Haid dan kesihatan faraj wanita merupakan antara topik yang sering menjadi perbualan ramai wanita – senang cakap, tak pernah tak ada wanita yang masih keliru tentang topik ini. Ada je persoalan dan pertanyaan yang bermain difikiran, baik yang muda mahupun yang sudah meningkat usia.
Mama Siti sendiri masih ada banyak persoalan tentang haid dan kesihatan faraj kita. Untuk menjawab segala persoalan Mama dan para wanita di luar sana, KelabMama berpeluang untuk mendapatkan temu bual eksklusif bersama dua Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Aurelius Hospital Nilai iaitu Dr. Ramesh Marimuthu dan Dr. Azizah binti Rusly.
Jom kita baca apakah persoalan yang disuarakan para wanita di Malaysia dan penerangan daripada kedua-dua doktor pakar ini.
1. Doktor, apakah yang perlu dielakkan semasa datang haid?
Dr. Ramesh: Wanita mengalami haid secara berbeza kerana badan, tabiat dan gaya hidup mereka. “Listening to your body” dan mencari penyelesaian terbaik adalah penting untuk menjadikannya pengalaman yang lebih baik.
Kembung perut adalah gejala awal haid yang biasa. Jika ini berlaku dengan kerap, anda harus mengelakkan makan makanan masin kerana ia menyebabkan pengekalan air (water retention), yang boleh memburukkan lagi perut kembung.
Begitu juga dengan pengambilan kopi dan alkohol semasa haid, yang boleh menyebabkan sakit kepala dan masalah pencernaan.
Melewatkan makan atau berpuasa semasa haid juga tidak digalakkan. Hal ini kerana badan wanita yang datang haid memerlukan nutrien yang mencukupi untuk mengimbangi kehilangan darah.
Semasa haid, terutamanya beberapa hari pertama, badan anda juga mungkin berasa lebih lemah akibat senggugut dan mengalami keletihan yang lebih ketara.
Oleh itu, elakkan daripada melakukan senaman berat seperti senaman kardio berat kerana ia boleh menyebabkan ‘congestion’ di vaskular, yang membawa kepada aliran haid yang berlebihan.
Walau bagaimanapun, senaman yang betul akan membantu melegakan senggugut, jadi pastikan senaman tersebut ringan dan mudah untuk dilakukan.
2. Apakah jenis senaman yang boleh mengurangkan senggugut?
Dr. Ramesh: Anda boleh pertimbangkan untuk melakukan senaman ringan hingga sederhana untuk senggugut seperti berjalan pantas, yoga dan pilates, yang boleh membantu mengurangkan kekejangan haid dan gejala lain seperti payudara tegang dan sakit otot.
Yoga ialah senaman yang berkesan boleh mengurangkan sakit haid kerana pose dan regangan tertentu membantu badan untuk berehat dan mengurangkan ketegangan otot.
Saya cadangkan ketika haid, anda boleh mencuba pelbagai latihan dan mengenal pasti aktiviti yang paling sesuai untuk anda. Sentiasa mulakan dengan sesuatu yang ringan dahulu untuk melihat tahap tenaga yang boleh digunakan badan anda semasa haid.
3. “Eh, tak boleh minum atau makan ais lah time period ni!” Doktor, adakah perkara ini betul?
Dr. Azizah: Setakat hari ini, tiada kajian yang membuktikan atau menyangkal kesan minuman atau makanan sejuk terhadap senggugut atau semasa datang haid.
Datang haid atau menstruation dikaitkan dengan sistem pembiakan, manakala makanan atau minuman yang diambil pula adalah berkaitan dengan sistem pencernaan. Kedua-dua sistem ini berfungsi secara berasingan dan tidak menjejaskan antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun, sesetengah wanita sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk, yang mungkin meningkatkan atau boleh menyebabkan kekejangan. Apa-apa pun, hanya diri kita sendiri yang memahami dan mengetahui apa yang bagus untuk badan kita berfungsi dengan sewajarnya.
4. Berapa kali sehari saya perlu menukar tuala wanita atau tampon saya?
- Tuala wanita
Dr. Ramesh: Peraturan am adalah wanita yang datang haid harus menukar tuala wanita atau pad setiap 4-8 jam. Walau bagaimanapun, ini juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti kadar aliran darah haid yang keluar dan sama ada anda terlibat dalam sebarang aktiviti yang akan menyebabkan anda berpeluh atau sentiasa terdedah kepada cuaca panas atau lembap.
Jika itu berlaku, anda harus lebih kerap menukar kepada tuala wanita baharu. Apa yang penting, ikut keselesaan diri sendiri.
- Tampon
Untuk tampon, anda tidak boleh memakainya terlalu lama dan pastikan ia ditukar sekurang-kurangnya setiap 3-4 jam kerana ia boleh menyebabkan pengumpulan bakteria dalam saluran faraj yang boleh menyebabkan Toxic Shock Syndrome (TSS).
Walaupun kemungkinan untuk mendapat jangkitan tersebut adalah rendah, namun, setiap wanita harus mengamalkan gaya kebersihan dan hygiene yang betul semasa datang haid.
5. Adakah selamat untuk wanita memakai tampon terutama bagi mereka yang belum berkahwin?
Dr. Azizah: Tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan selaput dara, tetapi ini juga boleh berlaku apabila anda melakukan aktiviti lasak.
Sesetengah wanita mungkin mengalami ketidakselesaan apabila memasukkan tampon semasa baru ingin mencuba. Walau bagaimanapun, jangan risau kerana selepas beberapa kali, anda pasti sudah mahir untuk menggunakannya.
6. Perlukah saya membasuh tuala wanita saya? Jika tidak, apakah cara yang betul untuk membuangnya, sama ada di rumah saya sendiri atau semasa saya berada di tandas awam?
Dr. Azizah: Darah haid sama dengan darah lain dari badan kita dan tidak kotor. Ia terdiri daripada darah, membran rahim, lapisan mukus, dan bakteria. Walaupun kadangkala ia kelihatan bergumpal atau lebih gelap, itu adalah perkara biasa.
Tuala wanita pakai buang hendaklah dibalut dengan betul dan dibuang selepas sekali guna.
Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan tuala wanita boleh guna semula atau menstrual cup, pastikan anda rendamkannya ke dalam air sejuk dan basuh menggunakan detergen biasa, soda penaik atau cuka.
Dan pastikan untuk keringkan kedua-duanya dengan betul untuk mengelakkan jangkitan pada pemakaian yang seterusnya.
7. Saya boleh menghidu sesuatu bau yang tidak menyenangkan melalui seluar saya. Adakah ia normal? Mengapa faraj saya berbau, dan apa yang perlu dilakukan jika faraj saya berbau busuk?
Dr. Ramesh: Lazimnya, adalah perkara biasa untuk mengalami sesuatu bau yang tidak keterlaluan dan sementara, terutamanya selepas anda berpeluh atau sebelum anda mandi.
Memandangkan setiap faraj mempunyai mikrobiomnya, ia mengandungi banyak jenis bakteria yang boleh berbeza-beza setiap hari, yang juga menyebabkan faraj berbau berbeza.
Ini adalah keadaan biasa; dan bergantung pada fasa kitaran haid, mood atau amalan kebersihan seseorang individu tersebut.
Namun begitu, adalah penting untuk memberi perhatian kepada bau hanyir atau busuk kerana ia mungkin menunjukkan keadaan seperti vaginosis bakteria, iaitu kehadiran lebihan bakteria dalam faraj.
Sebaliknya, jangkitan yis juga boleh menyebabkan faraj berbau. Adalah lebih baik untuk berjumpa pakar sakit puan jika anda mendapati ada bau busuk dan tidak menyenangkan.
8. “Makan makanan yang tinggi dengan probiotik adalah baik untuk kesihatan faraj.” Betul ke Doktor?
Dr. Ramesh: Probiotik terdiri daripada bakteria hidup dan yis. Ia boleh membantu mengimbangi tahap pH faraj wanita, yang mana kebiasaannya mempunyai tahap pH berasid semula jadi (antara 3.8 dan 4.5) dan menambahkan bakteria baik.
Probiotik seperti yogurt dan kimchi membantu mengelakkan jangkitan seperti jangkitan yis dan membantu meredakan sindrom prahaid (PMS).
9. Apakah nasihat Doktor kepada semua wanita mengenai kesihatan faraj mereka?
Dr. Ramesh: Adalah penting untuk sentiasa mengekalkan kesihatan faraj yang baik. Berikut adalah beberapa nasihat untuk faraj yang sihat:
- Pastikan faraj anda bersih! Terdapat tanggapan yang salah bahawa faraj wanita mesti dicuci dengan sabun atau produk kebersihan wanita. Namun, itu tidak betul, kerana faraj mempunyai mekanisme pembersihan yang tersendiri. Menggunakan bahan kimia yang keras boleh merengsakan dan mengganggu ekosistem semula jadi faraj wanita untuk melalui proses tersebut.
- Jika boleh, pakai fabrik yang ‘breathable’ seperti kapas kerana ia membantu menghilangkan lembapan, yang membantu mengehadkan pertumbuhan bakteria. Jangan lupa untuk menukar seluar dalam setiap hari ya.
- Amalkan hubungan seks yang selamat untuk mengelak daripada dijangkiti jangkitan seksual, Sexually Transmitted Infections (STI).
- Jangan terlepas pemeriksaan kesihatan dan sentiasa lakukan pemeriksaan biasa untuk memastikan kesihatan faraj berada pada tahap yang ideal.
Pesan Mama Siti
Jadi, buat para wanita di luar sana, sama ada sudah berkahwin atau masih bujang, jangan mudah percaya dengan kata-kata ‘tidak boleh makan ais semasa period’, tak boleh basuh rambutlah, itu ini lah, dan sebagainya. Dan yang penting, elakkan daripada mengguna produk pembersih wanita yang berada di pasaran. Ikuti nasihat pakar dan sekiranya ada rasa tidak selesa dengan keadaan badan anda, segera berjumpa doktor pakar di klinik dan pusat perubatan terdekat untuk rawatan lanjut.