Perkara paling utama untuk cara ajar anak ke tandas adalah terangkan dahulu kepada anak Mama apakah itu buang air besar dan juga buang air kecil, serta apakah pula perbezaan di antara kedua-duanya.
Mama dinasihatkan untuk gunakan cara ajar anak ke tandas yang pertama ini setiap kali Mama menyalin lampin pakai buangnya dan juga semasa memandikan anak-anak.
Bila anak sudah mulai faham kedua-dua perkara ini, lebih mudah untuk Mama teruskan dengan langkah-langkah yang lain.
Di bawah ini, Mama Siti sudah sediakan beberapa panduan untuk Mama ikuti.
Jadi, Mama boleh terus rujuk cara ajar anak ke tands yang berikutnya dengan mempraktikkan langkah-langkah tersebut. Semoga berjaya Mama!
Cara Ajar Anak Ke Tandas Dengan Panduan Lengkap
#1. Bercerita tentang penggunaan tandas
Mama boleh menerangkan kepentingan tandas kepada anak-anak dengan cara yang menyeronokkan. Contohnya, menggunakan buku cerita sebagai alternatif untuk menarik minat anak supaya lebih fokus.
Terdapat banyak buku di pasaran yang boleh Mama belikan untuk mereka. Sebagai cadangan, buku berjudul ‘Potty’ agak sesuai dijadikan pilihan.
Namun terdapat banyak lagi sumber lain yang boleh Mama gunakan. Selain buku, terdapat poster bergambar atau Mama boleh juga menggunakan platform lain seperti carian di internet dan sebagainya.
Apa yang penting, sumber yang digunakan haruslah mudah difahami dan menarik minat anak Mama.
#2. Latihan Praktikal
Cara ini lebih mudah dan berkesan. Mama boleh mengajar anak Mama bagaimana untuk menggunakan tandas dengan membiarkan mereka melihat sendiri apa yang Mama lakukan.
Selepas itu suruh mereka buat perkara sama di hadapan Mama. Yang penting, anak perempuan diajar oleh Mama dan biarkan anak lelaki diajar oleh Papa ya.
#3. Pemerhatian
Kanak-kanak lebih cenderung meniru aksi atau perbuatan orang terdekat mereka. Selain daripada melalui Mama dan Papa sendiri, Mama boleh sahaja membenarkan saudara terdekat atau rakan karib mereka menggunakan tandas di rumah Mama.
Ini merupakan salah satu cara ajar anak ke tandas yang boleh dipraktikkan. Tetapi, pastikan mereka sama jantina dengan anak Mama dan Mama juga harus berada di situ untuk keselamatan mereka.
#4. Sediakan mangkuk tandas
Kini, terdapat inovasi dalam penggunaan tandas untuk kanak-kanak. Mama boleh membeli dan melatih anak Mama menggunakan tandas ini sementara mereka faham bagaimana untuk menggunakan tandas sebenar.
Dengan cara ini, mereka akan lebih cepat belajar dan tidak kekok atau takut untuk melakukannya di tandas sebenar nanti.
#5. Jangan terburu-buru
Melatih anak memerlukan kesabaran yang tinggi. Tidak semua kanak-kanak selesa melakukannya. Jangan memaksa anak anda jika mereka tidak mahu sebaliknya jadikan ia amalan santai yang boleh Mama terapkan dalam permainan mereka. Setelah mereka selesa, barulah Mama fokus kepada matlamat sebenar.
#6. Kerap bertanya
Apabila anak Mama ingin membuang air kecil atau air besar, Mama boleh bertanya atau mengajaknya untuk menggunakan tandas dengan berjanji akan menemaninya sehingga selesai.
Dengan cara ini, anak Mama akan lebih terbiasa untuk menggunakan tandas pada hari seterusnya.
Jangan lupa untuk memuji keberanian anak Mama setelah dia melakukannya. Ini akan membangkitkan lagi semangatnya.
#7. Buang najis ke dalam mangkuk tandas
Selepas anak Mama selesai membuang air besar, ajak anak Mama ke tandas dan buang najis tersebut ke dalam mangkuk tandas dihadapannya.
Cara ini boleh memberi kefahaman kepada anak bahawa najis sepatutnya dibuang di tempat tersebut.
Jangan lupa untuk menerangkan perbuatan tersebut kepadanya. Jelaskan supaya anak Mama faham di mana sepatutnya dia membuang air besar.
#8. Berikan pujian atau ganjaran
Tidak salah memuji kepandaian atau memberikan ganjaran seperti hadiah untuk meraikan kejayaan anak Mama. Cara ini boleh memberikan motivasi dalam hidup mereka.
Walau bagaimanapun, Mama disarankan memberi hadiah yang bersesuaian dengan usaha mereka. Jangan berlebihan dalam memberi pujian atau ganjaran.
#9. Perhatikan perlakuan
Mama perlu sentiasa memerhatikan tanda-tanda yang ditunjukkan oleh anak Mama. Kebiasaannya, mereka lebih gemar memencilkan diri di saat ingin membuang air besar.
Kadang-kadang mereka akan berdiri senyap di suatu tempat atau duduk mencangkung. Pada masa ini, Mama boleh bertanya atau menawarkan diri untuk meneman mereka ke tandas.
#10. Set masa untuk ke tandas
Bagi membiasakan mereka menggunakan tandas, tetapkan masa untuk mereka ke tandas seperti selepas bangun tidur, sebelum sarapan, sebelum tidur, atau dua jam sekali.
Selain daripada cara-cara di atas, Mama juga boleh cuba tips yang dikongsikan ibu ini tentang cara dia melatih dan ajar anak ke tandas dan bebas lampin.
Dapatkan pelbagai tips berguna demi perkembangan anak-anak DI SINI.