak?
Jadi, aktiviti memerah santan dan pakaian boleh dijadikan idea untuk membiasakan kanak-kanak tentang cara memasak dan menguruskan rumah.
#5 Lukisan Garam
Bagi merangsang perkembangan kreativiti dan estetika, Mama boleh cuba aktiviti lukisan garam bersama kanak-kanak.
Syarat paling penting agar kanak-kanak menjadi kreatif adalah dengan tidak mengehadkan cara mereka bermain. Contohnya, biarkan kanak-kanak memilih warna yang mereka sukai semasa membuat lukisan garam ini.
#6 Buih Belon
Kelebihan permainan buih belon ialah memantapkan koordinasi mata dan tangan (eye-hand coordination), kemahiran sensori serta mengikut arahan.
Kesemua itu dapat dicapai ketika kanak-kanak menangkap belon yang berterbangan, menyentuh buih yang licin serta mendengar arahan yang diberikan.
#7 ‘Bakteria Nyah Kau’
Aktiviti ini ialah sebagai pendedahan kepada kanak-kanak tentang reaksi bakteria dan sabun serta kepentingan menjaga kebersihan. Bahan-bahan yang diperlukan ialah;
- Sabun cecair
- Serbuk kopi
- Air
- Pinggan putih
#8 Puzzle
Apa yang mereka perolehi ketika bermain puzzle?
Kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah dimana mereka perlu memilih dan memadankan puzzle yang sesuai.
Selain itu, aktiviti ini merangsang kemahiran kognitif dimana mereka perlu berfikir dan menganalisis maklumat untuk mendapatkan gambaran puzzle yang lengkap.
#9 Meniti
Istilah bagi permainan ini ialah aktiviti vestibular. Aktiviti ini melatih koordinasi tubuh, fokus visual dan penyelesaian masalah. Potongan kayu, bangku kecil, batu-bata dan alat-alat lain boleh digunakan untuk meniti di atasnya.
#10 Main di Padang (Nature Play)
“Nature Play ialah aktiviti luar yang bertujuan membina kemahiran dan keupayaan bermain tanpa memerlukan kawalan Mama dan Papa”
Apa Apa Dengan Bermain – Dr Putri Afzan Maria
Setelah 2 tahun kita dan anak-anak banyak menghabiskan masa di dalam rumah, kini tiba untuk Mama dan Papa bawa mereka bermain di padang atau taman rekreasi, sebagai salah satu aktiviti untuk kanak-kanak 4-6 tahun yang wajib setiap minggu.
Tahukah Mama? Tempoh bagi kanak-kanak 4 hingga 6 tahun bermain di luar ialah 1 hingga 3 jam sehari. Jadi, tak salah kalau Mama dan Papa cuba luangkan masa bersama anak-anak dan rakan mereka di padang atau taman rekreasi, menikmati suasana alam dan bergembira.
#11 Span Air
Caranya adalah dengan memasukkan span dalam baldi berisi air kemudian berlari ke arah yang lain dan perahkan air ke dalam botol.
Lakukan berulang kali sehingga botol air penuh. Aktiviti ini membina semangat kerjasama serta strategi memenangi sesuatu.
#12 Imbangkan Kepala
Cawan atau botol diisi air kemudian letakkan di atas kepala. Seterusnya, jalan perlahan-lahan menuju ke garisan penamat.
Aktiviti ini penting untuk melatih fokus kanak-kanak ketika mengimbangi botol di atas kepala. Kalau Mama ingat lagi, ni antara aktiviti WAJIB semasa zaman kita family day dahulu.
Jom buat pada anak-anak kita pula! Pasti mereka seronok!
Bebaskan kanak-kanak untuk bermain. Jangan sekat perkara yang memang sepatutnya mereka lakukan. Paling penting kita bantu mereka menguasai kemahiran emosi, fizikal, sosial dan intelektual melalui aktiviti untuk kanak-kanak 4 hingga 6 tahun di atas.
Beginilah cara kanak-kanak belajar iaitu dengan bermain. Ayuh Mama dan Papa, kita menjadi ibu bapa yang berilmu pengetahuan dan mendorong anak-anak untuk bermain.
Tingkat perkembangan anak Mama dengan pelbagai tips dan nasihat berguna DI SINI.