Mahu tidak mahu, bulan Ramadan bakal melabuhkan tirainya. Begitulah percaturan alam, setiap hal yang berlaku ada waktu mula dan berakhir.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Allah mengizinkan hambanya menjalani ibadah puasa hingga ke hari ini. Untuk merancakkan lagi pesta ibadah pada bulan ini, mari kita dedikasikan masa dan tenaga untuk menyambut peluang yang tersisa.
Apa yang paling istimewa dalam 10 malam terakhir Ramadan? Semestinya, Lailatul Qadar.
Malam yang tidak akan kembali dalam mana-mana bulan. Bahkan, ianya lebih baik dari 1,000 bulan.
Yang lebih unik tentang malam tersebut, ianya misteri. Tak siapa tahu pada malam yang bilakah Lailatul Qadar berlaku, melainkan ianya hanya akan berlaku dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan.
Mesti Allah menyimpan 1001 hikmah dengan merahsiakan bilakah terjadinya Malam Lailatul Qadar itu. Salah satunya supaya kita tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja, sebaliknya berusaha sehabis boleh pada setiap malam yang lain.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah Al-Qadr: 1-3)
Artikel kali ini, Mama Siti nak kongsikan amalan untuk 10 malam terakhir dalam bulan keampunan, bulan Ramadan ini. Semoga kita dapat sama-sama menutup bulan mulia ini dengan ibadat yang dicadangkan seperti dibawah ini:
Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan Yang Sangat Dianjurkan Islam
1. Membaca Al-Quran dan Berzikir
Tradisi bertadarus selalu menjadi tumpuan setiap kali hadirnya Ramadan. Ada yang melakukannya secara beramai-ramai dengan hikmah agar tajwid bacaan kita dapat diperbaiki.
Manakala, ada juga yang mempunyai agendanya sendiri. Golongan ini akan membaca Al-Quran dan berazam untuk khatam pada bulan ini.
Bermacam teknik yang dilakukan, lagi-lagi apabila perempuan sedang haid. Jadi, ada masanya yang mereka perlu baca lebih helaian demi merealisasikan matlamat khatam satu naskah Al-Quran.
Kenapa Al-Quran ya?
Selain kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda, bertadarus juga adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin”
(Riwayat Al-Bukhari)
2. Memperbanyakkan Solat Malam (Qiamulail)
Kita melakukan solat malam tak lain, tak bukan adalah untuk meluangkan masa berdua dengan Allah. Meminta dan merayu kepadaNya demi keampunan, permohonan hajat dan supaya amalan diterima.
Perlukah malam lailatul qadar itu berlaku pada sepertiga malam?
Tidak. Namun, orang-orang yang bangkit solat dan berdoa pada sepertiga malam akan diperkenankan doanya oleh Allah.
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
“Tuhan kami turun ke langit dunia setiap malam pada sepertiga akhir malam. Allah berkata: Sesiapa yang berdoa kepada Aku maka Aku akan makbulkan untuknya. Sesiapa yang meminta kepada Aku maka Aku akan berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon keampunan kepada Aku maka Aku akan ampuni dia
(Sahih Al-Bukhari)
Dan ada apa pula dengan malam lailatul qadar ini? Kenapa ianya lebih baik dari 1000 bulan?
Kerana pada malam itu akan turun para malaikat ke bumi dan mereka sibuk mengaturkan takdir hidup umat manusia untuk satu tahun akan datang.
“Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan”
(Surah Al-Qadr: 4)
Manakala, beruntunglah untuk orang-orang yang berdoa untuk takdir hidup yang lebih baik untuk hari mendatang. Setiap permohonannya pada malam itu diaminkan oleh para malaikat dan Jibril.
Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
3. Mengejutkan Ahli Keluarga Untuk Turut Sama Beribadat
Sesungguhnya baginda tidak bersendirian ketika melakukan tahajud. Malahan baginda turut sama mengajak ahli keluarganya yang lain untuk sama-sama beribadat pada 10 malam terakhir.
Dari Aisyah Radhiyallahu Anha:
“Adapun Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda s.a.w. membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”
(HR Ibnu Hibban)
Begitulah sebaiknya. Lagi-lagi apabila kita memikul bertanggungjawab sebagai ketua keluarga. Jika baik pemimpinnya, baik juga ahlinya.
Lagi pula, kalau kita beribadat bersama-sama, lagi meriah dan boleh lebih menghayati ibadat di bulan mulia ini.
“Saya ni perempuan Mama Siti, tak kan saya pun kena kejutkan mak, ayah dan adik-beradik? Tadi Mama Siti kata itu kerja ketua keluarga?”
Tapi, apa salahnya kita jadi orang yang menyemarakkan lagi suasana. Kalau tradisi ini belum berlaku dalam keluarga, apa kata kita yang jadi pelopornya.
Seronokkan kalau semua orang dalam rumah ni solat sama-sama.
4. Beriktikaf di Masjid
Caranya mudah, berada di dalam masjid dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tiada waktu khusus untuk melakukan iktikaf, anda bebas memilih mengikut kesesuaian masa.
Beriktikaf di bulan Ramadan adalah sunnah baginda. Daripada Abdullah Ibn Umar Radiyallahu Anhuma beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan
(Riwayat Al-Bukhari)
Iktikaf ni ada rukun tau, kalau tak cukup keempat-empat rukun di bawah ini, maka ianya tidak dikira sebagai iktikaf.
- Mu’takif iaitu muslim, berakal, serta suci dari sebarang hadas besar seperti junub, haid, dan juga nifas.
- Masjid
- Niat untuk beriktikaf
- Menetap dengan kadar tempohnya melebihi kadar thoma’ninah di dalam rukuk dan seumpamanya
Untuk rujukan yang lebih terperinci, Mama boleh baca di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
5. Berdoa Memohon Ampun
Bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan rahmat, keampunan dan pembebasan api neraka. Pelbagai limpahan rahmat dan rezeki Allah berikan kepada umat Islam.
Tambahan pula, Dia mengampuni dosa-dosa orang yang tekun beribadat yang akhirnya dapat menyelamatkan diri dari azab neraka.
Dari Anas bin Malik, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya dinamakan (bulan) Ramadhan karena dia memanaskan dosa-dosa’, iaitu membakarnya dan memusnahkannya.”
Lalu kepada siapakah keampunan itu diberikan?
- Orang Yang Berpuasa
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda;
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Orang Yang Melakukan Solat Terawih
Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda;
“Barangsiapa yang solat malam pada bulan Ramadaan karena iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu”
(HR Bukhari dan Muslim)
- Orang yang berqiamulail
Daripada Abu Hurairah, Rasullulah SAW bersabda;
“Barangsiapa melaksanakan solat (malam) di bulan malam lailatul qadar karena keimanan dan ihtisab (mengharap pahala dari Allah), akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Sebaiknya begitulah cara kita memeriahkan lagi hari-hari tersisa sebelum menyambut syawal. Sesungguhnya, bulan Ramadan itu pesta ibadat. Tidak hairanlah ramai orang berlumba-lumba perbanyakkan amalan di bulan mulia ini.
Dapatkan lebih banyak tips amalan bulan Ramadan di SINI!