Petang semalam di Gua Musang, seorang bayi perempuan berusia setahun 5 bulan maut selepas dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Aamina Inayah Mohd.Hafezul, mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, ibu pengasuh bayi itu berusia 54 tahun cuba mengalih kedudukan kereta jenis Toyota Fortuner yang berada di luar ke dalam garaj di hadapan rumahnya.
Katanya, ketika mengundurkan kenderaan, ibu kepada pengasuh itu tidak menyedari bayi tersebut berjalan keluar dan berada di luar rumah.
“Bagaimanapun, selepas perlanggaran, pengasuh berusia 20 tahun itu bergegas dan melihat bayi itu terbaring dan menangis. Pengasuhnya segera membawa bayi tersebut ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan bayi itu tinggal di rumah pengasuhnya sejak seminggu lalu kerana bapanya bekerja di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang dan ibunya bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.
Sementara itu, pengasuh bayi berkenaan, Nur Syamimi Ibrahim, 20, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang berkata, dia tidak menyangka kejadian itu kerana mangsa baru belajar berjalan.
Katanya, dia sentiasa mengawasi pergerakan bayi itu, tetapi ketika itu mungkin terlalai apabila tidak menyedari dia keluar ke garaj kereta.
“Biasanya bapa bayi itu datang mengambilnya pada jam 5.15 petang setiap hari dan saya amat sedih dengan kemalangan itu,” katanya.
Semoga kisah ni dijadikan sebagai peringatan buat semua.