Perasan tak kalau Mama beli kerang, kadang-kadang masih ada selaput lumpur di kulit kerang itu?
Adakah lumpur itu bahaya untuk kesihatan? Mama pun tak pasti cumanya ia mempengaruhi kualiti masakkan kita. Jadi sebelum mula masak kerang, kita perlu bersihkan bahagian dalam dan luar kerang.
Kerang hidup memang susah kita nak buka cengkerangnya dan bersihkan lumpur dan ketam kecil yang ada di dalamnya. Namun, ada cara untuk bersihkan kerang.
Bermula dari bawang putih,daun herba hinggalah menggunakan kapur makanan. Oh ya, ada langkah terperinci bagi setiap satu cara. Ayuh Mama Siti tunjukkan cara mudah bersihkan kerang.
10 Cara Mudah Bersihkan Kerang
#1 Bawang Putih
Bagi setiap 1 kg kerang, tumbuk 5 ulas bawang putih, 5 keping asam keping dan 1 sudu garam. Rendam dengan air biasa selama 30 minit.
Pastikan gaul rata supaya semua bahan-bahan tadi bertindak balas dengan kerang. Selesai proses tersebut barulah kita bilas sekali lagi dengan air bersih.
#2 Serbuk Kunyit + Asam Keping
Selain dilumurkan ke atas ikan dan ayam sebelum menggoreng, serbuk kunyit juga boleh membersihkan kulit kerang.
Rendam 1 kg kerang dalam semangkuk air yang dah masukkan 2 sudu serbuk kunyit. Kemudian, tambahkan 3 keping asam keping ke dalam rendalaman. Selepas itu, tunggu selama 30 minit. Akhir sekali, kita bilaskan supaya boleh mula memasak.
#3 Kapur Makanan
Selalunya kapur makanan menjadi bahan tambahan ketika mencelur daun untuk dibuat ulam. Tahukah Mama? Kapur makanan pun boleh buang lumpur di dalam kerang serta memutihkan cengkerang kerang.
Caranya ialah sediakan bancuhan air kapur dengan sukatan satu sudu. Kemudian, diamkan air kapur dan kerang selama 15 minit. Akhir sekali, kita bilas dengan air bersih. Selesai proses pembersihan kerang.
#4 Asam Jawa + Air Beras
Ada pes asam jawa? Ada beras? Ha, kalau ada dua item ini, senang kerja Mama nak bersihkan beras.
Pertama ambil lebih kurang segenggam asam jawa. Kemudian, tuangkan pula air cucian beras ke dalam bekas berisi kerang.
Selepas 10 minit, barulah kita basuh kerang dengan air bersih dan sedia untuk dimasak.
#5 Serbuk Cili + Garam
Pertama sekali buat bilasan dengan air bersih. Kemudian letakkan serbuk cili dan garam dalam bekas berisi kerang.
Selepas itu, tambahkan air dalam bekas. Pastikan air mencukupi hingga kerang ditenggelami air. Cara ini mengambil mengambil masa yang agak lama iaitu antara 45 hingga 90 minit.
Mama tidak perlu membolak-balikkan kerang dalam bekas. Kerang akan mengeluarkan kotoran dari dalam cengkerangnya dengan sendiri melalui cara ‘meludahkan’ ia keluar.
Air akan menjadi keruh disebabkan kotoran dari kerang. Apabila telah selesai, Mama bilaskan sekali lagi dengan air bersih dan boleh mula masak kerang itu.
#6 Pelepah Pisang
Kalau di rumah Mama ada pokok pisang, itu satu keuntungan. Kita boleh membersihkan kerang dengan pelepah pisang. Pelepah pisang ialah bahagian tengah dan keras di daun pisang.
Potong pelepah pisang kepada dua bahagian atau saiz yang lebih kecil. Kemudian, sental kotoran pada kulit kerang menggunakan pelepah pisang.
Lakukan selama beberapa kali dan lihat hasilnya, kulit kerah menjadi putih bersih.
#7 Cara Bersihkan Kerang Guna Daun Betik
Dengan menggunakan teknik rendaman, Mama ambil beberapa helai daun betik dan carik-carikkan. Kemudian, gaul bersama kerang beberapa kali dan cuci dengan air bersih.
#8 Cara Bersihkan Kerang Guna Hampas Kelapa
Selain dibuat untuk membersihkan kerang, hampas kelapa juga boleh digunakan untuk membersihkan siput sedut.
Caranya ialah gaulkan kerang dengan hampas kelapa hingga semuanya diselaputi hampas. Kedua, Mama hanya perlu tinggalkan kerang yang telah dicampur hampas dan tunggu selama 1 jam.
Kerang dengan sendirinya akan mengeluarkan lumpur yang ada dalam cengkerangnya. Namun cara ini mungkin kurang praktikal bagi Mama yang tinggal di bandar dan sukar mendapatkan hampas kelapa.
#9 Daun Ubi
Teknik membersihkan lumpur kerang menggunakan daun ubi sama seperti menggunakan daun betik. Petik beberapa helai daun ubi dan ramaskan daun tersebut ke dalam bekas yang telah direndamkan kerang.
Lakukan beberapa kali dan tunggu hasilnya. Kerang akan menjadi bersih. Akhir sekali, Mama lalukan di bawah air bersih dan buang daun ubi tadi.
#10 Cara Bersihkan Kerang Dengan Serai
Petua yang terakhir ini sangat mudah dilakukan. Pertama sekali, ketuk beberapa batang serai bergantung kepada kuantiti kerang.
Seterusnya, masukkan serai ke dalam bekas berisi kerang dan isikan air. Kaedah ini menuntut Mama meramas atau mengaulkan kerang beberapa kali hingga keseluruhan kerang tercampur serai tadi.
Selepas 20 minit, buangkan air dan bilas jika perlu. Kerang sudah bersih dan boleh dimasak sekarang.
Kaedah membersihkan kerang ini ada pelbagai cara. Bergantung kepada keadaan Mama mendapatkan bahan-bahan di atas. Jangka masa diambil untuk membersikan kerang pula berbeza berdasarkan cara membersihkannya.
Kelebihan membersihkan kerang ialah mencegah masakkan kita daripada berbau lumpur. Selain itu, ia membersihkan kotoran dari dalam kerang seperti kerang dan lumpur. Tambahan pula, kulit kerang menjadi putih dan mencantikkan lagi masakan kita.
Ketahui pelbagai tips dan panduan pemakanan terbaik DI SINI.