Di Taiwan, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas paru-parunya pecah akibat disumbat hos udara tekanan tinggi. Kanak-kanak yang berumur tiga tahun itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Kaohsiung Veterans General Hospital. Paru-parunya dikatakan telah pecah dan mangsa kemudian pengsan akibat kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Taiwan itu.
Kepala Mangsa Kebiruan
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan DailyMail, bapa kanak-kanak tersebut Kuang, telah mendakwa anaknya bermain dengan hos udara tekanan tinggi. Mangsa dikatakan telah keluar dari kereta lalu mengambil hos udara tekanan tinggi, dan diletakkan ke dalam mulut sendiri menyebabkan kejadian yang tidak diingini itu berlaku. Bapa mangsa segera membawa anaknya ke hospital selepas menyedari keadaan anaknya yang menjadi kebiruan dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
BACA: Bapa Tinggalkan Anak Berseorangan Dalam Kereta
Bapa Mangsa Suspek Utama
Walau bagaimanapun, bapa mangsa kini disiasat oleh pihak polis atas dakwaan membunuh. Hal ini kerana, dakwaan suspek bercanggah dengan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu.
Pegawai penyiasat yang sedang menyemak kejadian tersebut melalui sebuah CCTV berkata,
Kuang dilihat memegang hos udara itu dan menghala ke arah anaknya dua kali ketika menyembur angin pada keretanya, sebuah BMW.
Kenyataan Bapa Bercanggah Dengan Rakaman CCTV
Dalam rakaman CCTV itu juga, mangsa dilihat tidak keluar dari tempat duduk depan, bercanggah dengan dakwaan suspek yang kononnya mangsa keluar dari kereta. Namun, pihak polis masih menyiasat apa sebenarnya yang berlaku kerana suspek yang juga si bapa, menghalang kamera pengawasan pada waktu kejadian.
Suspek kini ditahan dan didakwa membunuh anaknya sendiri, dan dibenarkan ikat jamin sebanyak 60,000 TWD, atau RM8000.
Bahaya Hos Udara Tekanan Tinggi Pada Badan
Untuk pengetahuan Mama, jangan sesekali bergurau atau biarkan anak-anak bermain dengan hos udara tekanan tinggi pada badan. Ia boleh merosakkan organ-organ yang ada dalam badan tanpa kita sedari.
Pada tahun 2018, terdapat satu kejadian yang berlaku di India di mana seorang pekerja maut selepas penyelianya bergurau dengan mengacukan hos tekanan udara tersebut pada punggung mangsa. Mangsa dikatakan serta-merta rebah ke lantai kerana kesakitan. 15 hari kemudian, mangsa disahkan meninggal dunia kerana organ dalamannya rosak teruk. Walaupun kejadian tersebut tidak melibat kanak-kanak, namun ia menunjukkan betapa bahayanya hos udara tekanan tinggi pada badan kita.